GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, October 16, 2009

Elak bahayakan ekonomi


ARKIB : 15/10/2009


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kerajaan perlu melakukan pembaharuan cukai di negara ini termasuk meluaskan asasnya bagi meningkatkan sumber pendapatan yang banyak bergantung kepada sumber asli.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, perluasan sumber pendapatan perlu dilakukan sebelum kekurangannya menimbulkan kesan bahaya kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.

Beliau berkata, pendapatan negara telah menunjukkan penurunan ketara sedangkan perbelanjaan semakin meningkat.

Pada 2008, daripada jumlah pendapatan kerajaan sebanyak RM160 bilion, sebahagian besarnya atau 41 peratus disumbangkan oleh minyak dan gas, cukai korporat 24 peratus, pendapatan lain 26 peratus dan personal sebanyak sembilan peratus.

''Berdasarkan pendapatan semasa dan aliran perbelanjaan, MIER mengunjurkan defisit bajet negara boleh mencapai 15.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

''Kita tidak boleh bergantung sangat kepada sumber minyak dan gas kerana harga komoditi semakin tidak menentu dan rizab juga berkurangan.

''Saya pasti kerajaan mempunyai pelbagai pendekatan untuk meningkatkan pendapatannya kerana jika sudah mencapai paras ini (15.2 peratus) kita sudah berada ditahap bahaya,'' katanya.

Malaysia pernah mengalami defisit fiskal terbesar sehingga 16 peratus pada tahun 1980an.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan sewajarnya mengumumkan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Bajet 2010 sebelum ia diperkenalkan pada 2011 atau 2012.

Jelas beliau, Malaysia sepatutnya memperkenalkan GST pada 2007, tetapi menangguhkannya kerana kadar inflasi tinggi ketika itu.

''Kita patut melaksanakan GST kerana bilangan pembayar cukai di negara ini masih lagi kecil.

''Jadi, kalau GST dilaksanakan, semua pihak perlu membayarnya kerana cukai itu berdasarkan perbelanjaan dan bukannya pendapatan. Mereka yang kurang berbelanja tidak terjejas,'' ujarnya.

Beliau juga meramalkan kerajaan menurunkan cukai korporat dan individu sebanyak satu hingga dua peratus dalam Bajet 2010.

Katanya, penurunan cukai-cukai itu tidak akan menjejaskan pendapatan kerajaan kerana ia mengambil kira prestasi ekonomi pada 2010 lebih baik pada tahun ini.

''Saya menganggapnya sebagai tonik kepada keperluan ekonomi selepas kerajaan melonggarkan polisi liberalisasi dan untuk merealisasi hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat pelaburan serantau,'' tambahnya.

Kadar semasa cukai korporat adalah 25 peratus manakala cukai ke atas pendapatan pula sebanyak 12 peratus berdasarkan pendapatan tahunan berjumlah RM35,000 hingga RM50,000.

Beliau juga meramalkan Bajet 2010 bakal menyaksikan peningkatan kadar defisit fiskal yang lebih besar kepada lapan peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 4.8 peratus pada tahun lalu.
Angka itu lebih besar berbanding unjuran kerajaan sebanyak 7.6 peratus.

''Saya berpendapat pungutan cukai tahun ini tidak akan mencapai sasaran kerajaan dan sekiranya jumlahnya lebih rendah berbanding jangkaan, perbelanjaan akan meningkat.

''Kemungkinan besar defisit bajet untuk 2010 naik antara lapan dan sembilan peratus pada 2010 tetapi ia bukan sesuatu yang membimbangkan,'' katanya.

Mohamed Ariff berkata, Malaysia telah mengalami bajet defisit selama 46 tahun sejak kemerdekaan 52 tahun lalu.

Malaysia hanya mengalami lebihan pendapatan selama enam tahun sahaja.

Beliau menambah, keadaan itu berlaku kerana Malaysia kurang disiplin fiskal dan takut untuk mencuba mengimbangi akaun meskipun ketika ekonomi stabil.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1015&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRMkZAd0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment