GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, December 22, 2009

Berhenti bincang GST elak rakyat keliru


ARKIB : 21/12/2009

IPOH 20 Dis. - Semua pihak terutama ahli-ahli politik diminta tidak terus membincangkan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia boleh mengelirukan rakyat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, masih banyak masa untuk membincangkan mengenai GST apabila ia dibahaskan di Dewan Rakyat, Mac depan.

"Saya fikir eloklah semua pihak berhenti membincangkan mengenai GST ini bagi mengelakkan rakyat menjadi keliru dan salah faham.

"Pada masa sama, program penerangan akan dijalankan termasuk memanggil editor-editor media untuk meningkatkan kefahaman mereka mengenai GST," katanya kepada pemberita semasa hadir merasmikan penutup pertandingan bola sepak veteran Ipoh kali keenam di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu GST yang sering dibangkitkan oleh parti pembangkang dan media massa.

Ekoran tiada kefahaman jelas mengenai GST, sebilangan rakyat keliru sehingga beranggapan GST akan menyebabkan harga barang menjadi mahal dan mereka terpaksa dua kali membayar cukai.

Mengulas lanjut, Ahmad Husni menjelaskan, GST bukan satu sistem cukai baru sebagai tambahan kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diguna pakai sekarang tetapi ia akan menggantikan SST.

"Marilah lari daripada salah faham bahawa orang perlu bayar cukai dua kali apabila GST dilaksanakan kelak.

"GST bukan sistem cukai baru tetapi ia akan menggantikan SST dan ia lebih murah daripada SST," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, katanya, semua syer milik kerajaan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) akan dikurangkan mulai tahun depan bagi menambah kecairan kewangan dimiliki kerajaan.

Ahmad Husni berkata, langkah yang melibatkan 17 GLC di bawah Kementerian Kewangan merupakan antara pendekatan kerajaan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang lima peratus pada 2010.

"Syer kerajaan dalam GLC akan ditawarkan di Bursa Malaysia untuk dimiliki syarikat swasta. Ini inisiatif meningkatkan kecairan dan gelombang kedua penswastaan bagi mencapai sasaran ekonomi seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1221&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm#ixzz2WRlTApYI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment