GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, May 9, 2014

TAJUK: GST WAJAR DIALU-ALUKAN

Oleh Abdussalam Shokhawi
Email: salam@salihin.com.my
5 March 2014

TAJUK: GST WAJAR DIALU-ALUKAN

Dilema rakyat Malaysia pada ketika ini mengenai sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST banyak dipengaruhi oleh kekurangan maklumat atau maklumat salah yang disalurkan untuk pemahaman mereka. Kebanyakan maklumat mengenai GST yang ada pada ketika ini pula terlalu bersifat teknikal serta sukar difahami oleh golongan rakyat terbanyak terutamanya masyarakat di luar bandar. Dek kerana itulah, apabila GST semakin menjadi topik perbahasan harian rakyat, maka risiko jurang salah faham menjadi semakin membesar.

Secara umumnya pemahaman rakyat Malaysia mengenai cukai dan peranannya kepada negara masih lagi di tahap yang rendah. Kebanyakan masyarakat masih tidak menyedari bahawa pada masa sekarang mereka telah pun dikenakan cukai kepenggunaan di dalam perbelanjaan mereka iaitu dalam bentuk Cukai Jualan (5%, 10% atau kadar spesifik) dan Cukai Perkhidmatan (6% atau kadar spesifik). Elemen kedua-dua cukai ini telah pun diserap ke dalam harga jualan setiap barangan kecuali Cukai Perkhidmatan yang dikenakan di peringkat pengguna akhir seperti di kedai-kedai makanan, kawasan pakir kereta berdaftar dan yuran perkhidmatan professional. Apabila GST dilaksanakan pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, kedua-dua Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan akan dimansuhkan serentak. 

Rasional pelaksanaan GST

Tujuan utama GST diperkenalkan di Malaysia adalah untuk menangani kelemahan yang terdapat di dalam sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada. Antaranya seperti ketirisan hasil kerajaan akibat daripada aktiviti penyeludupan, pemindahan harga serta manipulasi sumber yang sering berlaku di peringkat peniaga. Dengan erti kata lain, pada masa kini, terdapat peniaga yang memulangkan cukai kepada kerajaan kurang daripada jumlah yang mereka pungut dari pelanggan mereka. Kelemahan-kelemahan ini sukar di atasi oleh pihak berkuasa kerana terdapat ruang-ruang (loopholes) pada sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang mudah dimanfaatkan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. 

Masyarakat pengguna juga harus mengetahui bahawa GST tidak berperanan sebagai kos di dalam proses pengeluaran di mana-mana peringkat peniaga. Ini sama sekali berbeza dengan layanan perakaunan yang diberikan kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan pada ketika ini, di mana kedua-dua cukai lapuk ini merupakan kos yang mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga. Dengan pelaksanaan GST dan pemansuhan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, peniaga tiada lagi alasan cukai sebagai beban yang menekan mereka untuk menaikkan harga. Jika sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan tetap dilaksanakan oleh kerajaan, maka pengguna akan terus menjadi mangsa dan terperangkap di dalam situasi cukai bertindih yang wujud di dalam harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

Kebanyakan ahli-ahli ekonomi tidak menafikan bahawa GST boleh menyebabkan kadar inflasi negara akan meningkat secara one-off atau sekali sahaja pada masa awal pelaksanaannya. Jangkaan ini berdasarkan pengalaman negara-negara terdahulu yang melaksanakan GST (juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di kebanyakan negara lain) di mana berlakunya reaksi kejutan pasaran apabila peniaga akan menaikkan harga dan pengguna pula panik dengan perubahan harga. Walau bagaimanapun, kekeliruan dalam pasaran semasa tempoh awal pelaksanaan GST adalah bersifat sekali sahaja. Pasaran dijangka kembali selesa serta stabil apabila pengguna dan peniaga mula memahami mekanisme sebenar GST, manakala kerajaan pula melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengimbangi pasaran dengan sempurna.

Pihak-pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST perlu menerima hakikat bahawa GST adalah satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan. Kebanyakan ahli ekonomi bersependapat bahawa GST adalah kaedah penyelesaian sumber yang paling berkesan dan berdaya tahan terhadap situasi turun naik ekonomi global. Ekonomi pula digerakkan sendiri oleh masyarakat pengguna melalui permintaan dan masyarakat peniaga melalui penawaran. Dengan adanya GST, saluran serta kaedah komunikasi antara pengguna, peniaga dan kerajaan akan terdorong untuk menjadi lebih efektif, telus, efisyen dan mesra.

Dalam pada itu, pelaksanaan GST juga amat penting kepada kerajaan dalam usaha untuk memacu Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020. Untuk tujuan itu, Malaysia perlu berada dalam landasan ekonomi yang mampan dan berdaya saing di peringkat domestik dan global. GST adalah salah satu instrumen ekonomi yang akan merangsang sektor swasta untuk tumbuh aktif serta menggalakkan nilai perdagangan dan pelaburan langsung asing di samping mambawa aliran positif kepada pasaran modal insan. Untuk rekod, Kerajaan menjangkakan bahawa sasaran pendapatan perkapita rakyat Malaysia sebanyak AS$15,000 akan dapat dicapai sebelum 2020.

Inisiatif GST

Secara konsepnya, pelaksanaan GST dilihat sebagai memperluaskan skop asas cukai kepada rakyat. Menyedari hakikat itu, kerajaan telah membuat persediaan yang menyeluruh untuk mengimbangi kedudukan sosio-ekonomi masyarakat. Antaranya, kerajaan telah mewujudkan tiga kategori Kadar GST mengikut tahap keperluan sesuatu barang atau perkhidmatan kepada rakyat. Barang-barang keperluan asas yang belum diproses seperti produk pertanian, bekalan ternakan dan bahan asas masakan termasuklah susu bayi, telah diletakkan pada kategori Kadar Sifar GST. Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti harta tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya akan dikecualikan GST. Bagi barang dan perkhidmatan lain yang dikategorikan sebagai bukan keperluan asas, akan diletakkan di bawah kategori Kadar Standard.

Di dalam pembentangan Bajet 2014 yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan telah membuat pengumuman bahawa kerajaan bakal memberikan insentif-insentif khas kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana bagi menghadapi kesan rasionalisasi subsisdi dan pelaksanaan GST kelak. Antaranya ialah bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M serta penstrukturan dan pengurangan kadar satu hingga tiga peratus bagi cukai pendapatan individu. Kepada para peniaga pula, kerajaan telah mengalokasikan geran latihan GST dan perisian perakaunan masing-masing sebanyak RM100 juta dan RM150 juta, di samping potongan cukai tambahan untuk perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST serta pengurangan kadar Cukai Pendapatan Syarikat bagi tahun taksiran 2016. Kerajaan dijangka akan terus memberikan insentif-insentif tambahan secara berperingkat kepada rakyat di samping melanjutkan insentif-insentif sedia ada selepas pelaksanaan GST.

Tanggungjawab Ahli Yang Berhormat

Seperti yang kita sedia maklum, pelaksanaan GST adalah salah satu inisiatif tidak popular yang terpaksa diambil oleh kerajaan bagi mentransformasikan strategi pengurusan negara untuk mendepani masa hadapan yang kian mencabar. Sejak pengumumannya pada Oktober 2013, pelbagai maklum balas telah disuarakan oleh rakyat kepada kerajaan dalam pelbagai bentuk medium komunikasi. Yang jelasnya, kebanyakan maklum balas tersebut adalah kebimbangan mengenai beban dan skop cukai yang bakal ditanggung oleh rakyat dalam kehidupan seharian.

Suara kebimbangan rakyat terbanyak ini berhak didengari dan dianalisa dengan teliti oleh para pemimpin masyarakat yang mewakili mereka di Dewan Rakyat. Ini kerana, ahli-ahli Yang Berhormat (YB) inilah yang akan berhujah dan berbahas untuk meluluskan Rang Undang-Undang GST yang bakal dibentangkan di Parlimen pada sesi perbahasan bulan Mac 2014. Setiap YB seharusnya telah memahami GST dengan mendalam sebelum mereka melangkah masuk ke Parlimen untuk berbahas dan menyampaikan buah fikiran yang rasional mengenai GST demi kebaikan rakyat dan negara. Mereka perlulah juga bersedia dengan cadangan dan pandangan yang konstruktif supaya Akta GST yang bakal terbentuk akan menjadi model percukaian terbaik yang dapat memakmurkan negara seluruhnya. 

Berikut adalah antara cadangan umum yang boleh dipertimbangkan oleh para YB untuk dihujahkan kepada kerajaan semasa membahaskan Rang Undang-Undang GST kelak:-

1. Menyenaraikan lebih banyak barang dan perkhidmatan keperluan bayi dan kanak-kanak sebagai item Kadar Sifar (0%) GST. Contohnya seperti lampin pakai buang, pakaian bayi, botol susu dan buaian. Ini bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa yang perlu menanggung keperluan anak-anak kecil.

2. Mewajibkan pasaraya-pasaraya besar untuk mempamerkan harga kesemua barang dan perkhidmatan yang ditawarkan di premis mereka secara dalam talian atau online di laman sesawang mereka. Ini adalah langkah perlindungan terhadap pengguna yang bertujuan untuk membantu pengguna melihat perubahan harga serta membuat perbandingan harga barang dan perkhidmatan sebelum berbelanja.

3. Menaikkan nilai geran untuk bantuan persediaan GST kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana. Ini akan membantu proses pematuhan di peringkat peniaga yang secara tidak langsung akan melindungi pengguna daripada peniaga yang mengambil kesempatan dengan alasan kos persediaan menghadapi GST yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

4. Membenarkan pelancong asing yang layak di bawah Skim Bayar Balik Pelancong (Tourist Refund Scheme) untuk menuntut bayaran balik GST ke atas barang yang dibawa keluar bukan sahaja melalui lapangan terbang, malahan melalui pelabuhan dan sempadan darat bagi menyemarakkan lagi aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan-kawasan yang terlibat. Ini boleh menjadikan Malaysia lebih kompetatif berbanding negara-negara serantau bagi menarik kehadiran pelancong asing yang mempunyai kemampuan berbelanja yang tinggi.

5. Menaikkan nilai pelepasan Cukai Pendapatan individu untuk perbelanjaan melibatkan pendidikan dan kesihatan sama ada untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak-anak yang masih di bawah tanggungan. Ini sebagai langkah mengurangkan impak GST ke atas isi rumah.

6. Memaksimumkan penggunaan MyKad sebagai alat rasmi untuk penyaluran subsidi kepada golongan sasar semasa era GST. Contohnya menjadikan MyKad sebagai kad diskaun pengangkutan awam untuk golongan tua, pelajar dan golongan berpendapatan rendah serta sebagai identifikasi bantuan khas kepada golongan kurang upaya dan sebagainya. 

7. Memperkenalkan matapelajaran cukai dan GST sebagai subjek kenegaraan kepada rakyat Malaysia seawal pengajian di peringkat rendah sehinggalah ke pengajian tinggi. Ini bertujuan menerapkan pemahaman yang betul mengenai tanggungjawab bercukai sebagai warganegara di samping meredakan sentimen bercampur-baur terhadap GST di kalangan semua lapisan masyarakat.

Menangani kesan GST 

Kerajaan pastinya sedar bahawa rakyat terbanyak amat bergantung harap terhadap kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Justeru itu, dalam persiapan menghadapi GST, kerajaan perlu memberikan perhatian yang khusus kepada para peniaga supaya mereka tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan menafikan hakikat bahawa setiap barang dan perkhidmatan mempunyai ruang untuk dikurangkan harga di era GST. Kerajaan perlu menggerakkan usaha penguatkuasaan yang efektif untuk memastikan peniaga patuh dengan pemansuhan eleman Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan di dalam harga barang dan perkhidmatan di seluruh peringkat kitaran pembekalan (supply chain). Dengan langkah penguatkuasaan yang tegas, peniaga tidak boleh berselindung di sebalik GST untuk menaikkan harga secara tidak wajar. 

Kepada masyarakat pengguna pula, berikut adalah panduan ringkas yang boleh digunakan untuk menghadapi GST kelak:

1. Menyediakan rancangan perbelanjaan bulanan

Senaraikan perbelanjaan tetap yang berulang setiap bulan seperti bayaran ansuran kereta, rumah, insuran, bil-bil utiliti, yuran pendidikan, barangan keperluan dapur, perbelanjaan peribadi dan sebagainya. Bahagikan senarai perbelanjaan tadi kepada dua bahagian iaitu bahagian yang tidak tertakluk kepada GST dan bahagian yang tertakluk kepada GST. Pastikan alokasi wang untuk perbelanjaan tetap didahulukan dan kawal baki pendapatan untuk mengelakkan daripada berbelanja ke atas barang atau perkhidmatan bukan keperluan yang tertakluk kepada GST. 

2. Berbelanja di kedai yang berdaftar GST

Pengguna digalakkan berbelanja di kedai-kedai yang berdaftar sebagai kedai GST terutamanya di pasaraya-pasaraya besar yang setiap hari bersaing harga dengan pesaing-pesaing mereka. Selain mendapat manfaat harga rendah, pengguna juga dapat berlajar untuk membiasakan diri dengan sistem dan mekanisme sebenar GST. Saranan ini juga adalah bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga semasa era GST. 

3. Berbelanja semasa musim promosi potongan harga 

Di Malaysia, seringkali promosi potongan harga seperti “Jualan Mega” dan “Hari Untuk Ahli” dilakukan oleh para peniaga sama ada untuk promosi harian, mingguan, bulanan atau tahunan. Pengguna boleh mengambil kesempatan dengan berbelanja pada musim promosi dengan harga yang murah dan menjimatkan.

4. Membuat simpanan untuk pelaburan

Setiap individu digalakkan membuat simpanan bagi lebihan pendapatan sekiranya ada. Simpanan boleh dibuat di bank, melabur di dalam amanah saham atau membeli pelindungan insuran. Simpanan untuk pelaburan mampu meminimumkan kesan GST ke atas pendapatan individu di samping memberikan pulangan positif jangka panjang seperti memperoleh keuntungan simpanan, gandaan dividen dan perbelanjaan kesihatan yang dijamin.

5. Aktifkan persatuan pengguna

Para pengguna disaran untuk bersatu dan memberikan sokongan kepada persatuan-persatuan pengguna untuk aktif membela dan mempertahankan hak setiap pengguna di seluruh pelusuk daerah di Malaysia. Semasa era GST kelak, persatuan pengguna perlu dijadikan one-stop centre dalam menyebarkan maklumat kepenggunaan serta menzahirkan “Kuasa Pengguna” (Consumer Power). Dengan cara ini, peniaga akan lebih bertanggungjawab supaya perniagaan mereka tidak terjejas oleh publisiti buruk yang boleh menggugat kepentingan mereka. 

6. Membuat aduan mengenai manipulasi harga 

Pengguna yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti manipulasi harga oleh peniaga semasa era GST disarankan membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya tindakan penguatkuasaan undang-undang boleh dilakukan ke atas peniaga tersebut. Langkah membuat aduan mengenai aktiviti penipuan sebegini merupakan satu tanggungjawab setiap pengguna supaya tiada peniaga yang mengambil kesempatan semasa pelaksanaan GST kelak.

7. Memanfaatkan bantuan dan inisiatif kepenggunaan yang disediakan oleh kerajaan 

Terdapat pelbagai bantuan dan inisiatif kepenggunaan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat. Contohnya seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), Klinik 1 Malaysia, Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M), Komputer Satu Malaysia, Bantuan Khas Awal persekolahan, Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA), Pasar Bergerak 1 Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program 1 AZAM, Coop 1Malaysia (Coop1M), Pakej Komunikasi Belia dan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M). Kerajaan dijangka akan menyediakan lebih banyak bantuan tambahan untuk rakyat selepas pelaksanaan GST. Golongan rakyat yang layak menerima bantuan dan inisiatif ini adalah digalakkan untuk memanfaatkannya. 

8. Merujuk “Panduan Pembeli” yang dikeluarkan oleh pihak Kastam

Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka akan menerbitkan risalah “Panduan Pembeli” tiga bulan sebelum pelaksanaan GST pada April 2015. Pengguna boleh merujuk risalah ini untuk mengetahui maklumat serta membuat perbandingan mengenai harga barang dan perkhidmatan sebelum dan semasa era GST.

Secara ringkasnya, negara sudah kesuntukan masa untuk menangguhkan pelaksanaan GST untuk kesekian kalinya. Justeru itu, GST harus direalisasikan dan semua pihak yang memahami tentang mekanisme GST haruslah mengambil tanggungjawab untuk menjelaskannya kepada masyarakat supaya pemahaman mereka tidak terpesong atau dipengaruhi oleh ideologi-ideologi songsang yang akhirnya akan merugikan negara. Ayuh kita bersatu atas nama Malaysia dan mengalu-alukan GST demi masa depan negara yang lebih gemilang. 

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

GST: KPDNKK gubal mekanisme cegah peniaga seleweng


2014/05/02 - 16:52:51 PM

GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji mekanisme yang sesuai untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengaut keuntungan tidak munasabah apabila pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tahun depan. 

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata kajian itu dibuat berpandukan Akta Kawalan Harga 2010 bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati apabila GST dikuatkuasa. 

"Mekanisme baharu itu akan dapat mengenal pasti pengusaha yang menyeleweng dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada yang telah diperkemas untuk melindungi hak pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen penurunan harga di Pasaraya Sunshine di sini, hari ini. 

Beliau berkata, mekanisme baharu itu kelak akan berperanan memantau harga, caj maksimum, minimum atau tetap bagi barangan dan perkhidmatan serta setiap rangkaian pembekalan daripada peringkat pengeluar sehingga peruncit. 

Mengenai kempen penurunan harga itu, Alias berkata sebanyak 400 pasar raya di seluruh negara menyertai kempen itu membabitkan sehingga 4,000 jenis produk keperluan harian terutama makanan segar, sejuk beku dan makanan kering, sejak dilancarkan Januari lalu. 

Alias berkata, menerusi kempen, harga barangan terpilih akan diturunkan dari 15 hingga 70 peratus sehingga 31 Disember ini. 

Beliau berkata, KPDNKK telah mewujudkan jaringan kerjasama dengan 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sejak Febuari lalu bagi membantu kementerian melaksanakan tanggungjawab mendidik pengguna secara lebih berkesan. 
"Kempen bersama NGO itu memasuki fasa kedua Mei ini dan setakat ini berjaya mendapat penglibatan 38,000 golongan sasar iaitu pelajar dan suru rumah menerusi pelbagai kempen, ceramah kesedaran dan bengkel pengurusan kewangan," katanya. 

Beliau turut menasihati pengguna supaya sentiasa membandingkan harga dan memilih alternatif bagi menggantikan barang dan perkhidmatan dianggap mahal dengan mendapatkan maklumat semasa menerusi portal pengguna. 

- BERNAMA

Tindakan bantah GST lebih bersifat politik pembangkang - Ismail



Ismail Abd. Muttalib (kiri) menyampaikan cenderamata kepada seorang ketua
kampung dalam majlis penutup Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Peringkat Daerah
Maran dan Jom ke Putrajaya di Dataran Teksi Maran, baru-baru ini. -
utusan/salehudin ma rasad
MARAN 8 Mei - Tindakan pembangkang yang membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mengheret rakyat berdemonstrasi dibidas kerana lebih bersifat politik berbanding untuk kepentingan negara.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, bantahan yang dibuat oleh pakatan pembangkang itu hanya bertujuan mahu menjejaskan kestabilan dan menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

"Rakyat dapat melihat kerenah dan niat sebenar pembangkang untuk meruntuhkan tamadun yang dibina kerajaan sejak selepas merdeka berbanding kononnya untuk membela rakyat," katanya ketika berucap dalam majlis Penutup Fiesta Mesra Belia 1Malaysia peringkat daerah dan Jom ke Putrajaya di Dataran Teksi Maran di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail; ADUN Luit, Nurhidayah Mohd. Shahaimi; Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzillah Salleh dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Khairul Amin Osman.

Menurut Ismail, ketegasan kerajaan untuk melaksanakan GST pada April 2015 sangat baik demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, kerajaan akan meneruskan program penerangan secara menyeluruh kepada rakyat tentang rasional GST di negara ini dalam tempoh terdekat.

Tambahnya, penerangan yang kurang jelas mengenai perkara itu bukan sahaja membelenggu rakyat di luar bandar tetapi juga yang membabitkan golongan berpendidikan.

"Pihak pembangkang telah menjadikan isu GST sebagai modal politik untuk membelasah kerajaan walaupun pada hakikatnya sistem ini memberi kebaikan kepada negara.

"Mereka menjadikan GST untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan melalui tindakan dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

SMIDEX 2014 sasar jualan RM350 juta


ARKIB : 08/05/2014

KUALA LUMPUR 7 Mei - SME Corp. Malaysia (SME Corp.) menyasarkan jualan sempena penganjuran Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2014 (SMIDEX 2014), mencecah RM350 juta berbanding RM322 juta tahun lalu.

Pengerusi SME Corp., Datuk Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, sasaran tersebut bersandarkan kepada peningkatan bilangan peserta dan gerai pameran untuk tahun ini serta selain kehadiran pelbagai syarikat perniagaan antarabangsa.

Beliau berkata, jualan yang dicatatkan itu mampu dijana menerusi rundingan perniagaan sesama peserta yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat multinasional. Peserta antarabangsa yang hadir termasuk dari India, Itali, United Kingdom, Singapura dan Turki.

"Saya akan memberi tekanan kepada pasukan SME Corp. untuk mencapai sasaran minimum RM350 juta. Mereka perlu lakukan yang terbaik terutamanya bagi menggalakkan sesi pertemuan perniagaan dalam kalangan peserta," katanya kepada pemberita semasa sesi bersama media bagi mempromosikan SMIDEX 2014 dan SME Week 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim.

SMIDEX 2014 edisi ke-17 itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 4 hingga 6 Jun ini. Pameran itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Hafsah berkata, pihaknya baru selesai menjalankan kajian ke atas PKS berhubung kesan pelaksanaan gaji minimum, kos utiliti serta prospek Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

© Utusan Melayu (M) Bhd

GST: Pemimpin perlu beri penjelasan


ARKIB : 08/05/2014

ALOR SETAR 7 Mei - Pemuda Gerakan mencadangkan agar pemimpin masyarakat seperti penghulu, ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) mengambil inisiatif memberi penerangan kepada orang ramai mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang berkata, pemimpin masyarakat tersebut boleh berjumpa secara terus dengan masyarakat di peringkat akar umbi dan memberi penjelasan menyeluruh mengenai sistem GST yang akan dijalankan di negara ini.

"Masih ramai yang tidak faham mengenai GST ini walaupun kerajaan sudah memberi penerangan di dalam surat khabar, media sosial dan juga televisyen.

"Cara yang lebih berkesan adalah memberi penerangan kepada orang kampung melalui penghulu, ketua kampung dan JKKP kerana mereka ini lebih dekat dengan masyarakat.

"Kerajaan perlu mengadakan seminar mengenai GST kepada mereka ini agar mereka boleh menghebahkan kepada orang kampung yang masih belum memahami apa itu GST dan bagaimana ia akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabat Gerakan negeri di Jalan Pintu Sepuluh di sini hari ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jasa Kedah beri penerangan mengenai GST


ARKIB : 07/05/2014
SEBAHAGIAN daripada pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) daerah
Kulim/Bandar yang hadir memotong kek dalam Majlis Sepetang Pemimpin
Bersama Pesara di Kulim Inn Jalan Bukit Awi, Kulim, Kedah, baru-baru ini.
KULIM 6 Mei - Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) negeri mengambil inisiatif untuk memberi pelbagai maklumat semasa termasuk isu pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada pesara-pesara kerajaan.

Pengarahnya, Shahrul Anuar Roze berkata, jika isu GST itu tidak dijelaskan kepada rakyat dengan segera, banyak masalah akan timbul kerana diputar belit oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sehingga kini, orang ramai termasuk di negeri Kedah belum mendapat maklumat jelas mengenai GST.

“Kita akan turun padang ke setiap Parlimen di negeri ini bagi menyampaikan maklumat mengenai GST dan program ini akan berakhir sebelum bulan Ramadan nanti", katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Pesara 2014 di Kulim Inn Jalan Bukit Awi di sini baru-baru ini.

Shahrul Anuar berkata, agenda transformasi kerajaan Pusat perlu disampaikan de­ngan jelas dan tepat kepada sesiapa sahaja kerana setakat ini sebanyak 160 negara telah menyertai GST itu.

Dalam pada itu,seorang peserta program tersebut, Abdul Manaf Abdul Majid, 56, berkata, langkah diambil oleh Jasa bagi memberi maklumat tentang GST kepada pesara jabatan kerajaan adalah baik sekali.

“Inilah sikap yang harus ditunjukkan oleh Jasa kerana tanpa penerangan yang tepat kepada rakyat, pelbagai an­daian yang tidak baik akan terus di­sebar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Pegawai Jasa Daerah Kulim/Bandar Baharu, Rohana Din pula berkata, sambutan peserta bagi menjayakan program itu amat memberangsangkan dan pesara-pesara kerajaan yang tidak mengetahui secara mendalam tentang GST berpeluang membuat pelbagai pertanyaan.

“Program santai begini berjaya mengeratkan hubungan baik antara pesara kerajaan dengan kakitangan Jasa negeri Kedah," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd