Monday, February 24, 2014

Freeport Retail labur RM190 juta


Publication: BH
Date of publication: Feb 22, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Norizzah Baharudin

Freeport Retail Ltd, pengendali gedung runcit Outlet Centres di Eropah, melabur RM190 juta bagi membangunkan sebuah pusat beli-belah barangan berjenama di A'Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka.

Pusat itu dikenali sebagai Freeport A'Famosa Outlet Village bakal dilengkapi 117 premis pelbagai jenama fesyen terkenal yang menjual produk pada kadar harga hingga 70 peratus lebih murah berbanding gedung biasa.

Pengarah Komersial Freeport Retail, Chris Miliken, berkata projek itu akan dilaksanakan secara usaha sama dengan Kumpulan A'Famosa.

"Gedung ini adalah yang pertama seumpamanya dibangunkan Freeport Retail di Asia selepas Eropah.

"Kerja pembinaannya bakal dimulakan bulan depan dengan fasa pertama yang membabitkan 82 premis dijadual memulakan operasi pada April 2015," katanya selepas majlis pecah tanah projek itu yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di Alor Gajah, semalam.

Freeport Retail adalah antara perintis industri gedung barangan berjenama di Eropah dan bertapak sebagai pemaju, pelabur serta pengendali perniagaan itu sejak hampir 20 tahun lalu.

Ia bertapak di tengah kota raya London dan ketika ini muncul sebagai jenama gedung produk berjenama kelapan terbesar dunia.

Yang hadir sama EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Wira Md Yunos Husin.

Sasar 3 juta pengunjung

Mengulas lanjut, Miliken berkata, pihaknya menyasarkan tiga juta pengunjung pada akhir 2015 berdasarkan lokasinya yang strategik.

"Kami menjangkakan jumlah pengunjung ini dapat dicapai berikutan lokasinya berhampiran pusat bandar, berbanding gedung premium lain di negara ini. Angka diunjurkan itu juga berdasarkan jumlah pengunjung melawat Melaka tahun lalu," katanya.

Melaka menerima 14.3 juta pengunjung tahun lalu dan kerajaan negeri menyasarkan 15 juta pengunjung tahun ini terutama dari China, Eropah dan negara di Asia Barat.

Gedung itu menyaksikan 100 peratus pajakan pada fasa pertama berikutan maklum balas yang positif daripada jenama antarabangsa dan 10 peratus lagi kedai tempatan.

GST tak beri kesan

Mengulas mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan tahun depan, Milliken berkata, pelaksanaan GST tidak akan memberi impak seperti di Eropah yang mengenakan cukai jualan lebih tinggi ke atas rakyatnya.

"Seperti di United Kingdom, cukai jualannya ialah 20 peratus, justeru saya tidak melihat impaknya berikutan bayaran tol dan bahan api di sini lebih murah berbanding di Eropah," katanya.

Sementara itu, Md Yunos Husin berkata gedung baharu itu akan mewujudkan lebih daripada 600 peluang pekerjaan di negeri itu.

No comments:

Post a Comment