Monday, February 24, 2014

Kurangkan defisit


Publication: HM
Date of publication: Feb 22, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 073
Byline / Author: Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA) melihat langkah kerajaan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 kepada lebih 6 juta rakyat bernilai lebih RM3 bilion bukan saja mampu membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat berpendapatan rendah malah salah satu aktiviti yang menggalakkan pengaliran wang domestik secara positif.

Langkah itu juga dilihat membantu mengurangkan kadar defisit negara walaupun berada pada skala yang kecil, tetapi ia tetap mempunyai nilai ke arah penurun defisit fiskal kerajaan kepada 3.5 peratus dan 54.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Timbalan Presidennya, Nik Mohd Ihsan Raja Abdullah berkata, BR1M yang diberi sekali setahun sebenarnya memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah untuk berbelanja dengan situasi peningkatan inflasi yang diunjurkan bersifat sementara tahun ini.

Beliau berkata, BR1M adalah subsidi kerajaan yang bijak dilaksanakan bagi memastikan perbelanjaan negara dapat diurus secara berhemah dalam usaha membantu mengurangkan defisit.

BR1M 2014 dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri di Kuala Lumpur dan penerima boleh menyemak akaun masing-masing mulai hari yang sama.

"Kerajaan telah melaksanakan satu langkah bertanggungjawab untuk menguruskan perbelanjaan negara dalam berdepan dengan situasi defisit yang mana sebelum ini beberapa perkara telah dilakukan antaranya pengurangan subsidi petrol dan masih meneruskan cukai eksais dalam pembelian kenderaan kerana ia adalah sumber bagi menambah pendapatan negara.

"Selain itu, jika dilihat tindakan kerajaan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga mampu menambah pendapatan negara bagi mengurangkan defisit negara," katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, walaupun pelaksanaan GST dilihat sebagai langkah kurang popular pada sesetengah pihak tetapi ia adalah langkah bertanggungjawab kerajaan memerlukan pendapatan menerusi cukai.

"Sebelum ini, pendapatan negara yang diraih menerusi cukai antaranya korporat iaitu 25 peratus dan pendapatan, 24 peratus. Dengan adanya pelaksanaan GST beberapa barangan yang digunakan oleh pengguna tidak kira sama ada domestik atau asing akan dikenakan cukai berkenaan.

"Seterusnya pendapatan negara akan terus meningkat dan membantu menurunkan kadar defisit," katanya.

No comments:

Post a Comment