Tuesday, February 25, 2014

GST DAN KUASA PENGGUNA

19 Ogos 2013


Kematangan pengguna merupakan teras kepada kekukuhan sistem ekonomi sesebuah negara. Ini kerana, pengguna mempunyai kuasa yang besar dalam mempengaruhi hala tuju pasaran. Tanpa permintaan oleh pengguna, maka sebarang penawaran oleh peniaga adalah tidak memenuhi hukum ekonomi dan begitu juga sebaliknya.

Kita memahami hakikat bahawa matlamat utama setiap peniaga adalah untuk memaksimumkan keuntungan perniagaan mereka. Oleh itu, peniaga akan sentiasa mencari titik ruang di dalam pasaran untuk mereka memenuhi matlamat keuntungan di atas sesuatu urusniaga. Antara kaedah paling biasa digunakan oleh peniaga adalah dengan mencipta inovasi terhadap penawaran dengan mengambil kira kehendak serta citarasa pengguna. Sebagai contoh, penciptaan teknologi telefon bimbit yang semakin berkembang pantas sehingga penawaran yang mempengaruhi permintaan dan bukan sebaliknya. Strategi peniaga melalui penciptaan dan inovasi telah menjadikan pengguna terikut-ikut rentak peniaga dalam memenuhi citarasa mereka.

Senario hal ehwal kepenggunaan di Malaysia

Senario hal ehwal kepenggunaan di Malaysia mempunyai perbezaan berbanding senario di negara-negara maju. Di Malaysia, Kerajaan adalah pihak yang memainkan peranan paling besar terhadap hal ehwal kepenggunaan berbanding pengguna itu sendiri. Dalam masa yang sama, Kerajaan juga harus membangunkan institusi perniagaan demi menggerakkan ekonomi negara. Kebergantungan pengguna terhadap Kerajaan untuk mempengaruhi pasaran telah menjadikan peniaga lebih kuat berbanding pengguna yang sepatutnya mempunyai kuasa terbesar di dalam sistem ekonomi. 

Peniaga di Malaysia hari ini amat dominan dalam menentukan harga atau barang dan perkhidmatan yang hendak mereka tawarkan. Mereka menekan pengguna dan menyalahkan Kerajaan sekiranya strategi perniagaan mereka mendatangkan risiko kepada diri mereka. Sebagai contoh, di musim-musim perayaan golongan peniaga akan mengganggu proses pembekalan barangan keperluan seperti daging, ayam, minyak masak, gula dan banyak lagi, bagi memanipulasi harga di pasaran. Situasi yang sama berulang-ulang saban tahun tahun kerana peniaga sangat memahami akan sikap dan tingkah laku pengguna yang tidak komited terhadap hak dan kuasa yang ada ditangan pengguna. Ini menjadikan bebanan melindungi pengguna seolah-olah terletak sepenuhnya ke atas bahu Kerajaan semata-mata.

Senario ini berbeza dengan negara-negara maju di mana pengguna dan peniaga saling melengkapi tanpa pengaruh yang besar dari Kerajaan. Pengguna di negara maju amat berani menggunakan hak dan keistimewaan mereka sehinggakan peniaga amat berhati-hati dalam mewujudkan penawaran supaya kepentingan perniagaan sentiasa dilindungi. 

Di Malaysia, terdapat beberapa badan-badan bukan kerajaan atau NGO yang bergerak aktif untuk mempertahankan hak pengguna. Antaranya ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia atau PPIM, masing-masing ditubuhkan pada tahun 1970 dan 1997. Kedua-dua NGO ini telah menggerakkan pelbagai program kepenggunaan dengan matlamat mendidik dan mempertahankan hak pengguna. Namun begitu, sokongan daripada pengguna sendiri terhadap usaha kedua-dua NGO ini pula tidak begitu kuat. Sebagai contoh, beberapa siri kempen memboikot beberapa jenis barang pengguna untuk tujuan tertentu, tidak begitu dihiraukan oleh pengguna walaupun kesan tindakan memboikot itu mampu menekan peniaga untuk bersikap lebih perihatin terhadap hak pengguna.

Selain itu, Kerajaan juga telah menubuhkan mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dengan objektif untuk membantu pengguna membuat tuntutan atau mendapatkan keadilan atas hal-hal yang berkaitan dengan kepenggunaan dan golongan peniaga. Walau bagaimanapun, tidak ramai pengguna yang menyedari atau mengambil tahu mengenai peranan besar tribunal ini dalam membantu menegakkan hak pengguna. 

Kebimbangan pengguna mengenai GST

Umum mengetahui bahawa Kerajaan pada ketika ini sedang membuat persedian rapi bagi melaksanakan pelan tranformasi terhadap sistem percukaian negara. Di dalam pelan tersebut, Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST akan diperkenalkan untuk menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Ramai pengguna mempunyai kebimbangan mengenai situasi pasaran apabila GST dilaksanakan kelak iaitu jangkaan bahawa akan berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan di semua peringkat pembekalan secara drastik. Kebimbangan pengguna ini sebenarnya telah memberikan kemenangan moral kepada para peniaga kerana ia menunjukkan bahawa pengguna tidak memahami mekanisma sebenar GST dan ini menjadi peluang besar kepada peniaga untuk terus membuat kawalan ke atas pasaran berbanding pengguna. 

Pengguna harus sedar bahawa GST bukanlah kos kepada peniaga malahan GST akan mengurangkan kos sedia ada bagi proses pengeluaran barang dan perkhidmatan yang peniaga tawarkan. Secara teorinya harga barang dan perkhidmatan mempunyai ruang untuk diturunkan tanpa sebarang kerugian di pihak peniaga, sehingga jumlah maksimum 12% apabila Cukai Jualan 10% dan Cukai Perkhidmatan 6% dimansuhkan dan diganti dengan GST berkadar Standard 6%. 

Di dalam sistem GST, tidak semua barang dan perkhidmatan akan dikenakan GST pada Kadar Standard 6%. Pembekalan barangan asas keperluan isi rumah seperti produk pertanian, bekalan ternakan, bahan asas masakan dan banyak lagi, akan diletakkan di dalam kategori Kadar Sifar (0%). Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya, akan diletakkan di dalam kategori Dikecualikan GST.

Sekiranya pengguna masih mengabaikan tanggungjawab sendiri untuk melihat sisi sebenar sistem ekonomi semasa era GST kelak, maka peniaga akan terus memperoleh kawalan ke atas pasaran dan menikmati hasil lumayan tanpa menghiraukan kesusahan pengguna. 

Pelaksanaan GST amat berkait rapat dengan usaha Kerajaan untuk membimbing Rakyat Malaysia menjadi pengguna yang matang dan bijak. Melalui GST, pengguna dapat melihat gelagat sebenar para peniaga dalam memenuhi matlamat perniagaan mereka. Aspek ketelusan di dalam sistem GST telah dirumus bagi memelihara hak serta kepentingan pengguna dan seterusnya membantu pengguna membuat pilihan yang tepat semasa berbelanja. GST juga boleh mendidik pengguna supaya bijak merancang perbelanjaan mengikut tahap kemampuan kewangan masing-masing.

GST tidak akan mencapai kejayaan jika pengguna masih berada di dalam zon selesa dengan meletakkan tanggungjawab melindungi diri mereka di bahu Kerajaan atau NGO sahaja. Pengguna harus memperlihatkan kekuatan mereka apabila merasakan diri teraniaya atau ditindas oleh peniaga yang tamak. Gunakan saluran undang-undang yang telah disediakan oleh Kerajaan serta perlihatkan hak kuasa beli yang ada ditangan pengguna. Jangan sesekali membiarkan peniaga memanipulasi keadaaan kerana matlamat peniaga pastinya berbeza dengan pengguna. 

Ingatlah bahawa GST akan mambawa bersama suatu cabaran yang besar kepada hal ehwal kepenggunaan di Malaysia dan kematangan pengguna itu sendiri adalah alat penyelesaiannya. 

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

Sila layari Blog: http://www.gst-m.blogspot.com/ dan https://www.facebook.com/GstMalaysiaSupportTeam untuk maklumat lanjut mengenai GST Malaysia.

No comments:

Post a Comment