Friday, October 25, 2013

Belanjawan: Semua pihak kena berhemah


2013/10/25 - 08:31:04 AM Kunta Kinte

Lepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan pemilihan kepemimpinan UMNO dan menjelang Belanjawan 2014, banyaklah perkara dan hal yang kita dengar. Tapi sebelum itu, Kunta Kinte nak minta izin Tuan Pengarang kita untuk terus guna istilah belanjawan. Mohon maaflah kalau Kunta Kinte kata, belanjawan bunyi lebih sedap dan lebih Melayu. Orang putih kata, kalau tak pecah pasal apa kita nak perbaiki. Silap-silap jadi tikus perbaiki labu. 

Apa yang Kunta Kinte baca, dengar dan tengok di media massa berkenaan Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan hari ini, ada yang baik dan ada tak berapa baik. 

Bagi rakyat biasa, belanjawan adalah berkenaan cukai, harga barang, subsidi dan pembangunan. Orang yang ada pelajaran pun banyak yang tak tahu berkenaan belanjawan. Perkara pokok dalam mana-mana belanjawan pun adalah pendapatan dan perbelanjaan. Sumber utama pendapatan kerajaan adalah cukai. Lagi maju ekonomi sesebuah negara, lagi besarlah belanjawannya. Lagi besar belanjawan, lagi besar dan komplekslah sistem percukaiannya. 

Ada negara cukai pendapatannya saja sampai 40 peratus macam di Amerika Syarikat, 42 peratus di Switzerland dan 58 peratus di Sweden. Purata cukai pendapatan kita 26 peratus. Tapi Switzerland dan Sweden adalah antara negara di dunia yang paling tinggi taraf kebajikan, berhemah dan bebas rasuah. Tapi kita kena faham, cukai terkandung dalam belanjawan hanyalah sebahagian saja cukai dan hasil yang kita kena bayar kepada kerajaan. 

Ada macam-macam cukai lagi yang kita kena bayar umpama cukai taksiran, cukai setem, cukai pembangunan dan yuran ke atas berbagai-bagai jenis lesen. Ada yang kita bayar kepada Kerajaan Persekutuan, ada kepada kerajaan negeri dan ada kepada pihak berkuasa tempatan. Tapi cukai yang Kunta Kinte rasa paling luas aplikasinya adalah cukai jualan dan perkhidmatan. Cuma bukan semua barang dan perkhidmatan ada cukai jualan dan perkhidmatan. Banyak dikecualikan supaya tidak bebankan rakyat jelata, terutama yang berpendapatan rendah. 

Bukan cakap-cakap baru 

Kalau tak silap Kunta Kinte, cukai jualan dan perkhidmatan negara kita mula dilaksanakan pada awal 1970-an sebab Kunta Kinte pernah jumpa beberapa orang pegawai tinggi kastam dan eksais yang datang ke New Zealand untuk belajar cara Kerajaan New Zealand laksanakan cukai itu. Masa itu Kunta Kinte belajar kewartawanan di Wellington, ibu negara New Zealand. 

Sekarang kita dengar berita kerajaan akan ganti cukai jualan dan perkhidmatan 5-10 peratus itu kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST. GST kerap juga disebut cukai tokok nilai atau VAT. 

Ini bukanlah cakap-cakap baru. Zaman Tun Daim Zainuddin kali pertama jadi Menteri Kewangan pada 80-an pun dia dah cakap berkenaan GST, tapi tak dilaksanakan. Lepas itu sekali lagi bila Datuk Seri Najib Razak jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Asalnya nak dilaksanakan pada 2011 tapi ditangguhkan pasal PRU. 

Orang yang sokong GST kata, sistem cukai ini lebih adil daripada cukai jualan dan perkhidmatan. GST kerap dipanggil cukai kepenggunaan – bila guna baru kena bayar tak kira siapa. Ada yang kata GST lebih murah daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Tapi yang sahih kebanyakan negara di dunia sudah lama berubah kepada GST atau VAT. Bila banyak negara buat macam itu, tentulah ada sebabnya. 

Pertama, pelaksanaan GST lebih mudah dan kedua, lebih meluas. Bila lebih mudah dan luas tentulah hasil cukai kerajaan bertambah walaupun kadarnya lebih rendah. Ada yang ramal, kalau GST diumumkan dalam Belanjawan 2014, kadarnya adalah antara empat dan lima peratus. 

Yang nampak telah jadi masalah adalah banyak sangat pihak dan orang cakap hal ini atas nama kerajaan sampai ada yang bercanggah antara satu sama lain. Kunta Kinte pernah baca dalam surat khabar, menteri dan pegawai tinggi kerajaan kata GST tak bebankan rakyat. Kemudian ada yang kata GST akan kurangkan hasil cukai kerajaan dan ada pula yang kata GST akan tambah pendapatan cukai kerajaan. 

Ada pakar ekonomi kata, kalau kadar GST empat peratus, hasil kerajaan sama saja dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Tapi kalau kadar GST lima peratus, pendapatan kerajaan akan bertambah RM5 bilion hingga RM6 bilion. Bila rakyat jelata dengar kata pendapatan cukai kerajaan akan bertambah kerana GST, mereka tentulah berasa cukai itu akan lebih bebankan mereka. 

Banyak orang musykil 

Jadi kalau orang ramai keliru dan susah hati, Kunta Kinte tak salahkan mereka, lagi-lagilah bila Menteri Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hassan Malek sendiri diberitakan berkata, harga gula dan tepung mungkin naik lepas belanjawan. Rakyat mungkin tak faham selok-belok belanjawan. Tapi mereka tahu cukai, harga barang dan perkhidmatan adalah penting bagi mereka, sama ada sebagai pembayar cukai, pengguna atau penerima perkhidmatan kerajaan. Tapi yang banyak orang musykil dan tak berapa yakin adalah cara kerajaan belanjakan duit cukai dan duit daripada sumber pendapatan lain macam dividen PETRONAS dan Khazanah.

Betul atau tidak, banyak orang beranggapan kerajaan boros. Kerajaan suruh rakyat jelata berjimat dan berbelanja dengan berhemah tapi kerajaan sendiri boros dan tak berhemah. Lagi-lagilah bila mereka baca berita yang Laporan Ketua Audit Negara ada macam-macam penyelewengan, salah guna kuasa dan pembaziran duit negara. Oleh sebab Perdana Menteri adalah juga Menteri Kewangan, maka bebannya sangatlah berat bagi beliau. Kalau pengurusan kewangan negara tak cekap, defisit belanjawan tak terkawal, hutang negara meningkat dan ekonomi lembap, beliaulah yang akan dipersalahkan. Tetapi yang akan tanggung beban adalah rakyat jelata. Jadi wajiblah kerajaan terus-terang dengan mereka. 

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment