Friday, October 25, 2013

Sandiwara bajet pembangkang


Publication: BH
Date of publication: Oct 25, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 012
Byline / Author: Oleh Norfatimah Ahmad; Suhaila Shahrul Annuar; Norrasyidah Arshad

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semalam membidas bajet pakatan pembangkang 2014, yang disifatkan memanipulasi isu Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta penyalahgunaan dana awam, yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara untuk kepentingan politik.

Malah, wakil rakyat kerajaan juga senada apabila menganggap pembangkang masih menabur pelbagai janji untuk meraih sokongan rakyat, walaupun umum ketahui sebahagian besarnya hanya sekadar angan-angan kerana tidak memberi gambaran sebenar keupayaannya kewangan negara.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar), berkata ia berikutan pembangkang tidak menyatakan hasil yang akan diperoleh negara tetapi hanya menekankan penjimatan, yang boleh didapati jika kerajaan mengurangkan ketirisan akibat rasuah.

Tak bertanggungjawab

"Sebagai contoh, mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2012, ketirisan bukan disebabkan rasuah tetapi disebabkan pegawai kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik, jika dijalankan dengan baik ketirisan itu akan dapat dikurangkan.

"Mereka juga mengatakan penghapusan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan menjimatkan wang negara sebanyak RM500 juta dan boleh disumbangkan kepada sektor lain. Itu adalah bajet yang tidak lengkap. Potong sana, masuk sini. Kita mahu tahu hasil berbanding perbelanjaan. Bukan soal potong dan biaya yang lain," katanya ketika mengulas bajet pakatan pembangkang.

Dalam bajet itu, pakatan pembangkang mengumumkan perbelanjaan menyeluruh sebanyak RM262.2 bilion, yang didakwa mampu mencatatkan penjimatan mencecah RM30 bilion setahun.

Bajet yang didakwa boleh mencapai defisit 3.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM34 bilion bertema 'Mempertahankan Kepentingan Rakyat Dalam Mengharungi Gelombang' itu juga menyentuh isu mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan menyarankan supaya kriteria kelayakan penerima diperketatkan.

Bajet itu dilancarkan bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad di Bilik Taklimat Parlimen.

Hanya angan-angan

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim, pula berkata pembangkang tidak patut terus menyogok rakyat dengan angan-angan mereka yang belum pasti mampu dicapai.

"Jangan menggula-gulakan rakyat dengan perkara yang belum pasti mampu mereka capai," katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, berkata sasaran penjimatan RM20 hingga RM30 bilion setahun melalui langkah penjimatan dan pengurusan berhemat adalah tidak realistik.

"Mereka langsung tidak sebut mengenai sistem kutipan. Yang disebut hanya perbelanjaan saja. Berikan rakyat bajet yang 'realistik' bukan hanya angan-angan," katanya.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong, berkata pembangkang perlu realistik mengenai bajet yang dibentangkan.

No comments:

Post a Comment