Friday, October 25, 2013

Agenda transformasi kerajaan diterus: PM


2013/10/25 - 07:37:15 AM 

Najib menunjukkan dokumen ‘Rahsia Besar’ ketika meninjau
operasi persiapan terakhir Bajet 2014 di Kementerian Kewangan,
di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Menteri Kewangan II,
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) dan warga kerja kementerian.
- Foto BERNAMA

Bajet 2014 pastikan ekonomi terus berdaya tahan

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, ekonomi Malaysia mesti terus berdaya tahan bagi menyediakan asas untuk pertumbuhan dan kemakmuran masa depan.

Sehubungan pembentangan Bajet 2014 hari ini, Perdana Menteri menekankan pentingnya agenda transformasi kerajaan diteruskan. 

Kerajaan, katanya, mesti memenuhi janjinya kepada rakyat dan mengelak melaksanakan langkah bersifat populis yang boleh menggugat kestabilan ekonomi. 

Kukuh daya tahan domestik

Menyedari kesan krisis kewangan global dan krisis zon Euro, Najib berkata, ekonomi yang kukuh akan membantu menjamin masa depan Malaysia.

“Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di luar negara, namun kita boleh berusaha mengukuhkan daya tahan domestik ekonomi kita,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melaksanakan langkah yang bertepatan untuk ekonomi negara. 

“Beberapa langkah mungkin tidak ‘popular’ sekarang, namun dalam jangka sederhana apa yang baik untuk ekonomi juga baik untuk rakyat,” katanya.

Jangkaan penganalisis 

Sementara itu, Bajet 2014 yang akan dibentangkan beliau disifatkan penganalisis dan ahli ekonomi sebagai perancangan kewangan tahunan negara yang paling mencabar kepada kerajaan.

Ia susulan kedudukan ekonomi negara di persimpangan, iaitu untuk terus menjana pertumbuhan kukuh bagi mencapai sasaran negara maju menjelang 2020, pada masa sama menangani isu rakyat.

Penganalisis menjangka lima isu kritikal yang perlu ditangani iaitu peningkatan tekanan untuk kerajaan memperkukuhkan kedudukan kewangannya menerusi komitmen penurunan defisit fiskal; peningkatan bebanan golongan berpendapatan sederhana dan rendah; peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar; kenaikan keterlaluan harga hartanah serta kedudukan hutang isi rumah yang agak tinggi.

Isu berkenaan perlu ditangani dengan bijak supaya ekonomi dapat terus berkembang, justeru, mengukuhkan lagi kewangan kerajaan dalam mencapai sasaran menjadi negara maju menjelang 2020.

Pengurangan defisit

Walaupun prospek ekonomi global bertambah baik berbanding sebelumnya, namun situasi semasa masih berisiko ekoran pertumbuhan perlahan dua ekonomi besar Asia iaitu China dan India,” kata Malaysia Rating Corporation (MARC) dalam laporan penyelidikannya.

Dalam pada itu, firma penarafan itu berkata, tindakan Amerika Syarikat untuk mengurangkan pakej rangsangan ekonominya pula berpotensi menyaksikan penurunan ketara aliran modal global dan menyebabkan peningkatan kadar faedah atau kos pinjaman.

Pada peringkat antarabangsa, agensi penarafan pula memantau rapat untuk melihat keupayaan kita menguruskan kewangan negara dalam mencapai sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus menjelang 2015.

Pengurangan defisit mencerminkan pengurusan ekonomi dan pembaharuan fiskal yang teratur dan dalam konteks ini, kerajaan dijangka mengukuhkan lagi komitmennya untuk mencapai sasaran dasar fiskal yang digubal dan meluaskan penerimaannya di sektor awam.

Kerajaan juga dijangka umumkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Perluas asas cukai

Alliance Research dalam laporan penyelidikannya, berkata negara kini perlu memperluaskan asas cukainya susulan hanya 10 peratus daripada rakyat yang bekerja, membayar cukai, manakala lebih 30 peratus hasil cukai negara adalah dari industri petroleum.

“Berdasarkan perkembangan terkini, kami menjangka kerajaan mengumumkan satu bentuk jadual pelaksanaan GST pada 2015,” katanya.

Selain itu, difahamkan kerajaan juga memperkemaskan lagi peraturan dan kawalan dalaman perbelanjaannya berdasarkan penemuan dan cadangan Ketua Audit Negara.

Bahagian penyelidikan Alliance Bank Group itu juga menjangka, kerajaan bakal mengumumkan secara terperinci langkah berperingkat penyusunan semula subsidi bagi membolehkannya disalurkan dan memanfaatkan golongan sasaran.

Kesejahteraan rakyat

Sementara itu bagi kesejahteraan rakyat, penganalisis menjangka kerajaan akan memberi tumpuan kepada program sosioekonomi khususnya dari segi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas, pembinaan rumah mampu milik, mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kesihatan.

Kerajaan juga dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan dalam usaha menjadikan negara sebagai antara pusat keusahawanan global.

Ia selaras dengan penganjuran Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) Ke-14 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment