Friday, October 25, 2013

FBM KLCI cecah 1,818.93 mata


2013/10/25 - 06:35:07 AM 


Pelabur yakin Bajet 2014 umum langkah pengukuhan ekonomi

Bursa saham Malaysia mencatat paras penutup tertinggi dalam sejarah semalam apabila ditutup pada 1,818.93 mata didorong oleh keyakinan pelabur mengenai langkah mengukuhkan kedudukan kewangan negara yang dijangka diumumkan Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2014, hari ini.

Penanda aras pasaran saham tempatan, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE (FBM KLCI) berada pada paras tinggi sepanjang urus niaga semalam apabila dibuka pada 1818.75 mata dan melonjak ke paras tertinggi harian 1822.17 mata, sebelum ditutup pada 1818.93 mata. 

Berbanding kelmarin, FBM KLCI meningkat 4.82 mata atau 0.3 peratus dengan 1.52 bilion saham bernilai RM1.657 bilion diurusniagakan. 

Dalam pada itu, pasaran bon turut memberi reaksi positif apabila hasil bagi bon dengan kadar kupon 3.48 peratus yang matang pada 2023 susut 0.11 peratus kepada 3.62 peratus, iaitu terendah sejak 8 Julai tahun ini, berdasarkan data disusun Bloomberg.

Nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pula menokok 0.2 peratus kepada RM3.1608, kekal pada paras kukuh tahun ini.

Pengurus Kanan Pelaburan Institusi Inter-Pacific Sdn Bhd, Deti Affendi Kadir, berkata FBMKLCI mencatatkan penutup tertinggi dalam sejarah sejak kelmarin susulan peningkatan minat pelabur tempatan dan asing.

“Pelabur kini bertambah yakin dengan pertumbuhan ekonomi negara, dan mereka menjangka bajet kali ini akan menggariskan langkah untuk terus merangsang pertumbuhan. 
Kukuh kedudukan fiskal

“Pelabur asing juga mula kembali ke pasaran dengan membeli saham mewah. Perkara ini dapat disaksikan dengan pengukuhan nilai ringgit untuk hari kedua berturut-turut,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Deti berkata, tekad kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan perbelanjaan berhemat dan perancangan teratur untuk mencapai sasaran menurunkan defisit kepada 3.0 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2015, mendapat perhatian pelabur antarabangsa.

“Mengambil kira penutup semalam, FBM KLCI sudah menunjukkan peningkatan sejak tujuh hari dagangan secara berturut-turut. Ini adalah tempoh kenaikan peringkat harian paling lama sejak Disember.

“Pasaran menjangka Perdana Menteri akan mengumumkan langkah selanjutnya untuk menurunkan defisit fiskal,” katanya.

Penganalisis berpendapat, sebarang pengumuman mengenai tindakan menyusun semula subsidi dan cadangan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah baik dalam memantapkan lagi kedudukan kewangan negara.

Pasaran terus rancak

Mengenai prospek pasaran saham tempatan untuk tempoh selanjutnya, Deti berkata, pasaran dijangkakan terus rancak untuk tempoh seterusnya didorong pengumuman bajet kali ini.

“Kami menjangkakan pasaran saham akan terus meningkat seiring dengan peningkatan nilai ringgit selepas memperincikan perkara yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri. Paras halangan bagi FBM KLCI seterusnya adalah 1,830 mata,” katanya.

Deti berkata, risiko penurunan pasaran kini bertumpu kepada hasrat kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengurangkan pakej rangsangan ekonominya secara berperingkat, dan ia dijangka akan mengurangkan aliran modal pada peringkat global.

No comments:

Post a Comment