Publication: BH
Date of publication: Apr 7, 2012
Section heading: Ekonomi
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Hazwan
Faisal Mohamad
PERUSAHAAN kecil dan sederhana
(PKS) perlu melihat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai
sesuatu yang positif dengan ia dapat membantu mengembangkan perniagaan secara
lebih meluas.
Ketua Eksekutif SME Corporation
Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim, berkata, pelaksanaan GST seharusnya
dianggap tidak membebankan kerana ia dapat membantu mendidik PKS menguruskan
kewangan dengan lebih berkesan.
Katanya, kini kebanyakan PKS
didapati tidak memiliki sistem pengurusan kewangan yang baik justeru menghalang
mereka untuk mengembangkan perniagaan dengan lebih jauh.
Pelaksanaan GST ini mungkin akan
membabitkan sedikit kos tambahan kepada PKS apabila terpaksa mengeluarkan
sedikit perbelanjaan untuk membeli peralatan atau sistem baru.
Namun begitu, mereka perlu
menganggap semua penambahan itu sebagai pelaburan masa depan untuk syarikat
mereka, katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Anugerah
Enterprise 50 (E50) 2012 di Kuala Lumpur semalam.
Pelancaran disempurnakan
Pengerusi SME Corp, Datuk Ir (Dr) Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Pengurus
Bersama Negara Deloitte Malaysia, Tan Theng Hooi.
Hafsah berkata, PKS yang kini
mewakili 99.2 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia perlu bersedia
untuk berubah bagi menjamin kelangsungan syarikat mereka.
PKS adalah tulang belakang kepada
ekonomi negara dengan menjadi penyokong penting kepada syarikat korporat serta
kerajaan, katanya.
Mengenai penganjuran E50 yang
memasuki edisi ke-16 tahun ini, Hafsah berkata, terdapat perubahan pada program
itu membabitkan penyertaan peserta.
Katanya, jika sebelum ini, PKS
perlu mencalonkan diri mereka sendiri jika mahu menyertainya, bagaimanapun tahun
ini format itu diubah dengan SME Corp yang akan menjemput peserta untuk
menyertai program itu.
Penilaian akan dilakukan menerusi
kaedah dipanggil 'SME Competitiveness Rating for Enhancement' atau SCORE yang
akan diukur daripada kosong bintang hingga lima bintang dengan PKS yang
mendapat penarafan empat bintang ke atas saja akan dipilih.
Sehingga kini, lebih 400 PKS
sudah dipilih dengan kemudiannya hanya 50 akan disenarai pendek bagi merebut
anugerah syarikat terbaik pada majlis yang akan berlangsung pada 9 November
depan, katanya.
E50 adalah anugerah tahunan
anjuran SME Corp dan Deloitte Malaysia dengan sokongan Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri dan ditaja oleh RHB Bank Bhd, Telekom Malaysia Bhd
dan Media Prima Bhd.
Business Times, iaitu sisipan
perniagaan akhbar New Straits Times serta majalah Malaysia SME pula adalah
rakan media anugerah itu.
No comments:
Post a Comment