ARKIB : 07/04/2012
KUALA LUMPUR 6 April - Perusahaan
kecil dan sederhana (PKS) tidak perlu gusar mengenai pelaksanaan cukai
perkhidmatan dan barangan (GST) kerana ia mampu memberi banyak manfaat terutama
di dalam pengurusan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif, SME
Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim berkata, kebanyakan PKS tempatan
tidak mempunyai pengurusan kewangan yang baik sekali gus menyukarkan mereka
menjalankan perniagaan.
"Pengurusan kewangan sangat
penting di dalam sesuatu perniagaan tetapi malangnya banyak PKS tempatan tidak
menitik beratkan perkara ini.
"Diharapkan dengan
pelaksanaan GST kewangan PKS akan diurus dengan lebih teratur dan boleh
mengesan setiap aktiviti," katanya semasa sidang akhbar selepas Pelancaran
Program E50 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi SME Corp.,
Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid.
Tambah Hafsah, SME Corp memainkan
peranan penting untuk memberi penerangan dan menyedarkan PKS-PKS mengenai GST.
"SME Corp. perlu memastikan
kesemua PKS-PKS ini bersedia dan tidak mempunyai kekeliruan mengenai GST
sebelum kerajaan melaksanakannya," ujar beliau lagi.
Tambah beliau, untuk itu juga SME
Corp. bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam dan Kementerian Kewangan bagi
mendapatkan maklumat lengkap mengenai GST.
Hafsah juga menasihatkan PKS-PKS
supaya tidak risau mengenai kos bagi pemasangan sistem yang bakal ditanggung
sekiranya GST dilaksanakan.
"Anggap ia sebagai pelaburan
kerana pulangannya berpanjangan. Ia bukan sesuatu yang sia-sia, malah apabila
pelaksanaan GST mampu mengukuhkan pengurusan kewangan sesuatu syarikat, ia
boleh dikatakan satu pelaburan yang sangat berbaloi, " tambahnya lagi.
Bercakap mengenai Program
Enterprise 50, Hafsah berkata, acara tahunan itu bakal mengiktiraf 50 syarikat
berpotensi tinggi di kalangan PKS tempatan.
Acara yang telah diadakan selama
16 tahun ini dianjurkan oleh SME Corp. dan Deloitte Malaysia dengan sokongan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Setakat ini, Enterprise 50 telah
menarik 1,673 penyertaan namun sedikit perbezaan dilakukan pada tahun ini
apabila penyertaan adalah berdasarkan jemputan eksklusif penganjur sahaja.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm#ixzz2WGJjlc1p
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment