Wednesday, April 23, 2014

`Saya masih penyokong BN'


Publication: BH
Date of publication: Apr 23, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menegaskan beliau bukan antikerajaan, sebaliknya penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, tanggapan sesetengah pihak beliau kini bersama perjuangan pembangkang adalah tidak benar.

"Saya lama dalam kerajaan... dua kali dilantik Menteri Kewangan.. kritikan yang keluar dari saya itu adalah untuk kebaikan semua dan saya tetap penyokong kuat kerajaan.

"Mungkin ada dasar ekonomi sekarang baik dari segi matlamatnya, namun masih ada lompang perlu ditambah baik untuk pastikan ia (dasar itu) benar-benar membawa manfaat buat rakyat," katanya sambil menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan jika pandangannya diperlukan.

Beliau berkata demikian selepas hadir program Bicara Petang Bersama Tun Daim Zainuddin anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) dihadiri kira-kira 300 peserta di sini, semalam.

Cari punca kemerosotan sokongan terhadap BN

Daim juga berkata, penting bagi kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak membuat analisis bagi mencari punca kemerosotan sokongan orang muda terhadap BN serta merancang satu dasar yang boleh memenangi hati mereka.

Mengulas mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula tahun depan, beliau berkata, GST pernah dicadangkan untuk dilaksana pada era Tun Dr Mahathir Mohamed dan mengakui ia sistem percukaian yang cekap dan perlu disegerakan.

Sementara itu, Daim menafikan dakwaan beliau menyalahguna kuasa berhubung pemilikan sebuah bank di Tanzania.

Katanya, cubaan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya wujud unsur penyelewengan berkaitan dirinya memiliki perniagaan itu perlu dipersoalkan.

"Ya... memang saya ada bank di sana (Tanzania).. lama dah. Anwar pun tahu sebab dia ambil alih Menteri Kewangan daripada saya dulu.

"Masa Anwar jadi Menteri Kewangan, dia mempengerusikan satu jawatankuasa menangani rasuah (peringkat Kabinet)... kenapa waktu itu tidak ambil tindakan terhadap saya.

"Saya sudah dua kali disiasat (isu itu) pada 1999, tidak ada apa-apa pun (kesalahan)," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Ahli Parlimen Permatang Pauh mengemukakan bukti kukuh kepada pihak berkuasa untuk membuktikan dakwaannya.

"Anwar ini, cakap saja... bukti tiada pun," katanya sambil memaklumkan keputusannya membuka bank di Tanzania adalah atas permintaan ketua negara berkenaan ketika itu yang mahu beliau membuat pelaburan di sana.

Sebelum ini, Anwar dalam beberapa siri ceramahnya menyatakan beliau ada bukti penyelewengan dan salah guna kuasa Daim, termasuk berkaitan pemilikan sebuah bank di Tanzania.

No comments:

Post a Comment