Monday, April 7, 2014

Pendapatan kita tidak cukup untuk tingkat kehidupan


APR 06, 2014 HARAKAHDAILY

GEORGETOWN: DAP tidak bersetuju dengan Bank Dunia bahawa kualiti sistem pendidikan Malaysia yang merosot adalah lebih membimbangkan berbanding tahap hutang isi rumah. 

“Dr Frederico Gil Sander yang merupakan ahli ekonomi kanan Bank Dunia bagi negara Malaysia, menjelaskan bahawa sistem pendidikan negara kita yang substandard akan memberi kesan dari segi ketersediaan modal insan mahir yang diperlukan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang diperlukan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, sementara tahap hutang isi rumah yang tinggi tidak semestinya menjadi masalah sekiranya ekonomi terus bertumbuh dan rakyat mempunyai pekerjaan,” ujar Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Katanya, Malaysia mencatat hutang isi rumah yang kedua tertinggi di Asia daripada 81.1% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2012 kepada 86.8% KDNK pada tahun 2013.

Justeru, tambanya DAP percaya bahawa kedua-duanya membawa ancaman ekonomi yang sama besar kepada Malaysia dan mampu merosakkan Wawasan 2020 untuk mentransformasikan Malaysia kepada negara maju. 

Menurutnya, hutang isi rumah yang tinggi akan menurunkan kualiti kehidupan, dan rekod sosial membuktikan bahawa pendidikan anak-anak akan menjadi mangsa pertama apabila kesempitan ekonomi melanda. 

“Tambahan pula, peningkatan pendapatan kita tidak cukup untuk menyediakan peningkatan kualiti kehidupan yang setimpal, manakala rakyat kita tidak mempunyai pendapatan yang menaik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Kata Ahli Parlimen Bagan itu lagi, kesatuan-kesatuan buruh mendakwa bahawa bagi dekad terakhir, produktiviti meningkat sebanyak 6.7% setiap tahun namun gaji sebenar (real wages) hanya meningkat 2.6% setiap tahun. 

Beliau menambah, keadaan dalam industri pembuatan adalah lebih mencemaskan apabila gaji sebenar dalam industri berorientasikan eksport hanya meningkat 1.9% sementara industri berorientasikan tempatan meningkat 1.4% selepas 1997.

Menurutnya, peningkatan harga barangan seperti gula, petrol, tarif elektrik dan premium insurans motor oleh Kerajaan Persekutuan BN tahun lepas lagi menekankan hakikat bahawa gaji tidak dapat mengatasi inflasi. 

Sehubungan itu, ujarnya DAP mencadangkan gaji minima RM1,100 bersekali dengan tempoh tangguhan selama 5 tahun untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dapat meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia dan membantu pertumbuhan ekonomi dengan melindungi PKS Malaysia.

Menurut Lim, dasar gaji minima PR sebanyak RM1,100 boleh diterima oleh PKS asalkan ia tidak merangkumi pekerja asing. 

Katanya, setelah tempoh tangguhan 5 tahun, PKS harus membayar gaji minima kepada semua pekerja, sama ada asing atau tempatan. 

Tambahan, ujar beliau Malaysia kerugian apabila pekerja asing hanya menghantar balik kebanyakan gaji mereka. 

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, jumlah kiriman wang oleh pekerja asing sah telah berganda daripada RM10 bilion pada tahun 2009 kepada hampir RM20 bilion tahun lepas. 

“Angka ini dijangka akan berganda apabila gaji minima dilaksanakan ke atas pekerja asing.

“Untuk sebab ini, majikan dan pekerja Malaysia harus dijaga dengan memastikan pekerja menikmati gaji minima yang lebih tinggi, iaitu RM1,100 sebulan, dan dengan memberi PKS satu tempoh tangguhan selama 5 tahun agar mereka dapat menyesuaikan diri sebelum membayar gaji minima kepada pekerja asing,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment