Monday, April 7, 2014

Nilai RM11.40 sebulan


ARKIB : 06/04/2014
Oleh ZULKEFLI HAMZAH
warungrakyat.mingguan@gmail.com

JUMLAH RM11.40 begitu bermakna kepada Kerajaan PKR Negeri Selangor. Sebab itu, angka kebanggaan tersebut terus dipelihara sejak penggal pertama pemerintahan pada 2008. Angka ini dijaja dan disolek kosmetik sehingga orang terleka dengan masalah sebenar air di Lembah Klang.

Penduduk terbuai dengan jaminan kerajaan negeri bahawa Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya tidak akan menghadapi masalah bekalan air bersih. Hujan turun di sana sini dan air melimpah ruah, itu kata penguasa negeri.

Ramalan krisis air akan berlaku pada tahun ini oleh para pakar seperti tiupan angin, hilang disapu oleh propaganda kehebatan kerajaan negeri yang menghadiahkan subsidi RM11.40. Ramalan itu diremehkan konon strategi jahat Kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek kroni, Loji Air Langat 2 yang kini akhirnya diteruskan pembinaannya.

Sekarang penduduk barangkali sudah sedar dengan nilai RM11.40 itu. Sejak berbulan-bulan ini, mereka hidup dengan catuan - yang tidak pernah berlaku seteruk ini bahkan di kawasan yang tidak pernah terjejas pun kini berkongsi penderitaan terputus bekalan air.

Berbelanja Lebih

Subsidi RM11.40 bagi kebanyakan mereka sudah tidak ada makna. Dalam beberapa bulan ini penduduk di negeri maju itu terpaksa berbelanja lebih untuk membeli tong-tong bagi menyimpan air bagi menghadapi catuan.

Ini belum dikira susah payah mengangkut air. Bagi yang mengadakan kenduri atau majlis keramaian, terpaksa pula bergantung kepada lori tangki Syabas atau menyimpan air dalam jumlah yang banyak. Keadaan bertambah sukar jika tinggal di flat.

Boleh dibayangkan betapa rumitnya restoran menguruskan masalah catuan air ini. Pelanggan hendak basuh tangan pun susah. Entah bersih entah tidak pinggan mangkuk dan peralatan memasak yang digunakan.

Subsidi RM11.40 itu hanya gula-gula politik, yang sekarang menyusahkan orang ramai. Pemberian ini bukan sekadar digunakan sebagai kempen politik untuk membius rakyat tetapi telah menyebabkan pengguna tidak menghargai air.

Ada yang membazirkan 20 kubik padu air bersih untuk saja-saja menyiram tanaman. Alasannya, kerana air itu percuma ihsan daripada kerajaan negeri.

Barangkali Kerajaan Pulau Pinang belajar apa yang telah dilalui oleh rakan sekutu mereka di Selangor ini. Kerajaan DAP nampaknya tidak percaya kepada subsidi. Kepada mereka, pemberian subsidi hanya mendidik rakyat supaya membazirkan air bersih. Lagipun kata mereka, tarif air di Pulau Pinang adalah yang terendah.

Itulah alasan kerajaan negeri yang bercadang menaikkan tarif air sebagai langkah akhir mengelakkan catuan. Kepada mereka, tarif air mesti mahal supaya pengguna berjimat cermat menggunakan sumber itu.

Setelah gagal mendidik pengguna supaya mengurangkan penggunaan air, kenaikan tarif kini menjadi pilihan. Mereka tahu langkah itu akan dikritik dan dikecam tetapi nampaknya semua itu bakal dilanggar begitu sahaja.

Satu pendekatan yang sama sekali sangat kontras. Yang satu negeri berikan subsidi walaupun sedang menghadapi krisis air. Yang satu lagi negeri hendak naikkan tarif air untuk mengelak berlakunya krisis bekalan air.

Tindakan mana yang betul sebenarnya? Yang satu negeri asyik mengugut tarif air akan dinaikkan jika kerajaan negeri tidak dibenarkan mengurus sepenuhnya pengagihan bekalan air bersih yang kini di bawah konsesi swasta. Yang satu negeri walaupun pengagihan bekalan air di bawah kendalian mereka, masih tetap mahu menaikkan tarif.

Kedua-dua negeri seperti tidak mempedulikan janji kepada rakyat yang telah diikrarkan. Janji tidak akan menaikkan apa juga tarif malah akan membebaskan rakyat daripada bayaran tol dan pinjaman pendidikan dimungkiri begitu sahaja.

Yang jelas, isu air telah memberikan gambaran tentang wajah sebenar sebahagian daripada politikus kita. Dalam siang hari pun mereka masih mahu berbohong dan berlaku curang.

Dulu semasa harga gula dinaikkan dalam satu strategi merasionalisasi subsidi, politikus yang sama mencemuh langkah yang bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan negara itu. Mereka ketawakan hujah kenaikan harga bagi mengurangkan penggunaan gula berlebihan yang menjadi punca penyakit kencing manis.

Sekarang, mereka gunakan alasan yang sama. Tidak hairanlah nanti mereka boleh lakukan hal-hal yang sekarang dianggap mustahil termasuk mengubah apa yang sedia ada dengan alasan 'terpaksa' seperti yang digunakan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam isu air ini.

Malangnya sebahagian daripada kita sendiri yang memilih untuk memelihara politikus bernilai RM11.40 ini untuk menjadi pemimpin. Maka, kini sama-samalah terima padahnya.

Percayalah, politikus yang sekarang tampak bersungguh-sungguh menentang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) umpamanya, akan bertindak sebaliknya jika berada di pihak kerajaan. Mereka tahu manfaat GST kepada rakyat dan negara tetapi menentangnya semata-mata atas sebab kepentingan sempit politik.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment