Wednesday, March 5, 2014

Rasionalisasi subsidi lonjakkan ekonomi


2014/03/04 - 07:49 AM 
Najib berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya,
semalam. Turut kelihatan dari kiri Mohamad Zabidi, Ali, Abdul Wahid
dan Muhyiddin. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Dasar inklusif catat nilai dagangan RM1.36 trilion

Putrajaya: Kerajaan membuat tindakan tepat menerusi rasionalisasi subsidi bagi membantu melonjak ekonomi negara, dengan penjimatan digunakan menambah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kata Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, dasar bersifat inklusif dan mampan itu turut membantu perkembangan ekonomi apabila mencatat nilai dagangan RM1.36 trilion tahun lalu.“Kita berada pada landasan betul termasuk rasionalisasi subsidi, namun tidak mampu bertahan tanpa penambahbaikan dan pembangunan pada diri serta negara. 

“Negara membelanjakan RM22 bilion untuk subsidi minyak, RM40 bilion subsidi dan insentif lain, manakala RM46 bilion untuk pembangunan, ini tidak seimbang.

“Perbelanjaan subsidi berlebihan mendatangkan ketirisan, pembaziran dan ketidakadilan. Ini menghalang kerajaan menyalurkan peruntukan lebih bagi pembangunan,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Peruntukan pembanguna

Najib berkata, berdasarkan teori ekonomi, pengurangan subsidi boleh digunakan untuk menambah peruntukan pembangunan negara.

“Saya berharap dalam RMK-11 kita boleh tambah peruntukan bagi pembangunan sebab banyak lagi yang perlu kita lakukan membina lebih banyak sekolah, loji air, tebatan banjir dan jalan raya di kawasan bandar serta luar bandar.

“Semua ini memerlukan kos besar. Jadi, kita tidak boleh tambah melalui tambahan hutang, sebab kalau hutang bertambah ia menyebabkan ekonomi merudum,” katanya.
Selain itu, langkah kerajaan mengurangkan subsidi pukal kepada subsidi bersasar juga memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan, terutama pemberian BR1M.

“BR1M 3.0 kita beri kepada 7.9 juta isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan peruntukan RM4.6 bilion. Saya dapat maklumat banyak yang pergi ke Sogo pada Sabtu dan Ahad, pasar tani selain pasar minggu. Jadi, ekonomi tempatan berkembang dan ini memberi manfaat secara langsung berbanding subsidi pukal,” jelas beliau.

Najib berkata, kerajaan peka terhadap masalah dihadapi rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kita sensitif dengan isu ini. Kerana itu, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ditubuhkan bertujuan mengambil langkah mengurangkan beban rakyat selain turun padang memantau harga,” katanya.

No comments:

Post a Comment