Friday, March 7, 2014

Aspek psikologi merungkai isu pembangunan


Publication: BH
Date of publication: Mar 6, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 027
Byline / Author: 0leh Nasrudin Mohamed

Psikologi berkaitan secara umum dengan permasalahan manusia. Apabila struktur masyarakat bertambah rumit, pelbagai masalah timbul disebabkan bermacam punca. Ia merangkumi kejayaan, kegagalan, tingkah-laku, kesan sesuatu fenomena ke atas manusia dan masyarakat khususnya terutama masalah berkaitan kehidupan.

Bidang psikologi tegak atas prinsip bahawa struktur psikologi manusia dikuasai sepenuhnya oleh fizikal, struktur organik dan kebendaan. Kajian psikologi dikatakan bermula dengan spekulasi berkenaan roh. Berlaku peralihan apabila tumpuan diberi terhadap kajian jiwa serta realiti tersimpan di sebalik kejiwaan berkenaan. Hari ini, bidang psikologi tertumpu terhadap aspek tingkah laku manusia.

Dalam rangka kerja bidang pentadbiran pembangunan negara secara menyeluruh, aspek psikologi dikaitkan secara langsung dan tidak langsung terutama dalam menjelaskan persoalan yang berhubungan dengan sikap, tabiat serta tindakan yang dilakukan individu apabila merangsang terhadap sesuatu perubahan misalnya.

Perjelas kekeliruan rakyat

Persoalan seperti kekeliruan masyarakat memahami program pembangunan ialah contoh yang memerlukan penyelesaian secara psikologi. Hal ini termasuk analisis berkenaan kandungan serta kaedah bagaimana sesuatu program berupaya memberi keyakinan dalam kalangan masyarakat untuk menikmati, di samping menilai kesan projek pembangunan yang disusun untuk kebaikan masyarakat.

Contoh khusus berkaitan hal ini sentiasa ada. Polisi serta program seperti pelaksanaan GST (dari segi baik buruknya), keterbukaan penggunaan teknologi maklumat (misalnya melalui aplikasi media sosial yang longgar dari segi kawalannya), pengamalan kegiatan politik (seperti kempen pilihan raya), amalan dan kaedah pemberian subsidi (seperti harga barangan, PR1MA dan pendidikan tinggi) semuanya membabitkan proses analisis yang menuntut kemahiran memanfaatkan maklumat serta rasionalisasi menyeluruh.

Untuk sekian lama, psikologi memainkan peranan melancarkan perancangan serta pentadbiran pembangunan. Dalam isu persekitaran umpamanya, psikologi digunakan untuk menimbulkan kesedaran betapa menjaga kebersihan alam sekitar sebenarnya tanggungjawab semua.

Rakyat Jepun secara psikologinya terdidik dengan kesedaran bahawa pengurusan sampah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Sukar untuk mencari tong sampah di negara itu.

Kaedah kitar semula digunakan jentera pentadbiran pembangunan sebagai kaedah menjaga keseimbangan eko-sistem. Individu dalam masyarakat pula `dipujuk,' `dididik semula' dan `diindoktrinasi' untuk melihat alam sekitar sebagai sebahagian kehidupan. Psikologi digunakan dengan sebaiknya menurut kaedah yang difikirkan sesuai oleh pihak pentadbir pembangunan.

Nilai kecenderungan manusia

Kaedah psikologi mengupayakan pentadbiran pembangunan mengesan serta mengenal pasti kecenderungan semula jadi manusia terhadap sesuatu benda. Dengan mengkaji punca kecenderungan itu, maklumat berkenaan membantu kerajaan untuk merangka sesuatu tindakan yang bersesuaian dengan kehendak masyarakat.

Sebagai contoh, ketika kerajaan berusaha membina reputasi yang meyakinkan bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri, persoalan psikologi seperti mendapatkan keyakinan rakyat tempatan dan asing menjadi pertimbangan utama, terutama jika negeri itu pernah tercalar reputasinya oleh insiden tertentu yang membawa kesan negatif dari sudut ekonomi.

Hal ini pernah dialami misalnya oleh Johor dalam hubungannya dengan rakyat dan Kerajaan Singapura. Kira-kira lapan tahun lalu, laporan kejadian jenayah yang diterbitkan media Singapura berkenaan berita bahawa rakyat Singapura sering menjadi sasaran peragut, perompak dan penculik dikatakan menjejaskan ekonomi negeri itu yang mengakibatkan kehilangan pendapatan RM225 juta.

Berikutan itu, kerajaan Johor menghantar delegasi ketua jabatan agensi keselamatan dan pelancongan negeri untuk menanamkan keyakinan rakyat Johor bahawa negeri itu selamat bagi pelancong dan kenderaan dari Singapura bukan sasaran penguatkuasaan Majlis Bandaraya Johor Baru (Group to woo back Singaporeans, New Straits Times, January 3, 2006, halaman 4).

Psikologi membolehkan aliran dan bentuk hala tuju masyarakat dapat dibaca dan difahami. Dengan itu, perhubungan antara psikologi dengan pentadbiran pembangunan perlu ditadbir dengan berkesan.

* Penulis ialah Profesor Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA

No comments:

Post a Comment