Friday, February 21, 2014

TPP berfaedah tapi dengan syarat


RAZIATUL HANUM A. RAJAK
20 Februari 2014
Datuk Seri Mustapa Mohamed.
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan memberi faedah jika beberapa syarat kepentingan negara ini terpelihara.

Menurutnya, beberapa perkara yang menjadi pertimbangan utama termasuk soal perusahaan milik negeri (SOE) atau syarikat berkaitan kerajaan, buruh, pelaburan, dan Hak Harta Intelektual (IPR).

“Pada masa ini, secara keseluruhannya, TPP boleh memberi faedah kepada kita dengan syarat beberapa kepentingan kita terpelihara. Ini pendirian kita,” katanya pada sidang media selepas sesi penerangan mengenai perkembangan rundingan TPP kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut soal perkembangan rundingan TPP itu, Mustapha berkata, lapan bab perjanjian TPP sudah selesai dibincangkan dan masih berbaki 21 bab.

Dalam pada rundingan itu terus memasuki fasa selanjutnya, beliau melihat usaha kerajaan masih belum mencukupi dalam memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung perjanjian itu.

“Kita sudah berbuat sebaik mungkin. Kita ada perjumpaan secara terbuka bermula 1 Ogos 2013, sejak itu lebih 50 sesi telah diadakan seluruh Malaysia. Minggu ini saja telah ada dua... ini kita akan buat secara berterusan.

“Bukan saja di sini, juga di negeri lain. Ini mungkin belum mencukupi... sudah pasti tidak mencukupi kerana kita ada 29 juta rakyat. Mustahil untuk kita memberi penerangan kepada kesemua rakyat Malaysia. Tapi kita akan meningkatkan lagi majlis penerangan pada rakyat tentang perkara ini kerana ia isu besar,” katanya.

Mustapa akan menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri perundingan TPP di Singapura Sabtu ini hingga Selasa depan.

No comments:

Post a Comment