Friday, February 21, 2014

Kaji 250 barangan


Publication: HM
Date of publication: Feb 21, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 068
Byline / Author: Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kerajaan mengkaji 250 barangan yang ketika ini dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus sama ada dikenakan cukai atau tidak di bawah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, buat masa ini kerajaan masih belum mengeluarkan senarai barangan dikenakan GST yang bakal diumumkan pada masa terdekat.

Beliau berkata, dalam lebih 900 barangan ketika ini lebih 700 atau 75 daripadanya dikenakan SST 10 peratus apabila GST dilaksanakan ia dikenakan cukai hanya enam peratus.

"Ketika ini kerajaan mengadakan kajian kepada 250 barangan sama ada dikenakan GST atau tidak, tetapi barangan yang membabitkan keperluan tidak dikenakan cukai.

"Pada masa sama GST juga masih di peringkat perincian dan dibentangkan dalam Kabinet Dewan Rakyat yang dijangkakan pada April ini," katanya pada Forum Persediaan Pelaksanaan GST yang dianjurkan Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di sini, semalam.

Ahmad Husni berkata, kadar GST yang diperkenalkan kerajaan sebanyak enam peratus dalam kalangan terendah antara 160 negara yang melaksanakannya.

Katanya, tambahan banyak negara mengguna pakai kaedah GST meskipun mempunyai kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah dari Malaysia. Antaranya, Burundi, KDNK perkapita AS$250 dan Mali, AS$610 dan Bangladesh, AS$680 yang mengenakan GST lebih sepuluh peratus.

"Pada kadar enam peratus, GST memberi kesan 1.8 peratus kepada Indeks Harga Pengguna (CPI) yang menunjukkan lebih rendah. Kita tidak menjangkakan CPI akan meningkat mendadak dengan pelaksanaanGST," katanya.

No comments:

Post a Comment