Monday, February 17, 2014

Peneroka digesa dapatkan maklumat sahih GST


2014/02/15 - 14:45:14 PM

TEMERLOH: Rakyat terutamanya peneroka, digesa mendapatkan penjelasan dan maklumat sahih mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum percaya sepenuhnya dakyah pembangkang mengenai isu itu. 

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said berkata ini kerana tujuan pembangkang hanya untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan sedia ada. 

"GST sebenarnya tidak membebankan dan sudah dilaksana di lebih 165 negara. Cukai tidak dikenakan terhadap semua barang dan perkhidmatan selain kadarnya jauh lebih rendah," katanya dalam majlis sambutan Maulidur Rasul di Felda Jengka 19, di sini. 


Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat dengan memastikan kajian terperinci sebelum memutuskan untuk melaksana GST. 

Dalam pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula April 2015, menggantikan dua cukai sedia ada iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus. 

Barangan keperluan asas seperti tepung, beras dan gula serta perkhidmatan kesihatan antara yang dikecualikan GST.

No comments:

Post a Comment