Tuesday, December 3, 2013

Percukaian lebih adil, telus


Publication: MA
Date of publication: Dec 1, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 030
Byline / Author: Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

TINDAKAN kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 2015 mencetuskan pelbagai reaksi, tohmahan, spekulasi, tuduhan dan juga fitnah.

Pihak yang tidak bersetuju dengan GST tidak dapat melihat kebaikan GST dalam konteks lebih luas dan kebaikan jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negara, sebaliknya terus mengelirukan masyarakat supaya marah dan benci dengan tindakan kerajaan itu.

Banyak pandangan diberi mengelirukan pengguna sehingga mereka menyatakan GST akan membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan miskin, tanpa mengkaji kepentingannya.

Bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai GST, Kafe Ahad minggu ini menemubual Pensyarah Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai yang memiliki doktor falsafah (PhD) dalam bidang percukaian dan sarjana dalam bidang Pentadbiran Industri.

Soalan : Apa yang dimaksudkan dengan GST dan patut difahami semua pihak?

Jawapan : GST adalah satu sistem percukaian adil kerana ia mengagihkan beban percukaian dalam kalangan kelompok penduduk secara lebih meluas berdasarkan jumlah penggunaan serta menetapkan jenis dan kuantum cukai yang perlu dibayar seseorang pengguna bagi barangan dan perkhidmatan digunakannya.

Ketika ini, negara terlalu bergantung pada cukai pendapatan individu dan badan korporat. Daripada kira-kira 28 juta penduduk Malaysia sekarang, tidak sampai dua juta adalah pembayar cukai pendapatan.

Sistem percukaian yang diperkenalkan ini lebih telus kerana pengguna mengetahui jenis cukai yang mereka bayar serta jumlahnya.

? : Adakah pelaksanaan GST mampu melonjakkan ekonomi negara?

! : Pelaksanaan GST adalah tepat pada masanya, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

GST adalah satu sistem percukaian yang menyeluruh, cekap dan komprehensif apabila dapat menjana pendapatan baik kepada negara, tetapi pada masa sama tidak membebankan.

Pihak yang masih mempunyai keraguan perlu melihat kejayaan GST di seluruh dunia serta memahami betapa perlunya GST dilaksanakan di negara ini.

? : Sistem percukaian GST mendapat banyak kritikan daripada pengguna. Dari segi ekonomi, adakah ia wajar dilaksanakan?

! : Melalui pelaksanaan GST, kerajaan akan memperoleh hasil mencukupi bagi menjana pertumbuhan dan membiayai lebih banyak projek pembangunan.

Untuk membolehkan Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020, kerajaan perlu melakukan reformasi terhadap sistem percukaian sedia ada bagi memacu perniagaan dan pembangunan.

Reformasi percukaian seperti memperkenalkan GST memang mengundang banyak kritikan pada peringkat awalnya, namun dari segi ekonomi, ia satu keputusan tepat.

? : Apa sebenarnya faedah GST berbanding sistem percukaian sedia ada yang perlu diketahui pengguna?

! : Pengguna perlu sedar melalui pelaksanaan GST, harga sesuatu barangan dan perkhidmatan lebih rendah berbanding di bawah pelaksanaan sistem percukaian sedia ada kerana ia mengelakkan cukai berganda.

Cukai ke atas cukai yang dikenakan sebelum ini sebenarnya lebih membebankan apabila lebih banyak pihak dikenakan cukai berbanding GST. Kerajaan pasti memikirkan sedalam-dalamnya sebelum mengumumkan untuk mengenakan GST.

? : Adakah semua peniaga akan terbabit dengan GST?

! : Bukan semua, peniaga yang boleh mendaftar untuk mengenakan cukai kepada pembelinya hanya perniagaan yang berpendapatan RM1 juta setahun dan ia pasti tidak membabitkan kedai barangan di kampung dan pasar malam.

Barangan basah di pasar juga pasti dikecualikan daripada GST. Orang yang tidak memahami apa sebenarnya GST pasti menganggap disebabkan GST, semua barangan akan dinaikkan, itu adalah tanggapan tidak betul.

? : Ada pihak mengatakan, adanya GST akan menyebabkan golongan miskin tertindas, apa pendapat Prof mengenai kenyataan ini?

! : Kalau nak dikatakan golongan miskin tertindas, ia sangat tidak tepat. Ini kerana ia bergantung kepada perbelanjaan mereka, jika berbelanja di pasar raya besar, pasti mereka dikenakan GST tetapi jika hanya berbelanja di pasar serta gerai yang tidak terbabit, pasti ia tidak membebankan mereka.

Golongan miskin tidak perlu bimbang kerana mereka hanya membayar jumlah minimum kerana menggunakan barangan dan perkhidmatan perlu saja seperti makanan, pengangkutan dan pendidikan, yang mungkin sifar kadarnya dan pengguna tidak perlu membayar cukai tambahan.

Jadi, cukai dikenakan terhadap mereka yang mampu berbelanja saja. Memandangkan golongan lebih berada dan kaya menggunakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan, secara automatik, mereka paling banyak dikenakan cukai di bawah GST, bukan golongan berpendapatan rendah.

? : Barangan elektronik antara barangan paling dirasai kenaikannya nanti, adalah ini tidak membebankan golongan pengguna?

! : Memang barangan elektronik seperti telefon bimbit yang menjadi keperluan utama pada masa sekarang paling dirasai kenaikannya. Namun bukan jumlah enam peratus GST itu kekal buat selama-lamanya.

Mungkin untuk permulaannya ia dikenakan cukai enam peratus, namun ia akan turun perlahanlahan sehingga mungkin kepada dua peratus.

Barangan elektronik ini bukan dibeli setiap hari dan ia tidak sangat menjejaskan golongan berpend apatan rendah, sebaliknya barangan keperluan asas seperti gula, tepung, beras dan beberapa lagi sebenarnya tidak mempunyai kenaikan walaupun di pasar raya besar.

? : Sebagai pensyarah ekonomi, mungkin Prof mempunyai apa-apa cadangan untuk membaiki sistem GST?

! : Kerangka dibentangkan sebelum ini memang baik, namun bagi saya beberapa perkara perlu diambil kira oleh Jabatan Kastam (Diraja Malaysia) selepas melaksanakan GST.

Pertamanya, sistem pembayaran semula kepada peniaga kecil yang membeli barangan daripada pasar raya besar dan dikenakan cukai, peniaga berkenaan tidak boleh mengenakan kembali cukai GST kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan di kedai mereka.

Dalam kerangka ada memberitahu, peniaga yang membeli barangan daripada pasar raya besar boleh mengemukakan resit mereka kepada kastam dan akan mendapat semula bayaran GST yang dibayar.

Di sinilah kita mahu perkara itu diambil perhatian supaya GST tidak membebankan manamana pihak. Justeru, saya berharap ia akan lebih diambil perhatian dalam pelaksanaannya nanti.

? : Apakah nasihat Prof kepada peniaga dan pengguna?

! : Peniaga perlu memainkan peranan dengan baik dan jangan sesekali mengenakan harga tinggi kepada pengguna kononnya dengan alasan cukai GST.

Sebaliknya, mereka perlu bersikap jujur dan mengambil kira semua aspek sebelum membebankan pengguna. Bagi pengguna pula, mereka harus memahami konsep GST dan jangan ingat semua barangan dibeli dikenakan GST dan perlu bijak dalam membelanja.

No comments:

Post a Comment