Tuesday, December 3, 2013

Fahami sistem GST elak penipuan


Publication: MA
Date of publication: Dec 1, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 031
Byline / Author: Oleh Firdaus Sahat

Kuala Lumpur: Cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat sebagai satu sistem pencukaian terbaik yang boleh diguna pakai di negara kita.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, penggunaan GST di negara maju seluruh dunia terbukti memberi impak positif kepada mereka.

"Ini yang harus kita contohi. Sudah pasti apa dirancang oleh kerajaan akan memberikan kebaikan kepada kita. Cuma, kita perlu tahu dengan tepat apakah GST itu serta memahaminya dengan baik dan jangan hanya membuat andaian.

"Suka atau tidak, ia sesuatu yang perlu dipatuhi. Cuma, kita sebagai pengguna perlu menjadi bijak dan jangan biarkan diri kita ditipu sesetengah pihak.

"Sudah pasti, akan ada yang cuba mengambil kesempatan bila sistem ini digunakan pakai kelak. Malah, sekarang pun sudah ada yang sudah cuba menipu pengguna," katanya.

Nadzim yang ditemui ketika Seminar Penerangan Apa itu GST dan kesannya terhadap masyarakat anjuran PPIM yang diadakan di Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini, semalam berkata, masyarakat tidak sepatutnya mendengar khabar angin atau persepsi negatif yang disampaikan oleh individu yang tidak mengetahui apakah GST sebenarnya.

"Persepsi dan tohmahan negatif diberikan oleh mereka yang tidak tahu maksud sebenarnya GST. Jadi, saya menyeru kepada masyarakat dan pengguna supaya jangan mendengar cerita kedai kopi mengenai perkara ini.

"Sebagai pengguna yang bijak, fahami dengan mendalam sistem ini supaya kita tidak mudah tertipu atau terpedaya.

"GST akan dilaksanakan pada 2015. Makanan tidak akan dikenakan cukai oleh kerajaan dan ini perkara asas yang perlu diketahui oleh pengguna.

"Jika kita tidak tahu perkara semudah ini, tidak mustahil akan ada peniaga mengambil kesempatan terhadap kita kononnya makanan juga dikenakan cukai.

"Dengan penganjuran seminar seperti ini, masyarakat dan ahli PPIM yang hadir akan dapat memahami dengan lebih jelas mengenai sistem terbabit.

"Sekurang-kurangnya mereka diberi penjelasan dan pendedahan mengenai GST oleh kakitangan kerajaan yang bertauliah.

"Selain itu, mereka bebas bertanya mengenai GST atau apa saja soalan yang berkenaan supaya mereka benar-benar memahami sistem terbabit," katanya.

Di sebalik menyokong tindakan kerajaan, Nadzim turut menyuarakan pandangannya mengenai nilai pungutan cukai jika GST dilaksanakan kelak.

Katanya, kerajaan perlu mengatur dan mengawal aliran wang yang diterima daripada sistem terbabit supaya tidak berlaku pembaziran atau penyelewengan.

"Kita perlu ingat, semua wang itu adalah wang rakyat. Walaupun sistem GST bagus, kerajaan juga perlu memastikan tiada pembaziran berlaku kelak. Penyelewengan atau penipuan yang terjadi nanti akan mematahkan semangat dan membunuh motivasi pengguna.

"Saya harap kerajaan dapat menyalurkan wang terbabit dengan baik dan ia dapat digunakan kembali untuk masyarakat negara ini," katanya yang akan meneruskan Seminar Penerangan Apa itu GST dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment