Monday, December 23, 2013

Pasukan ASASI, Nornikman juara debat


Date of publication: Dec 19, 2013
Section heading: Varsiti
Page number: 004

Kota Samarahan: Pasukan ASASI Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjuarai Pertandingan Debat Piala Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS 2013, baru-baru ini.

Pasukan itu yang berperanan sebagai kerajaan dalam mendebatkan usul `Dewan ini percaya GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) harus dilaksanakan demi mencapai Wawasan 2020', mengalahkan pasukan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) selaku pembangkang.

Anugerah Pendebat Terbaik pula menjadi milik Muhammad Syafiq Hamid dari FSKPM, manakala Nornikman Ag Kati dari Kolej Bunga Raya UNIMAS dinobatkan sebagai johan pertandingan pidato piala sama.

Pengarah program yang juga Presiden Kelab Deorator UNIMAS, Nurfara Syakila Samsul Kamal, berkata penganjuran pertandingan itu bertujuan mencari pelapis untuk mewakili universiti ke pertandingan debat serta pidato pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) kelak.

Budayakan pengucapan awam

"Program ini memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai gambaran sebenar perdebatan ala Parlimen peringkat IPT yang berbeza dengan peringkat sekolah.

"Selain itu, pertandingan ini diharap dapat mendidik pelajar baharu supaya lebih berfikiran kreatif dan kritis serta cakna dengan isu semasa, di samping membudayakan pengucapan awam di UNIMAS," katanya.

Pertandingan Debat dan Pidato Piala Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS adalah acara tahunan anjuran Kelab Deorator dan disertai pelajar dari setiap kolej kediaman serta fakulti, termasuk ASASI.

Sebanyak 14 pasukan dari FSKPM, Fakulti Sains Sosial (FSS), Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), Kolej Bunga Raya, Kolej Tun Ahmad Zaidi serta Kolej Cempaka, menyertai pertandingan debat kali ini, manakala 18 pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan pidato.

Menyerlahkan kepetahan

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman, bangga dengan penyertaan pelajar dalam pertandingan debat dan pidato kali ini.

"Pertandingan ini adalah pentas untuk pelajar menyerlahkan kepetahan mereka dalam berhujah dan memberikan idea serta pandangan masing-masing mengikut kaedah yang betul.

"Program ini perlu diteruskan pada masa hadapan dan diharap ia dapat membudayakan pengucapan awam di UNIMAS," katanya.

No comments:

Post a Comment