Thursday, November 14, 2013

Kerajaan teruskan sesi penerangan GST kepada umum


12 November 2013

SHAH ALAM - Kerajaan memulakan sesi penerangan berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada umum melalui program dan iklan di televisyen serta surat khabar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Kewangan juga akan memulakan sesi penerangan di lapangan tidak lama lagi bagi memastikan rakyat faham dengan langkah yang bakal dilaksanakan dan impak kepada mereka.

"Pihak MoF (Kementerian Kewangan) bersama pasukan GST telah memulakan program penerangan mereka. Dari segi sambutan, setakat ini mendapat sambutan yang baik daripada penganalisa, ahli ekonomi dan golongan peniaga.

"GST adalah sesuatu yang telah dijangkakan dan telah lama dicadangkan jadi kini sampai masa untuk melaksanakannya, tugas kita untuk memastikan semua rakyat faham langkah yang akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Career Attack' anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata kadar GST iaitu pada enam peratus adalah sangat munasabah dan merupakan yang paling rendah dalam kalangan negara Asean.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan membuat perancangan yang teliti sebelum melaksanakan GST pada April 2015 bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Katanya, kerajaan sudah memaklumkan tentang pelaksanaan GST sejak 2006 dan akan menggunakan tempoh 17 bulan mulai sekarang untuk memperjelas perkara itu bagi membolehkan semua pihak, termasuk syarikat, bersiap sedia melaksanakannya. 

Mengulas mengenai 'Career Attack' anjuran UiTM, Abdul Wahid berkata ia merupakan satu platform yang baik untuk menemukan majikan dan bakal pekerja serta pendedahan mengenai peluang pekerjaan yang ada di pasaran. 

Lebih 70 syarikat mengambil bahagian dan 3,000 jawatan kosong ditawarkan dalam program yang berlangsung selama tiga hari itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment