Friday, November 1, 2013

Jangan takutkan rakyat jika tak faham GST


November 1, 2013

Kebanyakan pemimpin tertinggi pembangkang memahami konsep GST, malangnya maklumat itu tidak sampai ke peringkat pemimpin pertengahan.

YAN: Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini membidas sesetengah pemimpin pembangkang yang sebenarnya tidak memahami sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) namun cuba menakut-nakutkan rakyat mengenainya.

Beliau berkata pemerhatiannya mendapati kebanyakan pemimpin tertinggi pembangkang memahami konsep GST, malangnya maklumat itu tidak sampai ke peringkat pemimpin pertengahan.

“Mereka inilah yang menakut-nakutkan rakyat sebab mereka sendiri tidak berapa faham tentang GST tetapi bercakap mengenai GST dalam ceramah-ceramah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan kementerian itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Ismail Kassim.

Dalam pada itu Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah meminta masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau agar mempertimbang secara keseluruhan pembangunan yang dinikmati mereka ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN) dan juga ketika berada di bawah kerajaan PAS.

“Saya serahkan pada masyarakat untuk menilai sendiri secara keseluruhan dari segi pembangunan yang telah dibawa,” kata Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah.

Isnin ini, 27,222 pengundi di DUN Sungai Limau akan memilih wakil baharu mereka antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat.

- Bernama

No comments:

Post a Comment