Friday, October 18, 2013

Sasar jual 300 unit sebulan


Publication: HM
Date of publication: Oct 18, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 066

Petaling Jaya: Naza Kia Malaysia menyasarkan jualan 300 unit sebulan bagi model terbarunya menerusi kenderaan segmen A iaitu Kia Picanto.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar berkata, sasaran itu dicapai kerana Kia Picanto memiliki pelbagai ciri menarik berbanding kenderaan yang berada dalam segmen A.

Menurutnya, biarpun kenderaan segmen A, Kia Picanto dilengkapi ciri keselamatan yang lebih baik apabila dipadankan enam bag udara dan empat brek cakera.

"Bagi harga kereta ini, kita tidak menetapkannya lagi. Bagaimanapun, harga anggaran bagi transmisi manual kurang RM60,000, manakala tidak lebih RM64,000 untuk automatik," katanya ketika ditemui selepas pandu uji media Kia Picanto di sini, semalam.

Sementara itu, Syed Hafiz berkata, berhubung bajet 2014 akan datang, pihaknya berharap pembentangan itu lebih memihak kepada golongan pertengahan yang sebelum ini kurang mendapat tempat dari segi mengurangkan bebanan kos hidup.

Menurutnya, perkara yang boleh dipertimbangkan bajet tahun ini adalah pengurangan harga kereta dan cukai individu.

"Golongan pertengahan perlu sokongan asas daripada kerajaan bagi membantu menikmati kehidupan lebih baik seperti golongan bawahan terima pada bajet 2013," katanya.

Syed Hafiz berkata, bagi mengurangkan cukai individu, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah cara terbaik untuk mengimbangi pendapatan kerajaan.

Menurutnya, GST lebih adil kerana mereka yang kerap berbelanja perlu dikenakan cukai berbanding sistem sekarang ini.

No comments:

Post a Comment