Friday, October 18, 2013

Pengumuman bajet demi kukuh ekonomi negara


Publication: BH
Date of publication: Oct 18, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Ahmad Fiesal Othman

Kerajaan mungkin terpaksa mengumumkan beberapa langkah kurang popular dalam Bajet 2014 bagi terus memantapkan kedudukan kewangan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata walaupun pengumuman berkenaan mungkin menimbulkan perasaan kurang puas hati dalam kalangan rakyat, kerajaan terpaksa berbuat demikian demi keharmonian dan kestabilan ekonomi negara untuk jangka panjang.

Dalam menguruskan negara, kerajaan perlu mengambil kira semua aspek bukan saja dari segi kesannya untuk jangka pendek tetapi untuk jangka panjang.

"Kita harap rakyat akan menerima langkah diambil kerajaan dalam konteks untuk memastikan negara kita selamat dalam jangka panjang, aman dan makmur," katanya pada majlis Pra-Pelancaran `Kongres Usahawan Muda Bumiputera' di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau ditanya mengenai inti pati Bajet 2014 membabitkan kementeriannya. Bajet 2014 dijangka merangkumi satu cadangan untuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan program rasionalisasi subsidi tambahan untuk mengurangkan defisit bajet.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri dan Presiden Generasi Muda Berjaya (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Sementara itu, seramai 2,000 usahawan muda Bumiputera dijangka menyertai Kongres Usahawan Muda Bumiputera itu yang akan diadakan pada Februari tahun depan.

Ia dianjurkan GMB sebagai satu wadah bagi usahawan muda untuk mencerna landskap ekosistem perniagaan baru dan berkongsi maklumat dengan kerajaan mengenai kekangan dan keperluan generasi usahawan muda Bumiputera.

Kongres itu akan mengandungi beberapa segmen penting seperti taklimat keusahawanan, pameran, jaringan perniagaan dan majlis makan malam.

Mustapa yang juga penaung kongres itu berkata, antara objektif utama penganjurannya ialah merumus pelan induk bagi usahawan Bumiputera selaras dengan dasar kerajaan dalam memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera.

Kongres itu juga bertujuan menambah nilai usahawan sedia ada, meningkatkan akses kepada pasaran, kewangan dan pembinaan kapasiti pengusaha muda sebagai pengeksport yang berdaya saing di pasaran antarabangsa dan sebagai platform bagi usahawan muda berkongsi maklumat, pendapat serta jalinan perniagaan.

No comments:

Post a Comment