Friday, August 30, 2013

Usaha perangi jenayah bukan 'cari salah'




PUTRAJAYA 29 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu usaha memerangi jenayah seperti yang dilaksana di bawah Op Cantas diadakan secara berterusan bagi memastikan rakyat dapat hidup tanpa rasa takut dan bimbang.

Perdana Menteri berkata, usaha terkini termasuk pengumuman senarai kongsi gelap tidak dilakukan secara drastik serta bukan bertujuan mencari kesalahan (witch-hunt).

Beliau berkata, tindakan itu sebaliknya mendapat sokongan rakyat yang mengharapkan tindakan tegas dan berkesan diambil pihak berkuasa kerana tidak mahu hidup dalam kebimbangan.

"Ini merupakan ketetapan yang dibuat kerajaan supaya sesuatu dapat dilakukan secara bersungguh-sungguh dan komprehensif melalui Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Arahan telah diberikan dan tindakan yang diambil bukan atas arahan kerajaan sahaja tetapi mendapat sokongan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung dakwaan sama ada usaha-usaha Op Cantas dan pengumuman senarai kongsi gelap oleh Kementerian Dalam Negeri dijalankan terlalu drastik.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib mengingatkan semua anggota pentadbiran dalam kerajaan supaya sentiasa sealiran dan senada dalam menangani isu yang timbul.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegur Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy kerana mempertikai tindakan polis menembak mati lima ahli kongsi gelap di Pulau Pinang.

Sementara itu, ditanya tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang mengharamkan tayangan filem Tanda Putera, Najib berkata, panggung wayang mempunyai kebebasan menayangkan filem tersebut termasuk di negeri berkenaan kerana negara ini adalah bebas.

"Saya tak pasti kuasa kerajaan negeri (dalam hal penayangan filem), tetapi kita sebuah negara yang bebas. DAP sendiri pun selalu bersuara tentang kebebasan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, kerajaan masih mengkaji implikasi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang mana input daripada Unit Teraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan diambil kira untuk mengenal pasti kesannya kepada penyertaan bumiputera.

Berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula, Najib tidak memberi jawapan mutlak sama ada cukai tersebut akan diumumkan dalam Bajet 2014.

"GST ini bukan perkara baharu, dialog dan perbincangan telah diadakan. Soal sama ada masuk dalam bajet atau tidak, kita kena tunggulah, kandungan Bajet 2014 tidak akan diberitahu lebih awal," katanya.

Menjawab soalan mengenai keadaan defisit pula, Najib berkata, langkah-langkah kawalan hanya akan diumumkan pada masa yang sesuai.

"Kerajaan sedang memantau, pasaran harapkan kita mengurus defisit dan imbangan pembayaran supaya pihak berkenaan yakin dengan pengurusan fiskal mikro dan makro negara ini. Perkara ini akan diumumkan pada masa bersesuaian," katanya.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment