Friday, August 30, 2013

Kementerian Kewangan dalam proses siapkan draf Belanjawan 2014


2013/08/29 - 17:09:25 PM

DATUK Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (tiga dari kiri) merasmikan Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2013 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) Sarawak, di sini, hari ini. - Foto Mohd Radzi Bujang

KUCHING: Kementerian Kewangan kini dalam proses menyiapkan draf Belanjawan 2014 selepas menerima kira-kira 100 memorandum daripada pelbagai pihak untuk dipertimbangkan, sepanjang Majlis Konsultasi Belanjawan 2014 dijalankan sejak Jun lalu. 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, berkata sejak Jun lalu, majlis tersebut diadakan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah, dan 

selepas majlis ketiga di Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Ogos, proses menyiapkan draf Belanjawan 2014 kini memasuki fasa akhir. "Draf berkenaan dijangka siap pada pertengahan September untuk diteliti dan dimuktamadkan sebelum dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Oktober depan. 

"Daripada 15 kumpulan fokus yang terbabit dalam Belanjawan 2014, ada beberapa kumpulan yang belum selesai. Antaranya berkenaan Indeks Kesejahteraan, dan perkara ini sedang kita laksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2013 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) Sarawak, di sini, hari ini. 

Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Md Yahya Basimin; Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak, Datuk Jabidah Monseri. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Ahmad Husni berkata perkara berkenaan tidak semestinya diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2014. 

"Kita masih mengkaji kesannya terhadap ekonomi. Kita mahu pastikan kalau berlaku kenaikan harga, berapa tinggi kenaikan tersebut dan kesannya ke atas rakyat, kerana pada akhirnya, keutamaan adalah untuk kesejahteraan rakyat," katanya. 

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment