Wednesday, July 17, 2013

Ke mana pergi Akta Antipencatutan?



ARKIB : 16/07/2013

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

BERSERABUT sebenarnya kita dengan isu kenaikan harga ayam ini. Sekilogram sahaja sudah mencecah RM10, itu antara harga terbaharu semalam dicatat paling mahal di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Dalam isu kenaikan harga ayam, dua kementerian sahaja yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perkara ini. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani atau MOA seingat penulis, telah pun menjalankan tanggungjawabnya. Sudah dua kali menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat kenyataan.

Pertama sebelum puasa lagi, telah membuka permit import ayam untuk lambakan bekalan itu bagi menstabilkan harga. Ini dengan membenarkan pengimportan ayam dari China. Kedua, memberi komitmen untuk berusaha memastikan bekalan pengguna di bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri mencukupi.

Setakat ini, itu antara daya usaha MOA. Bagaimanapun kita maklum, MOA sebenarnya tidak ada kuasa untuk mengawal harga ayam. Hal ini kerana pemborong dan peruncit di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan atau KPDNKK.

Pada masa sama, yang paling mustahak lagi Akta Kawalan Harga adalah di bawah bidang kuasa menterinya, Datuk Hasan Malek. Di kementerian Hasanlah terdapat Akta Antipencatutan yang boleh menghalang harga dinaikkan sesuka hati oleh pemborong dan peruncit.

Rakyat, penulis percaya mula semakin bimbang dengan 'permainan' orang tengah yang cuba mengaut keuntungan ini. Bukan 'sikit-sikit anak'.

Mengikut kedudukan harga dan bekalan ayam yang dicatat semalam, Isnin 15 Julai, pengeluaran ayam adalah 2 juta ekor sehari dalam bulan Ramadan. Menjelang Aidilfitri, akan meningkat 2.2 juta sehari.

Permintaan ayam pada hari biasa kira-kira 1.6 juta ekor. Kos pengeluarannya RM5.05 per kg, harga exfarm RM5.40-5.70 per kg, harga ayam standard (RM8.40 per kg) manakala ayam super RM9.40 per kg.

Sebenarnya, dalam isu kenaikan harga ayam, KPDNKK kenalah lebih serius mengekangnya. Penulis perasan (dan mungkin ini juga dikongsi banyak pihak) sejak isu ini timbul, menterinya macam agak 'buntu', tak tahu nak buat apa. Asyik bagi amaran kepada pemborong dan peruncit. Walhal akta-akta yang tersedia utuh di bawah bidang kuasa kementerian itu boleh diambil terhadap mereka yang tamak haloba ini.

Penulis difahamkan juga, di dalam kementerian itu terdapat sekurang-kurangnya 10 anggota Majlis Penasihat Harga Barang yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian serta enam wakil terdiri daripada orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri serta empat pegawai kerajaan - yang dapat menentukan sama ada peniaga melakukan pencatutan atau mengaut keuntungan secara berlebihan.

Cuma, ke mana perginya mereka dalam sehari dua ini?

Hakikatnya, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010, yang telah pun berkuat kuasa sejak 1 April 2011 dalam banyak hal berjaya bertindak sebagai penghalang kepada mana-mana peniaga yang menaikkan harga secara sewenang-wenang.

Dengan adanya Akta Anti Pencatutan, tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang terlibat mengambil untung secara berlebihan terutama semasa musim perayaan dan semasa krisis.

Di bawah Akta Kawalan Harga, kerajaan perlu menetapkan harga siling dan mewartakan harga sebelum tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang menjual barangan mereka melebihi harga siling.

Tetapi dengan Akta Antipencatutan, tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang sengaja menaikkan harga pada bila-bila masa.

Kenapa pihak KPDNKK masih teragak-agak mahu menguatkuasakan akta ini? Ini bukan akta yang digubal dengan mudah tetapi selepas diluluskan, mengapa tidak dikuatkuasakan dalam isu kenaikan harga ayam.

Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 ini berasal dari Akta Kawalan Harga (1946) yang dipinda bagi memasukkan langkah-langkah anti pencatutan memandangkan aduan yang diterima setiap kali menjelang musim perayaan berhubung kegiatan pencatutan oleh peniaga.

Dan kerana bersangkut-paut dengan pelaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST), keputusan telah dibuat bagi menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 bagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati. Sejak pelaksanaan akta itu dua tahun lalu, banyak kejayaan yang dicapai dalam mengekang ketamakan pemborong, peruncit dan orang tengah.

Unit penguatkuasaan KPDNKK dikatakan telah melawat lebih daripada 7,000 premis dan hampir 60 notis dikeluarkan kepada peniaga yang menaikkan harga secara tidak sepatutnya.

Masih tidak luput di ingatan penulis ketika Akta Anti Pencatutan itu digunakan buat pertama kali pada 2011 apabila tiga penjual ikan di Pulau Pinang dituduh menjual dengan harga berlebihan. Masing-masing diberikan notis mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 yang baru dilaksanakan.

Dan buat pertama kali notis dikeluarkan di negara ini yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK.

Tiga penjual ikan, yang merupakan sebahagian daripada 46 peniaga menerima notis itu sejak akta itu dilaksanakan, diberikan tiga hari untuk memberikan alasan kenaikan itu. Alasan berkenaan memerlukan mereka memberikan butiran mengenai kos pengeluaran, harga bahan mentah, tenaga buruh, pengangkutan dan sewaan.

Maklumat hasil siasatan akan dikemukakan kepada Majlis Penasihat Harga yang akan menentukan jika wujud pengambilan untung berlebihan.

Hukuman yang dikenakan di bawah akta ini agak berat. Pertubuhan yang ingkar boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000. Individu pula boleh didenda sehingga sehingga RM100,000, dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Dalam mengekang kenaikan harga ayam, penguatkuasaan Akta Antipencatutan 2010 boleh memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Dari sudut pandangan perniagaan, apabila harga naik dan turun sekali lagi, peniaga sudah pasti mahu mendapat untung. Mereka selalu mahu untung dan akta berkenaan memastikan ini tidak akan berlaku sesuka hati.

Dalam isu kenaikan harga ayam, pengguna boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-6800 sekiranya mereka mengetahui mengenai mana-mana peniaga yang dipercayai terlibat mengambil untung berlebihan.

Namun, aduan atau laporan sahaja tidak cukup tanpa komitmen tegas bahagian penguat kuasa KPDNKK menguatkuasakan Akta Anti Pencatutan 2010.

Hari ini ayam, esok lusa barang apa pula yang naik.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment