Wednesday, July 17, 2013

Elak TPP jejas ekonomi Bumiputera


Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Kuala Lumpur: Pertubuhan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB Malaysia) menyarankan kerajaan supaya merangka dua pelan utama bagi memastikan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan tidak akan memberi implikasi terhadap ekonomi terutama membabitkan golongan usahawan muda Bumiputera.

Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) perlu merangka pelan bagi memudahkan syarikat tempatan menerokai pasaran TPP dengan tumpuan kepada aspek tinjauan dan akses pasaran. Sementara kementerian serta agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Perbadanan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia (SME Corp) perlu memiliki pelan komprehensif supaya dapat membantu usahawan muda Bumiputera lebih bersedia daripada aspek pematuhan produk, persijilan, kualiti, jenama dan pembungkusan. “TPP diakui akan menawarkan kemasukan pasaran luas bukan daripada aspek aktiviti eksport, malah peluang untuk melabur di negara anggota TPP yang tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Bagaimanapun, kita perlu memastikan ia tidak memberi kesan negatif kepada usahawan tempatan,” katanya pada Forum dan Dialog Penjelasan dan Persoalan Mengenai TPP di sini, kelmarin.

Acara anjuran GMB Malaysia itu adalah satu landasan terbaik buat usahawan Bumiputera di bawah pertubuhan terbabit untuk memahami TPP supaya lebih memahami mengenai faedah dan pengajarannya.

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Rebecca Fatima Sta Maria berkata TPP tidak akan ditandatangani dalam tempoh terdekat kerana masih banyak aspek belum dipersetujui. Apa paling penting, pihaknya tetap berpegang pada polisi dan tidak akan bertolak ansur dengan perkara yang boleh mengancam kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

No comments:

Post a Comment