Thursday, September 13, 2012

GST bukan tahun ini



Harian Metro
Sep 13, 2012, Page 049, Main Section
Oleh Helmy Abd Rahman

KERAJAAN tidak akan implimentasi cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun ini, sebaliknya meneruskan usaha mewujudkan kesedaran awam mengenai mekanisme percukaian baru.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, ini kerana kerajaan mahu rakyat lebih dulu memahami GST sebelum rang undang-undang mengenai cukai berkenaan dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kedua.

“Kempen kesedaran mengenai GST anjuran Kementerian Kewangan sedang berjalan lancar dan ia dijangkakan selesai dalam tempoh terdekat.

“Rang undang-undang mengenai cadangan ini bagaimanapun tidak dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen akan datang disebabkan saya tidak yakin kempen kesedaran dijalankan akan selesai dalam tempoh berkenaan,” katanya selepas melancarkan Sidang Kemuncak CFO (Ketua Pegawai Kewangan) 2012 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan diunjurkan meraih perolehan melebihi RM200 bilion berbanding sasaran awal sebanyak RM187 bilion tahun ini, sekali gus membolehkannya membuat penambahan bantuan kewangan untuk rakyat.

“Setakat Jun 2012, Perbendaharaan merekodkan perolehan berjumlah RM99 bilion. Peningkatan ini sebahagian besarnya diperoleh hasil kutipan cukai dipertingkatkan, sumbangan lebih tinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia selain pertumbuhan transaksi hartanah,” katanya.

Terdahulu, Lim dalam ucapannya berkata, ekonomi negara dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan untuk baki dua suku terakhir tahun ini dan ia mencerminkan peningkatan Indeks Utama pada kadar 1.4 peratus mulai Oktober 2011 hingga Mac 2012. “Pertumbuhan permintaan dijangka meningkat membabitkan penggunaan swasta serta aktiviti pelaburan yang tinggi. Dari segi bekalan pula, pertumbuhan akan disokong perkembangan berterusan sektor perkhidmatan dan pembuatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment