Thursday, September 13, 2012

Timbalan menteri: Kerajaan tidak laksana GST tahun ini


12 September 2012


KUALA LUMPUR - Cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan tahun ini memandangkan kerajaan sedang berusaha mewujudkan kesedaran mengenai mekanisme percukaian baharu dalam kalangan rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai hari ini.
   
Beliau berkata kempen kesedaran anjuran Kementerian Kewangan berjalan lancar dan dijangkakan selesai tidak lama lagi.
   
"Kami mahu rakyat Malaysia memahami apa itu GST sebelum Rang Undang-undang mengenainya (GST) dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kedua.
   
"(Bagaimanapun), rang undang-undang itu dijangka tidak dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen akan datang disebabkan saya tidak yakin kempen-kempen kesedaran akan selesai dalam tempoh itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak CFO 2012 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), kumpulan pemikir bebas utama Malaysia.
   
Dalam perkembangan lain, Lim berkata Kementerian Kewangan mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya tidak melewatkan bayaran kepada kontraktor binaan.
   
Sambil menegaskan bahawa kontraktor mesti dibayar dengan cepat, beliau berkata bayaran perlu dilakukan mengikut masa yang ditetapkan memandangkan tunai ibarat "nyawa" kepada mereka (kontraktor), terutama kontraktor kecil.
   
"Tidak setakat agensi kerajaan, sektor swasta juga wajar mengikuti usaha yang dilakukan oleh agensi dan kerajaan di Jepun dan Jerman yang membayar kontraktor masing-masing dengan segera," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment