Friday, July 18, 2014

Inna Lillahi Waina Ilaihi Raji'un... Takziah... #MH17 #PALESTINE #GAZA

SALAM TAKZIAH






Tahun dan Hari yang mendukacitakan buat Malaysia. Allah mengetahui segalanya. Semoga Allah merahmati semua mangsa #MH17 #MalaysiaAirlines yang terkorban dan kurniakan kekuatan dan kesabaran kepada kaum keluarga mereka. Al-Fatihah untuk mangsa yang Muslim....




Dan kepada saudara-saudara kami di #Palestine #GAZA yang sedang diserang dari segenap penjuru oleh #Yahudi #Zionist #Israel laknatullah, semoga Allah SWT memberikan sepenuh kekuatan fizikal dan mental kepada kamu untuk mempertahankan diri dan negara kamu. Doa kami sentiasa bersama kamu... Al-Fatihah juga untuk yang telah terkorban.

Thursday, May 29, 2014

SEMBAH TAKZIAH



Assalamualaikum wbt

Admin ingin merakamkan sembah takziah kepada Kaum Kerabat Kesultanan Perak serta seluruh Rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah. Semoga Roh Almarhum dicucuri Rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin..

Al-Fatihah

Friday, May 9, 2014

TAJUK: GST WAJAR DIALU-ALUKAN

Oleh Abdussalam Shokhawi
Email: salam@salihin.com.my
5 March 2014

TAJUK: GST WAJAR DIALU-ALUKAN

Dilema rakyat Malaysia pada ketika ini mengenai sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST banyak dipengaruhi oleh kekurangan maklumat atau maklumat salah yang disalurkan untuk pemahaman mereka. Kebanyakan maklumat mengenai GST yang ada pada ketika ini pula terlalu bersifat teknikal serta sukar difahami oleh golongan rakyat terbanyak terutamanya masyarakat di luar bandar. Dek kerana itulah, apabila GST semakin menjadi topik perbahasan harian rakyat, maka risiko jurang salah faham menjadi semakin membesar.

Secara umumnya pemahaman rakyat Malaysia mengenai cukai dan peranannya kepada negara masih lagi di tahap yang rendah. Kebanyakan masyarakat masih tidak menyedari bahawa pada masa sekarang mereka telah pun dikenakan cukai kepenggunaan di dalam perbelanjaan mereka iaitu dalam bentuk Cukai Jualan (5%, 10% atau kadar spesifik) dan Cukai Perkhidmatan (6% atau kadar spesifik). Elemen kedua-dua cukai ini telah pun diserap ke dalam harga jualan setiap barangan kecuali Cukai Perkhidmatan yang dikenakan di peringkat pengguna akhir seperti di kedai-kedai makanan, kawasan pakir kereta berdaftar dan yuran perkhidmatan professional. Apabila GST dilaksanakan pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, kedua-dua Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan akan dimansuhkan serentak. 

Rasional pelaksanaan GST

Tujuan utama GST diperkenalkan di Malaysia adalah untuk menangani kelemahan yang terdapat di dalam sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada. Antaranya seperti ketirisan hasil kerajaan akibat daripada aktiviti penyeludupan, pemindahan harga serta manipulasi sumber yang sering berlaku di peringkat peniaga. Dengan erti kata lain, pada masa kini, terdapat peniaga yang memulangkan cukai kepada kerajaan kurang daripada jumlah yang mereka pungut dari pelanggan mereka. Kelemahan-kelemahan ini sukar di atasi oleh pihak berkuasa kerana terdapat ruang-ruang (loopholes) pada sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang mudah dimanfaatkan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. 

Masyarakat pengguna juga harus mengetahui bahawa GST tidak berperanan sebagai kos di dalam proses pengeluaran di mana-mana peringkat peniaga. Ini sama sekali berbeza dengan layanan perakaunan yang diberikan kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan pada ketika ini, di mana kedua-dua cukai lapuk ini merupakan kos yang mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga. Dengan pelaksanaan GST dan pemansuhan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, peniaga tiada lagi alasan cukai sebagai beban yang menekan mereka untuk menaikkan harga. Jika sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan tetap dilaksanakan oleh kerajaan, maka pengguna akan terus menjadi mangsa dan terperangkap di dalam situasi cukai bertindih yang wujud di dalam harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

Kebanyakan ahli-ahli ekonomi tidak menafikan bahawa GST boleh menyebabkan kadar inflasi negara akan meningkat secara one-off atau sekali sahaja pada masa awal pelaksanaannya. Jangkaan ini berdasarkan pengalaman negara-negara terdahulu yang melaksanakan GST (juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di kebanyakan negara lain) di mana berlakunya reaksi kejutan pasaran apabila peniaga akan menaikkan harga dan pengguna pula panik dengan perubahan harga. Walau bagaimanapun, kekeliruan dalam pasaran semasa tempoh awal pelaksanaan GST adalah bersifat sekali sahaja. Pasaran dijangka kembali selesa serta stabil apabila pengguna dan peniaga mula memahami mekanisme sebenar GST, manakala kerajaan pula melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengimbangi pasaran dengan sempurna.

Pihak-pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST perlu menerima hakikat bahawa GST adalah satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan. Kebanyakan ahli ekonomi bersependapat bahawa GST adalah kaedah penyelesaian sumber yang paling berkesan dan berdaya tahan terhadap situasi turun naik ekonomi global. Ekonomi pula digerakkan sendiri oleh masyarakat pengguna melalui permintaan dan masyarakat peniaga melalui penawaran. Dengan adanya GST, saluran serta kaedah komunikasi antara pengguna, peniaga dan kerajaan akan terdorong untuk menjadi lebih efektif, telus, efisyen dan mesra.

Dalam pada itu, pelaksanaan GST juga amat penting kepada kerajaan dalam usaha untuk memacu Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020. Untuk tujuan itu, Malaysia perlu berada dalam landasan ekonomi yang mampan dan berdaya saing di peringkat domestik dan global. GST adalah salah satu instrumen ekonomi yang akan merangsang sektor swasta untuk tumbuh aktif serta menggalakkan nilai perdagangan dan pelaburan langsung asing di samping mambawa aliran positif kepada pasaran modal insan. Untuk rekod, Kerajaan menjangkakan bahawa sasaran pendapatan perkapita rakyat Malaysia sebanyak AS$15,000 akan dapat dicapai sebelum 2020.

Inisiatif GST

Secara konsepnya, pelaksanaan GST dilihat sebagai memperluaskan skop asas cukai kepada rakyat. Menyedari hakikat itu, kerajaan telah membuat persediaan yang menyeluruh untuk mengimbangi kedudukan sosio-ekonomi masyarakat. Antaranya, kerajaan telah mewujudkan tiga kategori Kadar GST mengikut tahap keperluan sesuatu barang atau perkhidmatan kepada rakyat. Barang-barang keperluan asas yang belum diproses seperti produk pertanian, bekalan ternakan dan bahan asas masakan termasuklah susu bayi, telah diletakkan pada kategori Kadar Sifar GST. Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti harta tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya akan dikecualikan GST. Bagi barang dan perkhidmatan lain yang dikategorikan sebagai bukan keperluan asas, akan diletakkan di bawah kategori Kadar Standard.

Di dalam pembentangan Bajet 2014 yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan telah membuat pengumuman bahawa kerajaan bakal memberikan insentif-insentif khas kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana bagi menghadapi kesan rasionalisasi subsisdi dan pelaksanaan GST kelak. Antaranya ialah bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M serta penstrukturan dan pengurangan kadar satu hingga tiga peratus bagi cukai pendapatan individu. Kepada para peniaga pula, kerajaan telah mengalokasikan geran latihan GST dan perisian perakaunan masing-masing sebanyak RM100 juta dan RM150 juta, di samping potongan cukai tambahan untuk perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST serta pengurangan kadar Cukai Pendapatan Syarikat bagi tahun taksiran 2016. Kerajaan dijangka akan terus memberikan insentif-insentif tambahan secara berperingkat kepada rakyat di samping melanjutkan insentif-insentif sedia ada selepas pelaksanaan GST.

Tanggungjawab Ahli Yang Berhormat

Seperti yang kita sedia maklum, pelaksanaan GST adalah salah satu inisiatif tidak popular yang terpaksa diambil oleh kerajaan bagi mentransformasikan strategi pengurusan negara untuk mendepani masa hadapan yang kian mencabar. Sejak pengumumannya pada Oktober 2013, pelbagai maklum balas telah disuarakan oleh rakyat kepada kerajaan dalam pelbagai bentuk medium komunikasi. Yang jelasnya, kebanyakan maklum balas tersebut adalah kebimbangan mengenai beban dan skop cukai yang bakal ditanggung oleh rakyat dalam kehidupan seharian.

Suara kebimbangan rakyat terbanyak ini berhak didengari dan dianalisa dengan teliti oleh para pemimpin masyarakat yang mewakili mereka di Dewan Rakyat. Ini kerana, ahli-ahli Yang Berhormat (YB) inilah yang akan berhujah dan berbahas untuk meluluskan Rang Undang-Undang GST yang bakal dibentangkan di Parlimen pada sesi perbahasan bulan Mac 2014. Setiap YB seharusnya telah memahami GST dengan mendalam sebelum mereka melangkah masuk ke Parlimen untuk berbahas dan menyampaikan buah fikiran yang rasional mengenai GST demi kebaikan rakyat dan negara. Mereka perlulah juga bersedia dengan cadangan dan pandangan yang konstruktif supaya Akta GST yang bakal terbentuk akan menjadi model percukaian terbaik yang dapat memakmurkan negara seluruhnya. 

Berikut adalah antara cadangan umum yang boleh dipertimbangkan oleh para YB untuk dihujahkan kepada kerajaan semasa membahaskan Rang Undang-Undang GST kelak:-

1. Menyenaraikan lebih banyak barang dan perkhidmatan keperluan bayi dan kanak-kanak sebagai item Kadar Sifar (0%) GST. Contohnya seperti lampin pakai buang, pakaian bayi, botol susu dan buaian. Ini bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa yang perlu menanggung keperluan anak-anak kecil.

2. Mewajibkan pasaraya-pasaraya besar untuk mempamerkan harga kesemua barang dan perkhidmatan yang ditawarkan di premis mereka secara dalam talian atau online di laman sesawang mereka. Ini adalah langkah perlindungan terhadap pengguna yang bertujuan untuk membantu pengguna melihat perubahan harga serta membuat perbandingan harga barang dan perkhidmatan sebelum berbelanja.

3. Menaikkan nilai geran untuk bantuan persediaan GST kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana. Ini akan membantu proses pematuhan di peringkat peniaga yang secara tidak langsung akan melindungi pengguna daripada peniaga yang mengambil kesempatan dengan alasan kos persediaan menghadapi GST yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

4. Membenarkan pelancong asing yang layak di bawah Skim Bayar Balik Pelancong (Tourist Refund Scheme) untuk menuntut bayaran balik GST ke atas barang yang dibawa keluar bukan sahaja melalui lapangan terbang, malahan melalui pelabuhan dan sempadan darat bagi menyemarakkan lagi aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan-kawasan yang terlibat. Ini boleh menjadikan Malaysia lebih kompetatif berbanding negara-negara serantau bagi menarik kehadiran pelancong asing yang mempunyai kemampuan berbelanja yang tinggi.

5. Menaikkan nilai pelepasan Cukai Pendapatan individu untuk perbelanjaan melibatkan pendidikan dan kesihatan sama ada untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak-anak yang masih di bawah tanggungan. Ini sebagai langkah mengurangkan impak GST ke atas isi rumah.

6. Memaksimumkan penggunaan MyKad sebagai alat rasmi untuk penyaluran subsidi kepada golongan sasar semasa era GST. Contohnya menjadikan MyKad sebagai kad diskaun pengangkutan awam untuk golongan tua, pelajar dan golongan berpendapatan rendah serta sebagai identifikasi bantuan khas kepada golongan kurang upaya dan sebagainya. 

7. Memperkenalkan matapelajaran cukai dan GST sebagai subjek kenegaraan kepada rakyat Malaysia seawal pengajian di peringkat rendah sehinggalah ke pengajian tinggi. Ini bertujuan menerapkan pemahaman yang betul mengenai tanggungjawab bercukai sebagai warganegara di samping meredakan sentimen bercampur-baur terhadap GST di kalangan semua lapisan masyarakat.

Menangani kesan GST 

Kerajaan pastinya sedar bahawa rakyat terbanyak amat bergantung harap terhadap kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Justeru itu, dalam persiapan menghadapi GST, kerajaan perlu memberikan perhatian yang khusus kepada para peniaga supaya mereka tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan menafikan hakikat bahawa setiap barang dan perkhidmatan mempunyai ruang untuk dikurangkan harga di era GST. Kerajaan perlu menggerakkan usaha penguatkuasaan yang efektif untuk memastikan peniaga patuh dengan pemansuhan eleman Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan di dalam harga barang dan perkhidmatan di seluruh peringkat kitaran pembekalan (supply chain). Dengan langkah penguatkuasaan yang tegas, peniaga tidak boleh berselindung di sebalik GST untuk menaikkan harga secara tidak wajar. 

Kepada masyarakat pengguna pula, berikut adalah panduan ringkas yang boleh digunakan untuk menghadapi GST kelak:

1. Menyediakan rancangan perbelanjaan bulanan

Senaraikan perbelanjaan tetap yang berulang setiap bulan seperti bayaran ansuran kereta, rumah, insuran, bil-bil utiliti, yuran pendidikan, barangan keperluan dapur, perbelanjaan peribadi dan sebagainya. Bahagikan senarai perbelanjaan tadi kepada dua bahagian iaitu bahagian yang tidak tertakluk kepada GST dan bahagian yang tertakluk kepada GST. Pastikan alokasi wang untuk perbelanjaan tetap didahulukan dan kawal baki pendapatan untuk mengelakkan daripada berbelanja ke atas barang atau perkhidmatan bukan keperluan yang tertakluk kepada GST. 

2. Berbelanja di kedai yang berdaftar GST

Pengguna digalakkan berbelanja di kedai-kedai yang berdaftar sebagai kedai GST terutamanya di pasaraya-pasaraya besar yang setiap hari bersaing harga dengan pesaing-pesaing mereka. Selain mendapat manfaat harga rendah, pengguna juga dapat berlajar untuk membiasakan diri dengan sistem dan mekanisme sebenar GST. Saranan ini juga adalah bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga semasa era GST. 

3. Berbelanja semasa musim promosi potongan harga 

Di Malaysia, seringkali promosi potongan harga seperti “Jualan Mega” dan “Hari Untuk Ahli” dilakukan oleh para peniaga sama ada untuk promosi harian, mingguan, bulanan atau tahunan. Pengguna boleh mengambil kesempatan dengan berbelanja pada musim promosi dengan harga yang murah dan menjimatkan.

4. Membuat simpanan untuk pelaburan

Setiap individu digalakkan membuat simpanan bagi lebihan pendapatan sekiranya ada. Simpanan boleh dibuat di bank, melabur di dalam amanah saham atau membeli pelindungan insuran. Simpanan untuk pelaburan mampu meminimumkan kesan GST ke atas pendapatan individu di samping memberikan pulangan positif jangka panjang seperti memperoleh keuntungan simpanan, gandaan dividen dan perbelanjaan kesihatan yang dijamin.

5. Aktifkan persatuan pengguna

Para pengguna disaran untuk bersatu dan memberikan sokongan kepada persatuan-persatuan pengguna untuk aktif membela dan mempertahankan hak setiap pengguna di seluruh pelusuk daerah di Malaysia. Semasa era GST kelak, persatuan pengguna perlu dijadikan one-stop centre dalam menyebarkan maklumat kepenggunaan serta menzahirkan “Kuasa Pengguna” (Consumer Power). Dengan cara ini, peniaga akan lebih bertanggungjawab supaya perniagaan mereka tidak terjejas oleh publisiti buruk yang boleh menggugat kepentingan mereka. 

6. Membuat aduan mengenai manipulasi harga 

Pengguna yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti manipulasi harga oleh peniaga semasa era GST disarankan membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya tindakan penguatkuasaan undang-undang boleh dilakukan ke atas peniaga tersebut. Langkah membuat aduan mengenai aktiviti penipuan sebegini merupakan satu tanggungjawab setiap pengguna supaya tiada peniaga yang mengambil kesempatan semasa pelaksanaan GST kelak.

7. Memanfaatkan bantuan dan inisiatif kepenggunaan yang disediakan oleh kerajaan 

Terdapat pelbagai bantuan dan inisiatif kepenggunaan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat. Contohnya seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), Klinik 1 Malaysia, Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M), Komputer Satu Malaysia, Bantuan Khas Awal persekolahan, Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA), Pasar Bergerak 1 Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program 1 AZAM, Coop 1Malaysia (Coop1M), Pakej Komunikasi Belia dan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M). Kerajaan dijangka akan menyediakan lebih banyak bantuan tambahan untuk rakyat selepas pelaksanaan GST. Golongan rakyat yang layak menerima bantuan dan inisiatif ini adalah digalakkan untuk memanfaatkannya. 

8. Merujuk “Panduan Pembeli” yang dikeluarkan oleh pihak Kastam

Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka akan menerbitkan risalah “Panduan Pembeli” tiga bulan sebelum pelaksanaan GST pada April 2015. Pengguna boleh merujuk risalah ini untuk mengetahui maklumat serta membuat perbandingan mengenai harga barang dan perkhidmatan sebelum dan semasa era GST.

Secara ringkasnya, negara sudah kesuntukan masa untuk menangguhkan pelaksanaan GST untuk kesekian kalinya. Justeru itu, GST harus direalisasikan dan semua pihak yang memahami tentang mekanisme GST haruslah mengambil tanggungjawab untuk menjelaskannya kepada masyarakat supaya pemahaman mereka tidak terpesong atau dipengaruhi oleh ideologi-ideologi songsang yang akhirnya akan merugikan negara. Ayuh kita bersatu atas nama Malaysia dan mengalu-alukan GST demi masa depan negara yang lebih gemilang. 

Penulis adalah Ketua Jabatan GST dan Pengurus Projek GST di firma SALIHIN GST Services Sdn. Bhd.

GST: KPDNKK gubal mekanisme cegah peniaga seleweng


2014/05/02 - 16:52:51 PM

GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji mekanisme yang sesuai untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengaut keuntungan tidak munasabah apabila pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tahun depan. 

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata kajian itu dibuat berpandukan Akta Kawalan Harga 2010 bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati apabila GST dikuatkuasa. 

"Mekanisme baharu itu akan dapat mengenal pasti pengusaha yang menyeleweng dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada yang telah diperkemas untuk melindungi hak pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen penurunan harga di Pasaraya Sunshine di sini, hari ini. 

Beliau berkata, mekanisme baharu itu kelak akan berperanan memantau harga, caj maksimum, minimum atau tetap bagi barangan dan perkhidmatan serta setiap rangkaian pembekalan daripada peringkat pengeluar sehingga peruncit. 

Mengenai kempen penurunan harga itu, Alias berkata sebanyak 400 pasar raya di seluruh negara menyertai kempen itu membabitkan sehingga 4,000 jenis produk keperluan harian terutama makanan segar, sejuk beku dan makanan kering, sejak dilancarkan Januari lalu. 

Alias berkata, menerusi kempen, harga barangan terpilih akan diturunkan dari 15 hingga 70 peratus sehingga 31 Disember ini. 

Beliau berkata, KPDNKK telah mewujudkan jaringan kerjasama dengan 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sejak Febuari lalu bagi membantu kementerian melaksanakan tanggungjawab mendidik pengguna secara lebih berkesan. 
"Kempen bersama NGO itu memasuki fasa kedua Mei ini dan setakat ini berjaya mendapat penglibatan 38,000 golongan sasar iaitu pelajar dan suru rumah menerusi pelbagai kempen, ceramah kesedaran dan bengkel pengurusan kewangan," katanya. 

Beliau turut menasihati pengguna supaya sentiasa membandingkan harga dan memilih alternatif bagi menggantikan barang dan perkhidmatan dianggap mahal dengan mendapatkan maklumat semasa menerusi portal pengguna. 

- BERNAMA

Tindakan bantah GST lebih bersifat politik pembangkang - Ismail



Ismail Abd. Muttalib (kiri) menyampaikan cenderamata kepada seorang ketua
kampung dalam majlis penutup Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Peringkat Daerah
Maran dan Jom ke Putrajaya di Dataran Teksi Maran, baru-baru ini. -
utusan/salehudin ma rasad
MARAN 8 Mei - Tindakan pembangkang yang membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mengheret rakyat berdemonstrasi dibidas kerana lebih bersifat politik berbanding untuk kepentingan negara.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, bantahan yang dibuat oleh pakatan pembangkang itu hanya bertujuan mahu menjejaskan kestabilan dan menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

"Rakyat dapat melihat kerenah dan niat sebenar pembangkang untuk meruntuhkan tamadun yang dibina kerajaan sejak selepas merdeka berbanding kononnya untuk membela rakyat," katanya ketika berucap dalam majlis Penutup Fiesta Mesra Belia 1Malaysia peringkat daerah dan Jom ke Putrajaya di Dataran Teksi Maran di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail; ADUN Luit, Nurhidayah Mohd. Shahaimi; Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzillah Salleh dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Khairul Amin Osman.

Menurut Ismail, ketegasan kerajaan untuk melaksanakan GST pada April 2015 sangat baik demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, kerajaan akan meneruskan program penerangan secara menyeluruh kepada rakyat tentang rasional GST di negara ini dalam tempoh terdekat.

Tambahnya, penerangan yang kurang jelas mengenai perkara itu bukan sahaja membelenggu rakyat di luar bandar tetapi juga yang membabitkan golongan berpendidikan.

"Pihak pembangkang telah menjadikan isu GST sebagai modal politik untuk membelasah kerajaan walaupun pada hakikatnya sistem ini memberi kebaikan kepada negara.

"Mereka menjadikan GST untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan melalui tindakan dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

SMIDEX 2014 sasar jualan RM350 juta


ARKIB : 08/05/2014

KUALA LUMPUR 7 Mei - SME Corp. Malaysia (SME Corp.) menyasarkan jualan sempena penganjuran Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2014 (SMIDEX 2014), mencecah RM350 juta berbanding RM322 juta tahun lalu.

Pengerusi SME Corp., Datuk Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, sasaran tersebut bersandarkan kepada peningkatan bilangan peserta dan gerai pameran untuk tahun ini serta selain kehadiran pelbagai syarikat perniagaan antarabangsa.

Beliau berkata, jualan yang dicatatkan itu mampu dijana menerusi rundingan perniagaan sesama peserta yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat multinasional. Peserta antarabangsa yang hadir termasuk dari India, Itali, United Kingdom, Singapura dan Turki.

"Saya akan memberi tekanan kepada pasukan SME Corp. untuk mencapai sasaran minimum RM350 juta. Mereka perlu lakukan yang terbaik terutamanya bagi menggalakkan sesi pertemuan perniagaan dalam kalangan peserta," katanya kepada pemberita semasa sesi bersama media bagi mempromosikan SMIDEX 2014 dan SME Week 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim.

SMIDEX 2014 edisi ke-17 itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 4 hingga 6 Jun ini. Pameran itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Hafsah berkata, pihaknya baru selesai menjalankan kajian ke atas PKS berhubung kesan pelaksanaan gaji minimum, kos utiliti serta prospek Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

© Utusan Melayu (M) Bhd

GST: Pemimpin perlu beri penjelasan


ARKIB : 08/05/2014

ALOR SETAR 7 Mei - Pemuda Gerakan mencadangkan agar pemimpin masyarakat seperti penghulu, ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) mengambil inisiatif memberi penerangan kepada orang ramai mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang berkata, pemimpin masyarakat tersebut boleh berjumpa secara terus dengan masyarakat di peringkat akar umbi dan memberi penjelasan menyeluruh mengenai sistem GST yang akan dijalankan di negara ini.

"Masih ramai yang tidak faham mengenai GST ini walaupun kerajaan sudah memberi penerangan di dalam surat khabar, media sosial dan juga televisyen.

"Cara yang lebih berkesan adalah memberi penerangan kepada orang kampung melalui penghulu, ketua kampung dan JKKP kerana mereka ini lebih dekat dengan masyarakat.

"Kerajaan perlu mengadakan seminar mengenai GST kepada mereka ini agar mereka boleh menghebahkan kepada orang kampung yang masih belum memahami apa itu GST dan bagaimana ia akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabat Gerakan negeri di Jalan Pintu Sepuluh di sini hari ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jasa Kedah beri penerangan mengenai GST


ARKIB : 07/05/2014
SEBAHAGIAN daripada pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) daerah
Kulim/Bandar yang hadir memotong kek dalam Majlis Sepetang Pemimpin
Bersama Pesara di Kulim Inn Jalan Bukit Awi, Kulim, Kedah, baru-baru ini.
KULIM 6 Mei - Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) negeri mengambil inisiatif untuk memberi pelbagai maklumat semasa termasuk isu pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada pesara-pesara kerajaan.

Pengarahnya, Shahrul Anuar Roze berkata, jika isu GST itu tidak dijelaskan kepada rakyat dengan segera, banyak masalah akan timbul kerana diputar belit oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sehingga kini, orang ramai termasuk di negeri Kedah belum mendapat maklumat jelas mengenai GST.

“Kita akan turun padang ke setiap Parlimen di negeri ini bagi menyampaikan maklumat mengenai GST dan program ini akan berakhir sebelum bulan Ramadan nanti", katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Pesara 2014 di Kulim Inn Jalan Bukit Awi di sini baru-baru ini.

Shahrul Anuar berkata, agenda transformasi kerajaan Pusat perlu disampaikan de­ngan jelas dan tepat kepada sesiapa sahaja kerana setakat ini sebanyak 160 negara telah menyertai GST itu.

Dalam pada itu,seorang peserta program tersebut, Abdul Manaf Abdul Majid, 56, berkata, langkah diambil oleh Jasa bagi memberi maklumat tentang GST kepada pesara jabatan kerajaan adalah baik sekali.

“Inilah sikap yang harus ditunjukkan oleh Jasa kerana tanpa penerangan yang tepat kepada rakyat, pelbagai an­daian yang tidak baik akan terus di­sebar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Pegawai Jasa Daerah Kulim/Bandar Baharu, Rohana Din pula berkata, sambutan peserta bagi menjayakan program itu amat memberangsangkan dan pesara-pesara kerajaan yang tidak mengetahui secara mendalam tentang GST berpeluang membuat pelbagai pertanyaan.

“Program santai begini berjaya mengeratkan hubungan baik antara pesara kerajaan dengan kakitangan Jasa negeri Kedah," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Penjawat awam wajar jadi perujuk dasar kerajaan, isu semasa


ARKIB : 07/05/2014
Mohamad Hasan (tengah) bergambar bersama pegawai serta kakitangan kerajaan
pada Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang 2013 Pentadbiran Kerajaan Negeri
Sembilan di Klana Resort, Seremban, semalam. - UTUSAN/Abd Razak Aid
SEREMBAN 6 Mei - Penjawat awam di negeri ini wajar menjadi perujuk yang baik terutama dalam hal berkaitan isu-isu semasa dan dasar kerajaan agar pemahaman yang betul dapat diberikan kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, untuk itu penjawat awam perlu mempunyai ilmu yang banyak, faham setiap isu dibangkitkan serta tahu dengan mendalam apa juga dasar dibawa oleh kerajaan pada waktu ini.

“Kita hendaklah membetulkan pemahaman silap yang dibawa pihak tidak bertanggungjawab dan me­nerangkannya dengan cara berilmu supaya rakyat benar-benar faham terhadap apa juga isu dan dasar berke­naan,'' katanya di sini hari ini.

Mohamad berucap dalam majlis Anugerah Khidmat Cemerlang 2013 Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaludin Said.

Memberi contoh isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) Mohamad berkata, penjawat awam perlu memahami dan bersedia untuk memberikan penerangan yang betul apabila ditanya oleh orang ramai.

“Begitu juga dalam soal Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan soal mengapa Malaysia perlu menyertainya, ini perlu diberikan penjelasan dan untuk itu, penjawat awam perlu ada ilmu dan banyak membaca,'' tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, untuk terus cemerlang, setiap penjawat awam di negeri ini harus keluar daripada kepompong kerja konvensional kerana berada dalam era teknologi memerlukan mereka bekerja dengan efisien.

“Saya lihat sejak tahun 2004 hinggalah sekarang, peralihan itu sudah pun berlaku dan pada hari ini, Negeri Sembilan semakin dihormati kerana kecekapan penjawat awam, selain kerancakan pemba­ngunan, kestabilan kewangan, minat pelaburan dan kecemerlangan pendidikan.

“Inilah hasil kerja yang sudah terbongkar selepas sekian lama dipendam dengan gerak kerja yang tersusun. Kita laksanakan dengan berhemah, mesra kepada semua malah perancangan dibuat dengan teliti hasilnya kini, Negeri Sembilan bukan sahaja dikenali dalam banyak perkara, tetapi juga sebagai lubuk pengembangan ekonomi yang kian dikenali dunia," katanya.

Kata Mohamad lagi, penjawat awam adalah nadi kepada semua kejayaan tersebut dan mereka perlu sentiasa peka dengan permasalahan rakyat kerana pembangunan yang rancak sahaja tidak akan menggembirakan jika ada yang tercicir atau terpinggir.

“Dengan dasar jaringan keselamatan sosial dan unit pemantau permasalahan rakyat, usaha ini sudah pun menjadi contoh yang baik dalam pelaksanaannya, malah kerajaan negeri melalui rizab kewangan yang kukuh akan menyalurkannya kembali untuk mensejahterakan rakyat dan perkara inilah menjadi keutamaan,'' ujar beliau.

Pada majlis tersebut, seramai 529 orang daripada 6,612 penjawat awam dalam negeri ini menerima anugerah kecemerlangan bagi tahun 2013 daripada Mohamad.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Cukai jualan di Sabah, Sarawak diteruskan


ARKIB : 07/05/2014
AHMAD Maslan (tengah) menerima cenderamata daripada Timbalan Pengarah
Penerangan negeri, Zaini Mohamad selepas sesi taklimat GST peringkat Kementerian
Komunikasi dan Multimedia di Kuching, Sarawak, kelmarin.
KUCHING 6 Mei - Kerajaan tidak akan menghapuskan cukai jualan negeri yang sudah dikuatkuasakan di Sarawak dan Sabah apabila melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, hal demikian kerana cukai jualan itu sudah termaktub dalam Perkara 95B(3), Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, cukai jualan di Sabah dan Sarawak kini hanya dikenakan ke atas minyak sawit mentah (CPO) dengan kadar 10 peratus manakala aktiviti perjudian 15 peratus.

“Cukai jualan peringkat negeri ini merupakan hak kerajaan Sarawak dan Sabah berdasarkan Enakmen Cukai Jualan Negeri Sabah 1998 dan Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998.

“Ini bermakna cukai jualan yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak akan tetap berkuat kuasa seperti mana sekarang," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat mengenai GST peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini semalam.

Ditanya mengenai cadangan GST yang dikutip di Sabah dan Sarawak dikembalikan kepada negeri, Ahmad memberitahu, perkara sedemikian sebenarnya tidak berbangkit.

Katanya, pada masa ini, cukai yang dikutip akan dimasukkan terus ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Jelasnya, menerusi kumpulan wang tersebut, setiap negeri berhak menerima peruntukan tahunan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, GST akan dikuatkuasakan ke atas 689 barangan dan daripada jumlah itu hanya 73 atau 10 peratus dijangka mengalami kenaikan harga.

“Sebanyak 287 atau 42 peratus jenis barangan lagi akan mengalami penurunan harga manakala 329 atau 48 peratus barangan tidak berubah.

“Pada masa ini, kita juga sedang melakukan kajian ke atas 255 barangan dan belum dapat diputuskan lagi," katanya.

Ahmad menambah, kerajaan juga akan menerbitkan risalah panduan pembeli yang mengandungi harga dan cukai bagi 1,000 jenis barangan pada Januari tahun depan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan peniaga menipu pengguna dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Galak lebih ramai guna basikal ke tempat kerja


ARKIB : 06/05/2014
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
Najib Tun Razak melepaskan para peserta berbasikal yang menyertai Program
KL Pagi Bebas Kenderaan selama dua jam itu bermula pukul 7 pagi dari KLCC
ke sekitar kawasan berdekatan membabitkan Bukit Bintang, Jalan P Ramlee, Jalan
Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang
Wangi dan Jalan Ampang di Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
AHAD lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berbasikal pada hari tanpa kenderaan yang diadakan sekali dalam sebulan pada minggu pertama.

Pemandangan sebegitu sebenarnya lebih cantik dan meriah daripada pemandangan jelik tiga hari sebelumnya apabila sebilangan besar rakyat negara ini berhimpun kerana membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Alangkah indah sebenarnya di negara kita penduduknya digalakkan berbasikal ke mana sahaja agar kurang kemalangan melibatkan kenderaan menggunakan bahan bakar.

Perdana Menteri sudah menunjukkan contoh bahawa aktiviti berbasikal mampu mewujudkan masyarakat yang boleh berhimpun dalam suasana yang harmoni tanpa perlu wujud pergaduhan sesama sendiri hingga menyebabkan orang berkecuali bertepuk tangan kegirangan.

Sudah sampai masanya budaya berbasikal seperti di China dan di United Kingdom (UK) dihidupkan kembali di negara ini. Dahulu beca yang merupakan teksi manual roda tiga begitu popular di seluruh negara hingga menjadi sebahagian filem Bujang Lapok lakonan Tan Sri P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Aziz Sattar.

Apa salahnya budaya yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga dan menyihatkan badan digalakkan dalam masyarakat.

Sepatutnya insentif menarik diperkenalkan kepada rakyat yang menggunakan basikal sebagai kenderaan ke pejabat mahupun ke pasar membeli ikan.

Di pekan kecil budaya berbasikal semakin luput kerana ramai orang kampung mampu memakai motosikal. Yang memakai basikal hanya kanak-kanak sekolah dan pekerja warga asing yang tidak mampu memakai kenderaan berenjin.

Dua tahun lalu ada rancangan dari pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk memberi pelbagai insentif bagi menggalakkan budaya berbasikal ke tempat kerja dalam kalangan penduduk Putrajaya.

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Abdul Ghani Ahmad, PPj bercadang agar kakitangan awam dan penduduk yang berbasikal ke tempat kerja diberi potongan harga apabila menggunakan kemudahan yang diurus PPj seperti taman awam, gimnasium dan kolam renang.

Katanya, di Putrajaya, laluan basikal telah dibina secara terancang dan ia sesuai untuk berbasikal ke tempat kerja, namun ia kurang mendapat sambutan kerana pelbagai alasan seperti cuaca yang tidak sesuai.

Sehubungan itu, budaya berbasikal sama ada ke tempat kerja atau rekreasi harus dipupuk.

PPj jelasnya, bercadang untuk memberikan insentif bagi menggalakkan orang ramai menggunakan basikal biasa dan elektrik ke tempat kerja yang dapat mengurangkan kadar kesesakan lalu-lintas selain mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida.

Di UK misalnya, pihak berkuasa tempatannya memberi insentif menarik kepada kakitangan yang menggunakan basikal dengan memberi mereka rebat dalam penggunaan khidmat tertentu yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tersebut.

Misalnya, masuk percuma ke kolam renang, menggunakan gelanggang malahan membeli basikal dengan harga diskaun menarik.

Dalam kita membicarakan budaya berbasikal di negara luar, sebenarnya inisiatif yang ditunjukkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mewujudkan bandar dalam taman dengan pembinaan trek basikal melalui pinggiran hutan hijau boleh dibanggakan.

Trek yang panjang hampir 16 kilometer melalui denai yang diselang-seli dengan hutan hijau dan hutan konkrit yang unik perlu dialami sendiri peminat basikal di seluruh negeri malahan seluruh dunia.

Apa yang penting, sebagaimana dinya­takan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan bahawa hasrat beliau untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar yang bernyawa dan seronok diduduki kini menjadi kenyataan de­ngan siapnya trek basikal yang merentasi segala mercu tanda penting Shah Alam seperti Tasik Shah Alam dan Universiti Teknologi Mara di Seksyen 1.

Justeru, usaha yang diterajui oleh Perdana Menteri dengan menyertai aktiviti berbasikal baru-baru ini wajar diterjemah oleh semua pihak berkuasa tempatan di negara ini kerana hanya jauhari mengenal manikam.

Insentif menarik perlu difikirkan agar kesesakan jalan raya yang semakin menggila dengan kemunculan keluar satu demi satu model kereta sama ada hibrid mahupun hanya menggunakan bahan api petrol atau diesel berterusan tanpa henti.

Gunakanlah basikal kalau jarak perjalanan ke tempat kerja hanya lima kilometer. Hadkan penggunaan kenderaan petrol yang mencemar udara pagi dan petang.

Alang-alang berbasikal, polis trafik pula diharap dapat mengawal penunggang basikal untuk melintas bagi memastikan keselamatan mereka.

Dalam pada itu, insentif pembelian topi keledar dan baju lut sinar untuk memastikan ramai keluar awal pagi ke pejabat juga boleh difikirkan.

Badan sihat, produktiviti meningkat kos hospital kerajaan pun menyusut. Terima kasih Perdana Menteri kerana menyokong aktiviti sihat tersebut.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Apabila ramai berwatak Pak Kaduk...


ARKIB : 06/05/2014
Oleh Zulkifli Jalil

SESEKALI ada eloknya kita merenung kembali pepatah orang tua kita dahulu. Ada sebabnya pepatah itu dihasilkan. Ia relevan bukan sahaja pada zaman itu, tetapi selamanya.

Memerhatikan perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka Khamis lalu, kita akan `menggaru-garu kepala yang tak gatal ini'.

Penulis cukup yakin rata-rata yang hadir pada perhimpunan itu tidak faham langsung maksud GST. Apatah lagi kelebihan pelaksanaannya. Sama ada mereka telah dimomokkan oleh `pakar belit' Rafizi Ramli dan Tony Pua dengan `fakta-fakta' salah mengenai GST atau sebilangan rakyat tidak diberi penerangan mengikut `bahasa rakyat' untuk memahami manfaat pelaksanaan GST, itu boleh kita amati kemudian.

Tetapi fakta yang singgah di meja penulis adalah GST yang bakal direncanakan pada 1 April 2015 bertujuan untuk manfaat rakyat seluruhnya yang sudah pun membayar Cukai Jualan & Cukai Perkhidmatan (SST) sejak 1972 lagi.

Namun, cukai SST 5,6 atau 10% itu tidak telus. Maka, kerajaan memperkenalkan GST 6% yang antara kadar terendah di dunia untuk lebih telus dan berkesan. Itu tujuan utama GST, iaitu membaiki sistem cukai negara mengikut 160 atau 83% negara dalam dunia agar ekonomi negara berkembang. Ini kerana eksport tanpa GST menjadi lebih baik harganya dibandingkan eksport dengan SST sekarang. Juga, akhirnya dengan sedikit lebihan hasil yang diperoleh, kerajaan akan mengembalikannya semula untuk manfaat rakyat terbanyak.

Menerusi GST, cukai dikenakan pada pelbagai peringkat bermula dari pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna. Semua hasil pendapatan dan perbelanjaan di pelbagai peringkat ini akan direkod dan dikemaskinikan oleh pihak berkuasa. Unsur-unsur kerenah birokrasi melampau, ketirisan, penyelewengan, mengelat dari bayar cukai dan kegiatan monopoli keterlaluan boleh dibanteras.

Cukai SST yang dikenakan meliputi cukai jualan 10% + cukai perkhidmatan 6% = 16% akan dihapuskan sama sekali dan digantikan dengan sistem cukai baru GST pada kadar 6%. Justeru GST bukan cukai tambahan kepada cukai sedia ada. Di ASEAN hanya Brunei, Myanmar dan Malaysia masih belum melaksanakannya. Negara-negara yang melaksanakan GST telah berjaya memajukan negara mereka dan tidak jatuh bankrap.

Itu faktanya. Dan di sebalik bantahan terhadap GST di Dataran Merdeka tempoh hari, penulis sebenarnya cukup bimbang dengan nasib orang Melayu. Sebahagian besar yang hadir dalam perhimpunan itu adalah orang Melayu. Majoritinya, difahamkan hadir untuk `berjimba-jimba' meramaikan majlis.

Barangkali, elok `peserta-peserta perhimpunan GST' terbabit mengambil iktibar akan kisah Pak Kaduk yang dulunya hanyalah cerita penglipur lara dalam kalangan masyarakat Melayu. Tetapi kini muncul menjadi realiti.

Kisah Pak Kaduk antara lain memberi isyarat tentang pentingnyaakal dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan. Akal dan kebijaksanaanlah yang akan membimbing manusia memilih antara yang baik dengan buruk dan maslahah dengan mudarat, selain mempertimbang akibat atau kesan sesuatu tindakan.

Kisah Pak Kaduk yang sarat dengan nasihat dan pengajaran itu seharusnya tidak sekadar menjadi bahan jenaka. Namun berapa ramaikah antara kita yang sentiasa ingat dan berminat untuk mengambil pengajaran daripada kisah tersebut? Berapa ramaikah pula antara kita yang tanpa sedar memiliki ciri-ciri kedunguan dan kejahilan sebagaimana yang ada pada Pak Kaduk?

Menurut al-Imam al-Ghazali r.h., tiada kebaikan yang akan diperoleh dengan bersahabat dengan seorang yang bodoh dan jahil kerana persahabatan itu akhirnya membawa kepada permusuhan dan kesulitan. Langkah terbaik ialah melindungi diri daripada kemudaratan yang diakibatkan `individu' berkenaan termasuk dalam usahanya untuk membawa manfaat atau memberikan bantuan kepada kita.

Perhatikan situasi yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Betapa banyak watak Pak Kaduk yang dapat disaksikan berada di sekeliling kita. Antaranya termasuklah individu yang sentiasa dimanipulasi orang lain akibat kejahilan diri sehingga tergadai milik serta kepentingan peribadi.

Hal inilah yang sering dapat dilihat berlaku. Lebih dibimbangi jika kelak ia membabitkan urusan yang jauh lebih besar dan penting seperti pelaksanaan GST dan kepemimpinan negara.

Di Dataran Merdeka 1 Mei lalu, pakatan pembangkang mungkin akan kata 50,000 orang menyertai mereka di situ. Malah, mereka akan sebut lebih angkanya. Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2013 dihadiri 200,000 orang di Dataran Merdeka. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC dihadiri 300,000 orang.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dalam whatsAppnya kepada penulis kelmarin berkata, beliau ada menanyakan bagaimana urusetia mengira mereka yang hadir di PWTC itu.

"Mereka kata ada petugas dengan kaunter elektronik di semua pintu untuk kira dengan tolak peratus tertentu yang keluar masuk. Mereka kata Pesta Buku pada Hari Pekerja pada 1 Mei tahun lepas 500,000 orang. Tahun ini anggaran 300,000. Kini dalam masa seminggu sudah 1.5 juta orang yang hadir Pesta Buku Antarabangsa yang sudah berlangsung 30 tahun itu," katanya.

Kita memang risau apabila pakatan pembangkang dan konco-konconya berhimpun. Tetapi ada ramai lagi majoriti rakyat yang berhimpun untuk tujuan produktif seperti membawa anak-anak dan pelajar sekolah melihat dan membeli pelbagai buku dalam bangunan Ibu Pejabat UMNO. Lima puluh ribu orang penyokong dan pengikut pembangkang cuma 0.16 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia.

Maknanya, sejumlah 99.84 peratus yang tidak berdemonstrasi itu perlu kerajaan jaga dengan baik. Faktanya, 30 juta rakyat Malaysia kini menerima manfaat subsidi ron95 (73 sen seliter), diesel (83 sen seliter), tepung, gas memasak, minyak masak, beras, kesihatan dan subsidi pendidikan.

Sebanyak 6.5 juta orang lagi menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan 5.4 juta orang terima wang sekolah serta buku teks. Dan ada Kedai Rakyat 1Malaysia, pasar tani, subsidi untuk nelayan dan pesawah. Juga, sejumlah 1.4 juta penjawat awam dengan pelbagai bantuan diterima oleh mereka yang tidak sempat disenarai dalam ruangan ini.

Yang pasti, kerajaan terus mendengar suara rakyat. Pihak-pihak berkepentingan akan sentiasa menunggu, bahkan berusaha mencipta peluang untuk menyalakan sumbu api.

Jika itu pilihannya, maka persoalannya: Relakah kita menjadi seperti si Kaduk yang hanya menang dalam bersorak, kampung tergadai? Tidak kiralah sama ada dalam soal GST atau apa sahaja, manfaatkan akal untuk membuat pilihan yang baik.



© Utusan Melayu (M) Bhd

BR1M, JKM perlu diselaras


ARKIB : 06/05/2014

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan diminta mencantumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha memastikan bantuan itu disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kaedah baharu itu dicadangkan ekoran wujud segelintir golongan penerima BR1M yang dilihat kurang menghargai pemberian kerajaan berkenaan.

Menurutnya, langkah itu sangat bersesuaian terutama selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April tahun depan.

Katanya, perkara itu relevan apabila kutipan pertama GST dijangka bernilai RM3 bilion dan peruntukan BR1M secara kasarnya bernilai RM4 bilion dilihat mencukupi dalam membantu golongan miskin terutama melibatkan kos hidup mereka.

"Pada awalnya, kerajaan boleh memperuntukkan sebahagian kutipan GST dan BR1M untuk pembayaran bil air, bil elektrik dan cukai pintu golongan yang dibelenggu kemiskinan bandar.

"Selain itu, sistem kupon percuma juga boleh diberikan kepada anak-anak keluarga miskin untuk tujuan pengangkutan terutama melibatkan bas sekolah," katanya ketika berbahas bagi menyokong Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 di Dewan Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, bantuan juga perlu diberikan bagi membantu persekolahan anak-anak golongan sasar terutama melibatkan bayaran yuran kokurikulum yang mencecah sehingga RM200 bagi seorang pelajar.

"Kita tahu yuran persekolahan sudah percuma tetapi ada juga bayaran persatuan. Cuba bayangkan sekiranya ibu bapa ini ada lima orang anak? Tidakkah berjumlah RM1,000," soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar diberikan makanan percuma kepada semua pelajar di sekolah di negara ini.

"Dengan GST dijangka mampu mencapai kutipan RM3 bilion, mungkin beberapa peratus daripada jumlah itu boleh diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk rebat," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Bersama pastikan GST berjaya


ARKIB : 06/05/2014

KUALA LUMPUR 5 Mei - Semua pihak perlu bersama-sama dalam memastikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada tahun depan mencapai aspirasinya dan tidak dimanipulasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memberikan buah fikiran dan nasihat agar cabang eksekutif dapat melaksanakan GST dengan bersungguh-sungguh.

Kata beliau, ini memandangkan tanggungjawab untuk melaksanakan cukai tersebut oleh cabang eksekutif adalah sangat berat kerana GST terdedah dengan risiko manipulasi oleh golongan yang gemar mengambil kesempatan serta gejala rasuah 'tumbuk rusuk'.

"GST adalah amalan yang baik. Adakah 160 negara yang mengamalkannya seluruh dunia salah? Mengambil tuah daripada yang menang, mengambil contoh daripada yang sudah.

"Kita pun sedar bahawa cadangan pelaksanaan GST telah dibincangkan sejak lebih satu tahun lalu tetapi kerana kerajaan amat prihatin dengan rakyat, maka dilanjutkan pada tahun depan. Ini maksudnya kerajaan sudah pun mengkajinya selama lebih setahun," katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 di Dewan Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Firdaus menjelaskan, soal penerimaan GST kini sudah tidak timbul lagi tetapi yang perlu ditekankan adalah kaedah pelaksanaannya.

Kata beliau, setakat ini, pihak pembangkang tidak mengemukakan sebarang alternatif konkrit dalam menggantikan pelaksanaan cukai berkenaan.

Sehubungan itu, langkah paling relevan perlu dilakukan kerajaan adalah dengan sentiasa memantau pelaksanaan GST bagi membendung pihak yang mengambil kesempatan.

"Pada masa sama, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk daripada Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang untuk menjamin pelaksanaan GST berjaya," kata beliau.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Dewan Negara lulus bacaan rang undang-undang GST


ARKIB : 06/05/2014

KUALA LUMPUR 5 Mei - Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014 yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 diluluskan selepas bacaan kali ketiga di Dewan Negara hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibahaskan hampir lapan jam, melibatkan 31 Ahli Dewan Negara.

Terdahulu, sesi perbahasan bagi rang undang-undang itu digunakan dalam kalangan ahli Dewan Negara, khususnya yang prokerajaan untuk menyatakan sokongan terhadap GST.

Kebaikan, manfaat, perbandingan dan cadangan supaya pelaksanaan serta penerangan GST secara berkesan merupakan perkara dibangkitkan mereka.

Antara lain, Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, kadar enam peratus yang dikenakan adalah terendah dalam kalangan negara ASEAN.

"Saya yakin pelaksanaan GST adalah langkah progresif dan membawa manfaat besar," ujar beliau.

Mengulas perkara sama, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, tiada negara yang melaksanakan GST menjadi mundur.

Ini bermakna kata beliau, Malaysia yang akan melaksanakan sistem percukaian tersebut turut mengikut langkah ke arah kemajuan.

"Jika tidak melaksanakannya, kita umpama katak di bawah tempurung," katanya.

Senator Datuk Boon Som Inong pula berharap kerajaan dapat menentukan kaedah terbaik dan kreatif dalam memberi penerangan GST supaya diterima secara menyeluruh.

Beliau berkata, ini bagi memastikan rakyat termasuk di peringkat akar umbi benar-benar memahaminya.

"Penerangan yang tidak sampai kepada golongan sasar itu menyebabkan rakyat semakin keliru, lebih-lebih lagi apabila pihak tertentu mengambil kesempatan memanipulasi sistem berkenaan sebagai merugikan rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ketika menggulung perbahasan tersebut berkata, Malaysia menunggu selama 30 tahun atau sejak 1983 untuk melaksanakan GST.

Katanya, kerajaan melaksanakan sistem berkenaan sebagai salah satu langkah dalam menstrukturkan semula sistem percukaian supaya lebih telus, efisien dan mesra peniaga, sekali gus meningkatkan daya saing negara.

"GST juga dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada cukai pendapatan, hasil petroleum dan mengurangkan peratusan ekonomi terselindung," katanya.

Beliau berkata, sesi penerangan tentang GST digerakkan sejak penghujung tahun lalu dan akan diteruskan menerusi pelbagai medium dan kaedah.

© Utusan Melayu (M) Bhd

GST kurangkan perbezaan pendapatan rakyat


ARKIB : 06/05/2014

ALOR GAJAH 5 Mei - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tahun depan dijangka dapat mengurangkan jurang perbezaan antara rakyat di kawasan luar bandar dan bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perbezaan itu dapat dikurangkan apabila kerajaan menggunakan dana yang diperoleh daripada kaedah cukai tersebut untuk meningkatkan kehidupan dan pendapatan penduduk di luar bandar.

"Cukai ini sebenarnya tidak membebankan dan adalah tidak relevan jika pelaksanaan GST hendak ditangguhkan sehingga kita menunggu jurang pendapatan antara penduduk di bandar dan luar bandar semakin mengecil.

"Sebenarnya banyak kelebihan melalui pelaksanaan GST kerana wang yang diperoleh akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui pembinaan jalan-jalan baharu di samping wujud banyak Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Canselori dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej RISDA dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di kampus kolej itu di Paya Pa’abas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah RISDA yang juga Pengerusi Kolej RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad; Ketua Eksekutif Kolej RISDA, Datuk Dr. Faridah Hanam Mohd. Rashid dan Presiden OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Mohd. Shafie mengulas kenya­taan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyifatkan GST belum sesuai dilaksanakan di negara ini kerana wujud ketidakseimbangan pendapatan antara penduduk luar bandar dan bandar.

Menurut Mohd. Shafie, RTC di Wakaf Che Yeh, Kelantan telah membawa perolehan tahunan sebanyak RM200 juta kepada rakyat dan itu adalah salah satu cara yang dilihat lebih berkesan untuk merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar.

"Menerusi GST, kita mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan rakyat, kita mesti segera mengambil peluang ini dan mengapa kita perlu tunggu," katanya.

Mohd. Shafie berkata, beliau tidak menafikan GST mempunyai beberapa kesan negatif tetapi secara keseluruhannya lebih memberi manfaat kepada orang ramai.

Jelasnya, pengecualian cukai ke atas barangan makanan tertentu boleh meringankan beban rakyat dan kemudiannya mengurangkan kesan ke atas pendapatan rakyat.

© Utusan Melayu (M) Bhd

GST penting demi negara


ARKIB : 06/05/2014
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan kepada warga kerja Jabatan
Perdana Menteri (JPM) pada Perhimpunan Bulanan JPM di Dataran
Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama, Jamil Khir Baharom
(kanan), Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri
Mohamad Zabidi Zainal (kiri). - BERNAMA
PUTRAJAYA 5 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April tahun hadapan merupakan sistem percukaian yang adil, progresif dan tidak membebankan rakyat.

Perdana Menteri berkata, sistem tersebut yang digunapakai di hampir 90 peratus negara di seluruh dunia telah terbukti berjaya dan diterima dengan baik oleh rakyat negara-negara berkenaan.

Beliau berkata, biarpun pengenalan terhadap sistem percukaian tersebut dilihat sebagai bukan langkah populis, usaha itu penting bagi jangka masa panjang untuk meningkatkan hasil negara.

"Sistem GST ini adalah satu sistem percukaian progresif yang boleh membantu kita memperluaskan pendapatan negara, kita sudah mengkaji perkara ini begitu lama.

"Sistem ini telah digunapakai oleh hampir 90 peratus negara di dunia. Tentu sekali bagi kita di Malaysia kalau hendak guna pakai GST, mestilah telah didapati satu sistem yang adil, progresif dan boleh diterima oleh rakyat, kalau tidak rakyat di 190 negara sudah menolak sistem ini," katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut membidas tindakan sesetengah pihak yang memutarbelitkan dan menanam kebencian terhadap kerajaan ekoran pelaksanaan sistem tersebut semata-mata untuk mendapatkan kepentingan politik.

"Adakalanya kita perlu membuat keputusan yang kita tahu kesudahannya untuk kebaikan kita tetapi dalam jangka masa pendek mungkin akan hadapi sedikit sebanyak kesukaran kerana ada pihak putar belit atau menanam kebencian terhadap kerajaan," katanya.

Beliau berkata, masalah catuan air yang berlaku di Lembah Klang sekarang disebabkan tindakan kerajaan negeri Selangor yang menolak cadangan Kerajaan Pusat untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) pada 2009.

"Kesusahan ini sebenarnya boleh dielakkan. Saya hendak tekankan jangan melihat soal populis semata-mata adakalanya pertimbangan kita apakah kebaikan kepada rakyat walaupun jangka pendek kita mungkin hadapi kesukaran.

"Analogi yang mudah bila kita perlu pada ubat antibiotik kita mesti makan ubat itu sampai habis, bila habis kesihatan kita pulih," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kerajaan akan tingkat sesi penerangan GST


ARKIB : 05/05/2014

PUTRAJAYA 5 Mei - Kerajaan akan meningkatkan sesi penerangan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan kepada orang ramai supaya semua pihak memahami kebaikan pelaksanaan sistem cukai itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan cukai tersebut sudah terbukti berjaya di hampir 90 peratus negara yang melaksanakannya.

"Sistem percukaian yang agresif ini boleh meningkatkan hasil negara kerana kebanyakan rakyat di Malaysia tidak membayar cukai, hanya sejuta orang yang membayarnya.

"Kalau GST sudah terbukti berjaya di negara yang melaksanakannya, sudah pasti sistem ini adil dan diterima oleh rakyatnya. Jika tidak rakyat di 198 negara sudah menolaknya," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

© Utusan Melayu (M) Bhd