Friday, May 9, 2014

Galak lebih ramai guna basikal ke tempat kerja


ARKIB : 06/05/2014
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
Najib Tun Razak melepaskan para peserta berbasikal yang menyertai Program
KL Pagi Bebas Kenderaan selama dua jam itu bermula pukul 7 pagi dari KLCC
ke sekitar kawasan berdekatan membabitkan Bukit Bintang, Jalan P Ramlee, Jalan
Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang
Wangi dan Jalan Ampang di Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
AHAD lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berbasikal pada hari tanpa kenderaan yang diadakan sekali dalam sebulan pada minggu pertama.

Pemandangan sebegitu sebenarnya lebih cantik dan meriah daripada pemandangan jelik tiga hari sebelumnya apabila sebilangan besar rakyat negara ini berhimpun kerana membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Alangkah indah sebenarnya di negara kita penduduknya digalakkan berbasikal ke mana sahaja agar kurang kemalangan melibatkan kenderaan menggunakan bahan bakar.

Perdana Menteri sudah menunjukkan contoh bahawa aktiviti berbasikal mampu mewujudkan masyarakat yang boleh berhimpun dalam suasana yang harmoni tanpa perlu wujud pergaduhan sesama sendiri hingga menyebabkan orang berkecuali bertepuk tangan kegirangan.

Sudah sampai masanya budaya berbasikal seperti di China dan di United Kingdom (UK) dihidupkan kembali di negara ini. Dahulu beca yang merupakan teksi manual roda tiga begitu popular di seluruh negara hingga menjadi sebahagian filem Bujang Lapok lakonan Tan Sri P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Aziz Sattar.

Apa salahnya budaya yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga dan menyihatkan badan digalakkan dalam masyarakat.

Sepatutnya insentif menarik diperkenalkan kepada rakyat yang menggunakan basikal sebagai kenderaan ke pejabat mahupun ke pasar membeli ikan.

Di pekan kecil budaya berbasikal semakin luput kerana ramai orang kampung mampu memakai motosikal. Yang memakai basikal hanya kanak-kanak sekolah dan pekerja warga asing yang tidak mampu memakai kenderaan berenjin.

Dua tahun lalu ada rancangan dari pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk memberi pelbagai insentif bagi menggalakkan budaya berbasikal ke tempat kerja dalam kalangan penduduk Putrajaya.

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Abdul Ghani Ahmad, PPj bercadang agar kakitangan awam dan penduduk yang berbasikal ke tempat kerja diberi potongan harga apabila menggunakan kemudahan yang diurus PPj seperti taman awam, gimnasium dan kolam renang.

Katanya, di Putrajaya, laluan basikal telah dibina secara terancang dan ia sesuai untuk berbasikal ke tempat kerja, namun ia kurang mendapat sambutan kerana pelbagai alasan seperti cuaca yang tidak sesuai.

Sehubungan itu, budaya berbasikal sama ada ke tempat kerja atau rekreasi harus dipupuk.

PPj jelasnya, bercadang untuk memberikan insentif bagi menggalakkan orang ramai menggunakan basikal biasa dan elektrik ke tempat kerja yang dapat mengurangkan kadar kesesakan lalu-lintas selain mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida.

Di UK misalnya, pihak berkuasa tempatannya memberi insentif menarik kepada kakitangan yang menggunakan basikal dengan memberi mereka rebat dalam penggunaan khidmat tertentu yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tersebut.

Misalnya, masuk percuma ke kolam renang, menggunakan gelanggang malahan membeli basikal dengan harga diskaun menarik.

Dalam kita membicarakan budaya berbasikal di negara luar, sebenarnya inisiatif yang ditunjukkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mewujudkan bandar dalam taman dengan pembinaan trek basikal melalui pinggiran hutan hijau boleh dibanggakan.

Trek yang panjang hampir 16 kilometer melalui denai yang diselang-seli dengan hutan hijau dan hutan konkrit yang unik perlu dialami sendiri peminat basikal di seluruh negeri malahan seluruh dunia.

Apa yang penting, sebagaimana dinya­takan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan bahawa hasrat beliau untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar yang bernyawa dan seronok diduduki kini menjadi kenyataan de­ngan siapnya trek basikal yang merentasi segala mercu tanda penting Shah Alam seperti Tasik Shah Alam dan Universiti Teknologi Mara di Seksyen 1.

Justeru, usaha yang diterajui oleh Perdana Menteri dengan menyertai aktiviti berbasikal baru-baru ini wajar diterjemah oleh semua pihak berkuasa tempatan di negara ini kerana hanya jauhari mengenal manikam.

Insentif menarik perlu difikirkan agar kesesakan jalan raya yang semakin menggila dengan kemunculan keluar satu demi satu model kereta sama ada hibrid mahupun hanya menggunakan bahan api petrol atau diesel berterusan tanpa henti.

Gunakanlah basikal kalau jarak perjalanan ke tempat kerja hanya lima kilometer. Hadkan penggunaan kenderaan petrol yang mencemar udara pagi dan petang.

Alang-alang berbasikal, polis trafik pula diharap dapat mengawal penunggang basikal untuk melintas bagi memastikan keselamatan mereka.

Dalam pada itu, insentif pembelian topi keledar dan baju lut sinar untuk memastikan ramai keluar awal pagi ke pejabat juga boleh difikirkan.

Badan sihat, produktiviti meningkat kos hospital kerajaan pun menyusut. Terima kasih Perdana Menteri kerana menyokong aktiviti sihat tersebut.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment