Thursday, May 8, 2014

SME Corp serah analisis kesan GST


Publication: BH
Date of publication: May 8, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Suffian A Bakar

SME Corp Malaysia akan menyerahkan analisis mengenai kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), gaji minimum dan kenaikan kos utiliti ke atas industri kecil dan sederhana (IKS) kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada pertengahan bulan ini.

"Kami sudah menyiapkan kaji selidik barubaru ini dan sedang memproses data yang diperoleh.

"Kami harap analisis ke atas data itu akan siap pada pertengahan bulan ini dan akan menyerahkannya kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berhubung persiapan penganjuran Pameran Inovasi PKS 2014 (SMIDEX 2014), Anugerah Inovasi IKS dan Minggu SME di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pengerusi SME Corp, Datuk Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid.

Hafsah berkata, pengumuman rasmi berhubung analisis itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.

308 sertai SMIDEX 2014

Sementara itu, Mohamed Al Amin berkata, terkini 308 syarikat mengesahkan akan mengambil bahagian dalam SMIDEX 2014.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 68 ruang pameran akan dibuka Brunei, India, Iran, Itali, Japan, Kazakhstan, Korea Selatan, Morocco, Oman Filipina, Singapura, Thailand Turki dan Britain.

SMIDEX 2014 yang akan diadakan pada 4 hingga 6 Jun depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dijangka menerima 10,000 pengunjung, katanya.

"Kami mensasar meraih potensi jualan bernilai RM350 juta pada sesi padanan perniagaan pada MIDEX 2014," katanya sambil menambah ia disandarkan kepada minat yang tinggi ditunjukkan komuniti antarabangsa, termasuk kehadiran syarikat gergasi tempatan dan syarikat multinasional (MNC).

Peningkatan 9 peratus

Sasaran itu mewakili peningkatan sekitar sembilan peratus berbanding potensi jualan RM322.24 juta yang diraih tahun sebelumnya.

Mohamed Al Amin berkata, majlis Anugerah Inovasi IKS akan turut diadakan pada SMIDEX 2014. Sebanyak enam kategori dipertandingkan, yang mana pemenang utama akan menerima sumbangan bernilai RM1 juta, katanya.

Selain itu, katanya SME Corp juga akan menganjurkan Minggu IKS 2014 pada 21 hingga 27 Jun depan di seluruh negara bertujuan memupuk budaya keusahawanan dan menyediakan platform bagi menyampaikan maklumat terkini kepada IKS.

No comments:

Post a Comment