Thursday, May 8, 2014

Rakyat bosan cara politik pembangkang


ARKIB : 02/05/2014
DARI KIRI:Sam Ku Kasih, Yusof Abdullah
KUALA LUMPUR 1 Mei - Rakyat sudah letih dengan cara berpolitik pembangkang yang kerap menganjurkan perhimpunan sehingga menyusahkan kehidupan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia selepas himpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka mendapati ada kalangan warga kota tidak senang dengan penganjuran perhimpunan seumpama itu dan meminta ia dihentikan.

Mereka turut bersimpati terhadap nasib kanak-kanak yang diheret bersama oleh ibu bapa masing-masing ke kawasan perhimpunan sekali gus membahayakan keselamatan golongan tersebut.

Apa yang menyedihkan, jelas mereka, terdapat bayi yang terkena asap selepas beberapa suar dinyalakan oleh peserta perhimpunan berkenaan.

Seorang pesara yang mahu dikenali Abdul Ghaffar memberitahu, rakyat sudah bosan dengan perhimpunan saban tahun yang tidak mendatangkan sebarang manfaat signifikan kepada pembangunan negara.

Katanya, budaya mengheret rakyat ke jalanan yang diamalkan oleh pembangkang sudah ketinggalan atau overrated dan politik semikian sudah lama berlalu.

"Kita ada Parlimen. Usulkan di Parlimen. Apa guna ahli Parlimen pembangkang dilantik kalau ak­hirnya rakyat diheret ke perhimpunan-perhimpunan?" soalnya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Kamal Fareez Mustazar, 27, membantah cara peserta membawa kanak-kanak ke perhimpunan tersebut yang dilihat amat memalukan.

Dia turut menempelak pihak penganjur kerana gagal menasihatkan peserta untuk tidak berbuat demikian.

"Suasana ini menyedihkan apabila kita lihat ada bayi yang terdedah dengan risiko keselamatan. Ada juga yang menyalakan suar," katanya.

Seorang penjawat awam, Khairi Akmal Mohd. Nor, 28, berkata, sudah tiba masanya semua pihak mencari kaedah bantahan baharu tanpa melibatkan rakyat diheret ke jalanan.

"Mungkin kita perlu memikirkan kaedah seperti mengumpul petisyen untuk menyampaikan bantahan bukan berkumpul seperti hari ini," katanya.

Sementara itu, golongan pemandu teksi di ibu negara menyelar penganjuran perhimpunan membantah GST kerana menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Sam Ku Kasih, 40, berkata, perhimpunan tanpa permit itu menyebabkan orang ramai tidak keluar walaupun hari ini merupakan cuti umum dan keadaan lalu lintas di sekitar ibu negara turut sesak ekoran tindakan peserta perhimpunan yang berarak di atas jalan raya tanpa mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Walaupun hari ini cuti umum, orang ramai tidak keluar kerana mereka tahu hari ini ada perhimpunan. Jalan sesak sebab ada perhimpunan tetapi mereka bukan naik teksi jadi tiada hasil tambahan untuk saya," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Tun Perak sekitar Pudu Sentral dan Dataran Menara Maybank mendapati kesesakan mula berlaku kira-kira pukul 2 petang ekoran tindakan peserta perhimpunan yang berkumpul sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Seorang lagi pemandu teksi, Yusof Abdullah, 53, menyifatkan peserta perhimpunan sebagai rakyat Malaysia yang tidak mencintai keamanan.

"Saya tidak faham kenapa perlu ke jalan raya sedangkan perkara macam inilah yang boleh menimbulkan huru-hara. Malaysia sudah aman, apa lagi yang mereka mahu," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment