Thursday, May 8, 2014

Menangkis gambaran salah pelaksanaan GST


Publication: BH
Date of publication: Apr 30, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Dr Mohamad Saprin

Gesaan pihak tertentu untuk mengadakan Himpunan Membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di ibu negara esok tidak sukar difahami. Ia lebih kepada usaha menguji populariti pihak tertentu, sama seperti beberapa siri perhimpunan sebelum ini. Hakikatnya, Rang Undang-Undang GST yang dibantah sudah diluluskan Dewan Rakyat pada 7 April lalu.

Perhimpunan itu dianjurkan kerana mereka tidak memahami manfaat GST. Pihak berkenaan hanya melihatGST dari perspektif habuan politik semata-mata. Inilah realiti sebenar matlamat perhimpunan itu.

Secara relatifnya, tidak ramai memahami betapa pentingnya cukai kepada negara. Pembangunan negara dibiayai sebahagian besarnya melalui kutipan cukai. GST adalah instrumen percukaian. Berikutan itu, ia dibantah dan dimanipulasi dengan maklumat yang salah oleh setengah pihak.

Propaganda pihak tertentu

Dalam soal penerangan berkaitan pelaksanaan GST, kerajaan melalui agensi pelaksana iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia berusaha sebaik mungkin menyalurkan maklumat mengenainya. Pada masa sama, usaha juga dibuat untuk menangkis serangan jentera propaganda pihak yang memanipulasi isu ini untuk kepentingan tertentu.

Rakyat Malaysia umumnya bersedia memahami GST yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015, tetapi masih ada yang terpengaruh dengan dakyah tidak tepat berkaitan pelaksanaannya.

Justeru, Jabatan Kastam sebagai agensi pelaksana dengan dibantu jentera kerajaan yang lain akan terus memperkasa sesi penerangan pelaksanaan GST sehingga diterima oleh rakyat terbanyak.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad pada majlis penerangan perdana mengenai pelaksanaan GST di Putrajaya baru-baru ini menyatakan masih banyak isu berkaitan GST yang perlu diperjelas pihak kastam.

Antaranya berkaitan terma rujukan GST, kaedah pengiraan, fasilitasi produk output perniagaan yang dikenakan GST dan sebagainya.

Penerangan pihak kastam ini diharapkan mampu mengimbangi serangan bertali arus oleh sesetengah pihak yang menggambarkan GST sebagai satu bentuk percukaian yang merugikan rakyat. Rakyat harus diyakini bahawa GST suatu fenomena percukaian cekap dan akan memperkuatkan struktur percukaian negara pada masa akan datang.

Setakat ini, pihak kastam sudah mengadakan pelbagai promosi pelaksanaan GST. Maklumat GST yang penting seperti konsep umum GST, skim pelepasan cukai, skim bayaran balik pelancongan, tabung bayaran balik GST, senarai barang dikecualikan pengenaan GST, skim penggudangan, skim kadar rata, skim perdagangan diluluskan dan lain-lain telah dijelaskan.

Bahkan maklumat mengenai Rang Undang-Undang GST 2014 yang mengandungi 19 bahagian dan 197 fasal atau seksyen pun disampaikan kepada pengetahuan umum.

Beri manfaat besar

Pihak yang menganjurkan perarakan anti-GST sedar bahawa GST bukanlah cukai tambahan baharu. Pelaksanaannya akan memberi manfaat besar kepada kemakmuran negara dan rakyat. Justeru, polemik pelaksanaan GST ini wajar dihentikan.

Sebenarnya kerajaan memperkenalkan GST menggantikan sistem percukaian konvensional yang dilaksanakan setengah abad yang lalu dengan penuh kewaspadaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan pembentangan Bajet 2014 menegaskan bahawa pelaksanaan GST diambil selepas mengambil kira kepentingan rakyat.

Melalui GST, negara mempunyai asas pendapatan negara yang boleh diramalkan dan dinamik. Ini membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara dan lebih berdaya saing.

Justeru, isu pelaksanaan GST sebagai cukai kepenggunaan ini tidak seharusnya dikelirukan atau dijadikan modal untuk mencemarkan imej kerajaan melalui aktiviti perarakan di jalanan.

Kerajaan memberi jaminan bahawa sekalipun GST dilaksanakan, kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara tetap terpelihara.

Mengikut kajian jurang percukaian tahun 2014 oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), defisit fiskal Kerajaan Persekutuan sebanyak empat peratus masa kini boleh diturunkan kepada kurang dari kosong peratus hanya selepas lima tahun GST dilaksanakan di Malaysia, manakala ketirisan boleh dikurangkan kepada tahap 10 peratus sebaik ia dikenakan. Ini menunjukkan pelaksanaan GST lebih banyak menguntungkan negara.

Kebimbangan pihak tertentu yang menyatakan GST akan menyebabkan kerajaan berbelanja boros dan akan berlaku penyalahgunaan hanya persepsi. Wajar diketahui bahawa sistem kewangan kerajaan sentiasa dibuat penambahbaikan. Setiap sen perbelanjaan wang kerajaan terikat kepada sistem tapisan dan audit yang semakin ketat.

Antara kaedah kawalan termasuklah memperkenalkan Sistem Perakuan Akruan yang dikenali sebagai 1government Financial Management Accounting System (1GFMAS) yang akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2015 iaitu empat bulan sebelum GST dikuatkuasakan.

Di bawah migrasi sistem ini, perakaunan tunai ubah suai kepada akruan akan membolehkan semua hasil dan belanja kerajaan, aset negara dan lain-lain diperakaunkan secara integrasi serta diperakruan. Dengan itu, hujah bahawa kutipan GST tidak bermanfaat kepada rakyat tetapi akan memperkayakan yang rapat dengan kerajaan sahaja adalah satu imaginasi yang tidak boleh dipertahankan.

* Penulis ialah Ketua Cawangan Siasatan, Penguatkuasaan Kastam Johor

No comments:

Post a Comment