Thursday, May 8, 2014

`Melayu sengaja diberi persepsi tidak pandai'


Publication: BM
Date of publication: May 4, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 034
Byline / Author: Oleh Mohd Azis Ngah

Berbaki enam tahun lagi menjelang tahun 2020, timbul persoalan adakah Bumiputera sudah bersedia bergerak seiring dengan wawasan untuk mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971, digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991 yang bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan serta jurang ekonomi yang ketara mengikut kaum. Pegangan 40 peratus ekuiti yang dikuasai orang asing sudah dikembalikan tetapi terjebak pula dalam monopoli kaum tertentu. Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mahshar dan ROHANIZA IDRIS mendapatkan pandangan jutawan internet, Dr Noor Irfan Khairi Noor Azmi untuk membincangkan isu ini.

Mohd Nizam Mahshar

Soalan: Penilaian saudara secara umum ketika ini mengenai pencapaian Melayu terutama golongan usahawan?

Mohd Nizam: Isu asasnya ialah jurang ekonomi. Menjelang sasaran Wawasan 2020, kita bercadang mencapai tahap negara berpendapatan tinggi tetapi jika dilihat 'trend' hari ini, data ekonomi menunjukkan kita masih terkebelakang. Jurang ini tidak mengecil. Contohnya sasaran Program Transformasi Ekonomi (ETP), kerajaan mencadangkan Keluaran Negara Kasar (KNK) sebanyak RM1.7 trilion, tetapi daripada jumlah itu, Melayu cuma mencapai RM450 bilion. Ia cuma satu perempat daripada kek ekonomi atau 25 peratus, itupun dilihat sebagai angka tinggi. Jika daripada 70 peratus dapat 25 peratus Melayu menerima kek ekonomi, itu adalah satu nilai yang rendah. Kalau tengok semua sektor, dari segi pemilikan ekuiti, saham, bangunan komersial, tanah atau kekayaan, kita masih yang paling rendah dan jurangnya agak besar.

Dari sudut keusahawanan pula, data pada tahun 2010 dan 2011, kira-kira 98 peratus daripada usahawan kecil dan sederhana Melayu, adalah termasuk dalam kategori mikro dan kecil. Cuma dua peratus dalam kategori pertengahan dan tinggi. Jika nak mencapai negara berpendapatan tinggi, itu satu cabaran besar. Kita masih bergantung kepada kerajaan dalam kedua-dua sektor, sektor awam dan sektor perniagaan dengan 80 peratus projek dikendalikan Bumiputera adalah daripada kerajaan. Itu pun ada ura-ura ada pihak mengatakan pada 2020, dua perkara itu harus diketepikan untuk memberi peluang kepada kumpulan lain. Misalnya perjawatan kerajaan, polis dan projek kerajaan mesti terbuka dan bersikap liberal termasuk kepada warga asing. Sekarang pun sudah ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbuka kepada syarikat asing. Semua dasar itu memberi risiko kepada Bumiputera kerana kita belum selesai babak pertama tadi

S: Bukankah kerajaan sudah menyediakan dana yang besar untuk Bumiputera?

J: Ya, kerajaan sudah menyediakan dana yang banyak tetapi hasilnya masih kecil. Contohnya usaha mengupayakan usahawan kecil masih gagal. Kena kaji sebabnya. Ada orang meletakkan persepsi bahawa Melayu malas dan tidak cekap kerja, itu tak betul. Tetapi apabila fakta itu menunjukkan tahap kebergantungan kepada kerajaan, ia tidak boleh nafikan.

Baru-baru ini, ada kajian mengenai sektor swasta yang menunjukkan diskriminasi tinggi dalam pengambilan pekerja. Ada dua kajian oleh Dr Mohamad Khalid dan Dr Lee (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang membuktikan kadar pengambilan bukan Bumiputera empat kali ganda lebih tinggi berbanding Bumiputera. Kajian itu cukup menarik, mereka menghantar 'resume' pelajar cemerlang kepada syarikat swasta dan didapati majikan memilih bukan Bumiputera empat kali ganda lebih tinggi. Mereka menghantar resume kedua tetapi menukar maklumat bangsa. Keputusannya masih sama iaitu empat kali ganda. Pengkaji percaya wujud elemen lain dalam aspek pengambilan pekerja ini. Kajian lain yang dilakukan oleh Faarland dan Rais Saniman pula mendapati gaji pekerja Bumiputera dalam sektor swasta 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera. Itu fakta diskriminasi.

Secara umumnya, dalam konteks kekayaan, keusahawan, jurang ekonomi masih besar. Kita perlu akur, menjelang tahun 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), banyak pihak mahukan negara lebih bersikap liberal, bukan lagi berasaskan bangsa. Terlalu banyak tekanan kepada kerajaan dilakukan pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri sendiri yang mendesak supaya kita tidak lagi bergerak mengikut bangsa. Persoalan saya ialah, perlu ada langkah radikal membetulkan jurang ekonomi ini atau pengagihan rakyat supaya tidak dikawal kumpulan bangsa atau monopoli tertentu. Kita akur, kos sara hidup makin meningkat, harga rumah pun mahal. Kalau pendapatan RM5,000 sebulan, masih tidak mampu untuk hidup di Lembah Klang dan perlu tinggal jauh sedikit dari pusat bandar. Sedangkan pendapatan tidak meningkat secara ketara seperti negara lain, tidak selaras dengan peningkatan kos hidup. Pihak yang paling teruk menerima impak ialah Bumiputera kerana 80 peratus golongan berpendapatan bawah RM3,000 ialah Bumiputera. Jika gaji RM5,000 sebulan di bandar pun dianggap cukup makan, memang rakyat akan terkesan.

S: DEB bertujuan membasmi kemiskinan, menghapuskan keseimbangan kaum mengikut fungsi ekonomi dan digantikan dengan DPN. Adakah jurang beza itu bergerak terlalu perlahan?

J: Tujuan DEB ialah mahu menarik keluar kumpulan berpendapatan rendah dan miskin daripada kepompong kemiskinan. Keduanya, mahu menukar 40 peratus ekuiti yang dipegang masyarakat asing. Jadi, peranan DEB jelas, mahu basmi kemiskinan dan menolak golongan pertengahan ke tahap tinggi dan pegangan ekuiti diserahkan kepada rakyat tempatan. Ia berjaya tetapi ekuiti dikuasai satu bangsa saja. Ini cabaran hari ini, bukan lagi soal DEB. Dunia semakin terbuka, bukan hanya berebut sesama kita, tetapi masyarakat asing juga berebut hak sama. Di Malaysia, keadaannya lebih terkesan, berkait dengan dengan usaha kerajaan mengurangkan subsidi, itu juga ada kesannya.

Cuma kena fikirkan bagaimana nak selesaikan. Kita tidak boleh selesaikan secara sentimen, kena rasional dalam setiap keputusan. Kerajaan bersikap pakai dan terima, tetapi pembangkang pula dakwa semua tak betul, semua kena tolak, jadi rakyat jadi mangsa. Kita lihat isu bantahan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), bukan semua aspek perlu ditolak tetapi masih ada ruang perlu diperbaiki, ada sistem perlu diperbetulkan.

S: Bagaimana dengan dakwaan bahawa tahap keyakinan Bumiputera itu sendiri yang menjadi antara punca yang menghalang untuk berubah?

J: Ada banyak faktor, satu daripadanya ialah persepsi. Saya nak bersikap bahawa usahawan Melayu memang mampu berjaya. Rekod 500 tahun dulu membuktikan bagaimana Melaka berjaya membuka pelabuhan bertaraf dunia. Faktor lain, ada amanah yang diserahkan tetapi tidak berjaya dilaksanakan. Ada usahawan tulen yang bersungguh-sungguh mahu berniaga dan ada yang cuma mengaku usahawan, ambil peluang atas nama keistimewaan Melayu dan jual kembali kepada bangsa lain. Kita kena kembali kepada persoalan bahawa banyak peluang dan amanah disalahgunakan. Contohnya paling ketara golongan `ali baba'. Mereka tiada perniagaan sendiri, mengaut untung `atas angin' dan menyerahkan projek kepada orang lain. Apabila gagal disebabkan projek tidak mengikut spesifikasi atau gagal disiapkan, akhirnya ia memberi persepsi negatif kepada usahawan Melayu secara keseluruhan. Bank juga ada persepsi negatif bahawa usahawan Melayu sukar mahu bayar balik pinjaman, sedangkan fakta itu tidak tepat. Tetapi ia memberi impak sukar mahu buat pinjaman terutama kepada usahawan tulen. Akhirnya yang betul-betul mahu buat sudah tidak mampu mahu buat pinjaman. Melayu yang makan gaji sebagai penjawat awam juga ditanam persepsi Melayu tidak mampu. Ia menjadi satu fenomena, sedangkan ramai sebenarnya yang boleh buat.

S: Adakah `ali baba' tadi termasuklah ahli politik yang dan menggunakan peluang itu sebagai platform mendapatkan bantuan?

J: Bukan saja orang politik kerana memang kerajaan sudah ada dasar mahu bantu Bumiputera. Kalau mahu dapat kelulusan mesti daripada kerajaan dan ahli politik. Dalam kes `ali baba', bukan saja ahli politik yang terbabit kerana orang kerajaan (penjawat awam) pun ada. Saya tegaskan, bukan semua pegawai kerajaan tidak betul, tetapi apabila mereka tidak amanah, kesannya melimpah kepada semua generasi. Apabila ada persepsi negatif, ia berkesan kepada semua orang. Jadi, kena salahkan diri sendiri. Ada kementerian tertentu yang pegawainya sendiri mempraktikkan konsep `ali baba'. Mereka terbabit dalam proses kelulusan projek, membuka syarikat atas nama orang lain atau proksi sama ada keluarga atau kawan. Ia berlaku dalam kerajaan dan GLC, banyak kes projek gagal atau berkualiti rendah. Tidak hairanlah jika banyak projek runtuh. Kajian mendapati, 60 peratus daripada masalah tadi berpunca daripada sikap 'ali baba'. Masalah lain pun ada, misalnya tidak cukup modal, kapasiti atau teknologi atau tiada sokongan besar.

S: Pastinya gabungan 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah MTEM mempunyai pelan perancangan sendiri bagaimana masalah ini patut diselesaikan?

J: Langkah pertama ialah selesaikan masalah dan serius dengan dasar yang dibuat, misalnya menjayakan agenda memperkasakan Bumiputera. Bagaimana seriusnya agenda ini. Tidak perlu tengok berapa banyak pelaburan yang dikeluarkan tetapi berapa nilai hasil yang diperoleh. Kena berani untuk buat kad laporan sendiri. Kena ada pemandu untuk agenda Bumiputera. Kena nilai hasilnya dan berani buat penilaian. Keduanya, mesti menangani masalah ketirisan dan rasuah kerana masa yang ada terlalu singkat. Jika masih anggap biarlah beberapa orang saja yang berjaya dan kaya, itu satu kesilapan besar. Peristiwa 13 Mei 1969, satu daripada puncanya ialah perbezaan jurang ekonomi yang tidak seimbang. Jangan biarkan ia berulang. Kena ada kerjasama erat antara kerajaan, pemimpin politik, swasta, dan NGO untuk selesaikan masalah.

Peniaga kurang kemahiran, tak sabar

Dr Noor Irfan Khairi Noor Azmi

Soalan: Bagaimana saudara melihat kemajuan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera sekarang?

Noor Irfan Khairi: Saya melihat sudah ada kemajuan, malah ekonomi Melayu dan Bumiputera semakin meningkat. Namun, jumlah mereka yang terbabit dalam perniagaan masih rendah berbanding orang Cina di negara ini. Ini realiti. Ini berlaku kerana sejarah menunjukkan kedatangan orang Cina ke negara ini bukan hanya menjadi buruh lombong bijih timah saja tetapi mereka datang berdagang. Saya kurang setuju jika ada menyatakan orang Cina memang dilahirkan sebagai peniaga. Itu tidak tepat. Namun, orang Cina lahir dalam kalangan keluarga yang terbabit dengan perniagaan. Ini memberikan mereka ruang dan pendedahan yang kemudian mencetuskan minat untuk generasi seterusnya.

Bagi orang Melayu pula, tidak banyak pendedahan mengenai bidang ini. Seperti saya, anak Melayu yang lahir dalam keluarga bukan ahli perniagaan, namun masih boleh berjaya. Pada saya, keusahawan dan perniagaan adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari semua, sesiapa yang belajar dan mempraktikkan dapat merasai nikmatnya. Isu kaum atau 'darah' bukan penentu kejayaan seseorang itu. Orang Melayu tidak terdedah sejak awal kerana keluarga mereka tidak terbabit perniagaan.

S: Benarkah sebagai kaum majoriti sukar untuk orang Melayu dan Bumiputera menguasai ekonomi dan perniagaan, sebaliknya minoriti yang lebih maju dalam bidang berkenaan?

J: Saya melihat perniagaan ini satu bidang yang boleh bergerak dan berkembang maju. Itu sebab ada pepatah yang menyatakan, `yang kaya terus kaya dan yang miskin terus merempat'. Di Malaysia saya melihat jurang yang luas menyebabkan kelompok majoriti iaitu Melayu dan Bumiputera jauh ketinggalan. Satunya, bidang ini memang sudah lama dikuasai komuniti Cina, jadi daripada kaya mereka terus kaya manakala Bumiputera lambat menceburi bidang ini, agak ketinggalan.

Dalam kebanyakan kes, saya nampak Bumiputera bergantung kepada harta yang diwarisi menjadikan generasi baharu dalam keluarga mereka semakin miskin. Harta diwarisi perlu dibahagi-bahagikan menjadikan harta yang banyak menjadi sikit selepas dibahagikan. Berbanding orang Cina, hasil yang banyak diperoleh walaupun dikongsi tetap tidak berkurangan kerana keuntungannya lebih banyak dan besar. Jurang antara orang Melayu dan Cina ini memang jauh dan memang agak sukar untuk orang Melayu dan Bumiputera untuk menandinginya. Perkara ini berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara lain. Ini bukannya isu berkaitan dengan bangsa atau kaum tetapi kesedaran. Sebagai minoriti sudah tentu kerja keras itu ada, saya pernah merasainya ketika bekerja di United Kingdom.

S: Melihatkan jumlah jutawan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera, bilangannya sangat sedikit berbanding orang Cina dan bangsa lain. Mengapa ini terjadi?

J: Bagi saya kekurangan pendedahan dan pengalaman adalah sebab utama ahli perniagaan orang Melayu gagal masuk dalam senarai jutawan dan `billionaire'. Pendedahan mengenai keusahawan hanya bermula ketika berada di universiti atau institusi pengajian tinggi. Sebelum ini, tidak banyak pendedahan diperoleh terutama mereka yang bukan lahir dalam kalangan ahli perniagaan. Berbeza dengan ahli perniagaan Cina, mereka memberikan pendedahan seawal anak mereka di sekolah rendah dan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah dihantar bekerja dalam bidang perniagaan.

S: Bagaimana cara untuk menukar pemikiran orang Melayu dan Bumiputera mengenai bidang keusahawan dan perniagaan?

J: Seperti saya katakan tadi pendedahan awal itu penting. Ibu bapa juga perlu menukarkan 'mindset' yang mahukan anak bekerja makan gaji dan hanya bekerja dalam bidang profesional menjadi doktor, peguam dan jurutera. Tanamkan semangat keusahawanan kepada anak-anak. Tanamkan cita-cita kepada anak mahu menjadi usahawan.

Saya akui banyak usaha sudah dilakukan untuk menukar pemikiran masyarakat Melayu dan Bumiputera yang dilaksanakan agensi dan jabatan kerajaan, namun kebanyakan lebih bersifat teori bergantung kepada buku teks. Saya percaya pengalaman penting jika mahu melahirkan usahawan berjaya. Justeru, mereka perlu bermula awal dan tidak mengikut acuan buku teks saja. Pendedahan melalui bahan bacaan juga penting dengan pembacaan biografi usahawan yang berjaya.

S: Adakah sikap peniaga Melayu yang hangat-hangat tahi ayam dan tidak serius serta berniaga mengikut musim menyebabkan orang Melayu tidak ramai dalam perniagaan?

J: Bercakap mengenai sikap, ia bukan terhad kepada masalah peniaga Melayu tetapi sikap sebegini adalah masalah individu. Sikap ini boleh berlaku kepada sesiapa saja bukannya sikap satu-satu bangsa. Saya nampak orang kita gagal dalam perniagaan kerana mereka kurang pengalaman selain tidak sabar. Malah, ramai orang kita yang terbabit dengan skim cepat kaya kerana mereka ini mengambil cara mudah atau jalan singkat untuk kaya. Ini semua terbit kerana orang kita cuba mengejar jurang besar itu. Ini boleh berlaku kepada mana-mana bangsa atau sesiapa yang merasakan mereka ketinggalan.

S: Kerajaan menyediakan banyak ruang, peluang serta bantuan dalam bentuk geran, pinjaman mudah dan subsidi untuk membantu Bumiputera, namun jumlah pemilikan dan kekayaan orang Melayu dan Bumiputera masih rendah berbanding bukan Bumiputera?

J: Saya menjadi panel pemberian geran kepada usahawan desa di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, saya dapati orang kita yang memohon tidak ramai. Selepas diselidik, kita dapati ramai yang tidak tahu membuat pelan perancangan perniagaan, gagal menyediakan kertas kerja dan mengembangkan idea perniagaan. Ini sangat menyedihkan. Berbeza dengan pemberian geran yang terbuka kepada semua bangsa, banyak orang bukan Melayu ini yang memohon dengan pelan perniagaan yang meyakinkan. Saya percaya ini ada kaitan dengan pengalaman dan pendedahan. Saya melihat banyak sangat bantuan yang diberikan menjadikan orang kita tidak menghargainya dan ramai yang bersikap sambil lewa serta tidak serius. Seperti saya, tidak pernah mendapat geran atau apa-apa bantuan kerajaan, saya bekerja keras mencari modal menjadikan saya serius dengan apa yang dilakukan. Justeru, saya harap jangan terlalu banyak bantuan diberikan, ia perlu berpada-pada. Bantuan kerajaan masih diperlu jika tidak lagi sukar orang kita mahu mengejar jurang itu. Sikap peniaga kita juga gembira dapat bantuan dan sentiasa bergantung kepada bantuan. Ini satu perkara yang perlu diberikan perhatian.

S: Bagaimana saudara melihat usaha yang dilakukan kerajaan ketika ini, adakah ia sudah memadai atau perlu banyak lagi perkara perlu dilakukan?

J: Saya akui banyak yang sudah dilakukan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai keusahawan seperti pameran dan ekspo serta seminar perniagaan dan keusahawanan. Namun, banyak lagi ruang lain yang perlu diperbaiki. Saya pernah mencadangkan supaya aspek keusahawan diperkenalkan di peringkat sekolah rendah tetapi tiada reaksi. Bantuan yang diberikan kerajaan melalui agensinya juga perlu selaras dengan niat yang sama bukannya misi dan visi yang berbeza-beza.

S: Kekangan menyekat orang Melayu dan Bumiputera untuk terus maju sebagai usahawan dan ahli perniagaan?

J: Kekangan utama adalah modal. Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan. Dengan modal yang kecil pun masih boleh berniaga. Jika modal sedikit, maka mulakan secara kecil-kecilan seperti jual karipap tepi jalan. Ini tidak, sentiasa mengharapkan bantuan modal dan apabila dapat terus pergi ke skala besar seperti terus buka restoran besar dan menjalankan francais. Bermula dari kecil dan kemudian memusing modal akan mengajar seseorang itu cara berniaga dengan betul. Membina perniagaan memberikan pengalaman. Banyak perniagaan yang dibina dengan bantuan modal kerajaan tidak berjaya kerana peniaga tidak sabar, tiada pengalaman dan mereka tidak pandai menghargai bantuan diberikan. Usahawan Bumiputera juga perlu memikirkan kerjasama dengan rakan dagang bukan Bumiputera jika ingin berjaya bukan hanya berfikiran untuk bersaing atau mendekatkan jurang ekonomi yang semakin melebar. Buang elemen dan aura negatif kerana ia hanya meletakkan peniaga dalam kebimbangan. Pengalaman dan tiada ilmu juga menyebabkan orang kita ketinggalan.

S: Bagaimana saudara melihat dasar yang diperkenalkan kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991, adakah ia membantu mengecilkan jurang yang wujud?

J: Saya nampak ada kemajuan dan perubahan walaupun ia tidak mencapai sasaran. Ini perkara biasa, tidak semua perkara mencapai sasaran. Seperti dalam perniagaan ada kala, kita tidak mencapai sasaran pun tetapi masih mendapat keuntungan. Apa yang penting usaha itu sudah ada bukannya tidak berjaya cuma tidak menepati sasaran saja.

No comments:

Post a Comment