Thursday, May 8, 2014

Kenyataan Mufti Pahang terhadap GST dipengaruhi selera politiknya


FMT Staff | May 7, 2014

Mungkin mufti hanya faham huruf T di belakang GST, iaitu taat kepada kerajaan yang membayar gajinya.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Raub, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mempersoalkan kenyataan dan kaedah menilai hukum oleh Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman (gambar) mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menurutnya sangat mengelirukan dan terpesong daripada kaedah pengeluaran hukum.

Menurutnya, sebelum ini, Mufti Pahang telah mengeluarkan kenyataan iaitu apa sahaja bentuk kutipan cukai, tidak menyalahi hukum selagi hasil yang diperolehi disalurkan kepada golongan yang layak untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan ekonomi.

“Mungkin mufti hanya faham huruf T di belakang GST, iaitu taat kepada kerajaan yang membayar gajinya.

“Mungkin kalau Mufti Pahang kaji mengenai laporan Kastam Malaysia, hasil dari cukai kastam dan duti eksais serta cukai jualan dan perkhidmatan sekarang ini sekitar RM16 hingga RM17 billion setahun. Apabila GST dilaksanakan kelak, tambahan kepada hasil cukai kastam dan eksais serta GST adalah sebanyak RM6 hingga RM7 billion,” katanya dalam posting blognya yang terbaru, www.sakmongkol.blogspot.com

Tambah Ariff lagi, jumlah bayaran BR1M yang dibayar oleh pihak kerajaan pula adalah sebanyak RM4 hingga RM5 billion. Jumlah yang dibayar itu hampir-hampir melenyapkan hasil tambahan dari kutipan cukai GST.

“Baki sebanyak RM2 hingga 3 billion pula digunakan untuk menampung defisit yang dialami oleh negara kita iaitu sebanyak RM40 billion,” ujarnya.

Jelasnya, Mufti Pahang itu juga telah mengeluarkan fatwa bahawa adalah haram untuk menggulingkan kerajaan.

“Saya sokong kalau fatwa itu turut sama memasukkan Kerajaan Pulau Pinang, Kelantan, dan Selangor. Saya juga sokong agar semua kerajaan tersebut haram digulingkan atau ditukar. Saya harap orang-orang Umno boleh patuh kepada fatwa politik Mufti Pahang ini,” katanya.

Jelasnya, kenyataan Mufti Pahang tersebut sarat dengan prasangka beliau dan dalam pada masa yang sama menyembunyikan selera politiknya. Ternyata bahawa Mufti Pahang akan mendepankan agenda politik kerajaan yang membiayai gajinya.

“Saya doakan Mufti Pahang tidak termasuk golongan al-munafiquun wal munafiqa yang disebut dalam al-Quran,” ujar beliau.

Menurutnya kemungkinan kenyataan Mufti Pahang itu diambil berdasarkan ayat daripada surah An-Nisa ayat ke 59 yang mana di dalam ayat tersebut Allah menggesa orang-orang beriman taat kepada Allah, Rasul dan ulil amri.

“Adakah ketaatan kepada Allah dan Rasul itu sama dengan ketaatan kepada manusia biasa. Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah ketaatan yang mutlak, tetapi ketaatan kepada manusia mesti tidak sama kerana manusia penuh dengan kecacatan, dan kekurangan kecuali manusia tersebut bertaraf Rasul.

“Saya tidak fikir Mufti Pahang dan pemimpin Pahang serta pemimpin Malaysia bertaraf Rasul,” ujarnya.

Katanya lagi, kemungkinan juga ulamak Umno lupa untuk membaca ayat sebelumnya itu, iaitu daripada Surah An-Nisa, ayat ke 58.

Dalam ayat tersebut, jelas menyatakan bahawa berikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya.

“Sebagai contoh, kita haruslah memilih pemimpin yang berkelayakan, siuman, kuat akal dan yang paling penting apabila kita menjalankan hukuman ia mesti adil dan saksama,” katanya.

Tambah Ariff lagi, mengikut kaedah mufti Pahang, penukaran kerajaan adalah mustahil, sebab jika kerajaan lemah, zalim dan mengambil rasuah, kita tidak boleh menukar kerajaan sebaliknya hanya boleh menegur mereka. Jahanam kita kalau dengar pandangan mufti seperti ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, ahli parlimen DAP itu turut menambah bahawa tujuan politik semuanya adalah untuk mendapatkan kuasa dan mengekalkan kuasa.

“Usaha Mufti Pahang itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mempertahankan kerajaan yang dia setujui dan yang membayar gajinya,” katanya.

Jelasnya lagi, suatu pandangan yang bertaraf fatwa haruslah konsistem dan aplikasinya bersifat universal atau sejagat.

Mufti Pahang berhak menyuarakan pendapat sedemikian namun apa yang menyebabkan pandangannya mendapat liputan adalah beliau memegang jawatan sebagai mufti negeri dan pengucapannya disiarkan oleh media yang dimiliki oleh pihak kerajaan.

“Eloklah kita mulakan perbincangan dengan menyedari bahawa kerajaan diwujudkan oleh rakyat dan kerajaan pula mendapat kuasa dari rakyat melalui persetujuan mereka. Rakyat yang beri kepercayaan, dan rakyat berhak menarik balik kepercayaan tersebut,” katanya.

Ujarnya, apabila mana-mana kerajaan yang menyalahgunakan kuasa, maka adalah menjadi hak rakyat untuk membatalkan kerajaan tersebut dan membentuk kerajaan yang baru. Kerajaan yang baru itu haruslah dibentuk atas dasar prinsip bahawa tujuan kerajaan adalah untuk mendapatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, rasa tanggungjawab dan hemah menuntut bahawa kerajaan tidak boleh diguling dan ditukar sewenang-wenangnya hanya kerana sebab-sebab picisan.

“Mufti Pahang sudah biasa dengan pemerintahan BN di Negeri Pahang, maka pandangannya tentulah menyokong pengekalan kerajaan yang beliau sendiri sudah biasa,” katanya.

Jelasnya, apabila terdapat rentetan yang berterusan ekoran salah guna kuasa, korupsi, dan membawa kepada penindasan serta kekejaman, maka adalah menjadi tanggungjawab dan hak masyarakat untuk membuang kerajaan yang sedemikian.

Keadaan inilah yang terjadi dan fatwa dari Mufti Pahang itu mencerminkan rasa cemas pendukung kerajaan.

“Suka saya ingatkan mufti bahawa tiada yang mencadangkan bahawa kita akan menggulingkan kerajaan secara kekerasan atau cara bersenjata. Kita hanya mahu gulingkan kerajaan Najib secara demokratik dan mengikut undang-undang,” katanya.

No comments:

Post a Comment