Thursday, May 8, 2014

GST beri impak positif kepada negara


ARKIB : 03/05/2014

MARAN 2 Mei - Rakyat yang setia perlu bersama kerajaan dalam melaksanakan dasar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lebih menguntungkan mereka dan memakmurkan negara dalam jangka masa panjang.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, GST yang akan dilaksanakan tahun hadapan bakal memberi impak positif terhadap ekonomi dan kemajuan negara.

Menurutnya, majoriti negara di dunia telah melaksanakan GST dan terbukti dasar itu memberi kebaikan terhadap perkembangan ekonomi serta masyarakat negara berkenaan.

“Dalam hal ini pihak pembangkang nampak akan kebaikan GST tetapi sengaja menyelewengkan fakta sebenar bagi mengelirukan rakyat yang tidak faham tentangnya.

“Oleh itu, rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan tohmahan pembangkang yang cuba menakutkan mereka dengan mendakwa kononnya pelaksanaan GST tahun depan akan membebankan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manausia berkata, pembangkang sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dengan pelbagai tohmahan dan fitnah supaya rakyat membenci kerajaan.

Katanya, GST tidak membebankan dan sudah pun dilaksanakan lebih 165 buah negara yang terbukti sangat berjaya dalam memakmurkan negara serta rakyat.

Menurut beliau, tidak semua cukai dikenakan terhadap semua barangan di negara ini malah GST jauh lebih murah dan berpatutan yang tidak membebankan rakyat.

“Pakar ekonomi telah membuat pelbagai kajian sebelum GST dilaksanakan tahun depan, malah enam peratus tidak membebankan rakyat berbanding di negara lain yang cukainya jauh lebih tinggi.

“Rakyat perlu mendapatkan maklumat sebenar tentang pelaksanaan itu daripada kerajaan dan tidak mendengar tohmahan serta fitnah pembangkang semata-mata," katanya.

Sehubungan itu beliau akan turun padang ke setiap cawangan UMNO Bahagian Maran dalam tempoh terdekat ini bagi menerangkan mengenai GST.

Ismail berkata, rakyat perlu memberikan kepercayaan kepada kerajaan kerana apa dilakukan itu tidak akan menyusahkan mereka sebagaimana digambarkan pembangkang.

Menurutnya, kerajaan sentiasa prihatin dan akan mengkaji sebelum melaksanakan sesuatu dasar apatah lagi berkaitan dengan taraf hidup rakyat.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment