Friday, May 9, 2014

Ekonomi Malaysia terus positif 2014


ARKIB : 05/05/2014
Oleh Azman Ibrahim
ekonomi@utusan.com.my

Ekonomi yang bergerak perlahan pada separuh pertama tahun lalu, telah menjadikan semua pihak termasuk kerajaan dan para pemain industri sedikit panik dan terus mengambil langkah berhati-hati, tetapi tetap optimis untuk pertumbuhan akan datang.

Berdasarkan suasana tidak sihat dalam tempoh itu, semakin banyak pelabur dilihat mula mengawal percaturan dengan mengambil langkah ‘lebih memilih’ dalam pelaburan mereka pada tahun ini agar tidak terkesan daripada ketidaktentuan persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Bagaikan tidak percaya, walaupun persekitaran ekonomi dunia suram sepanjang tahun lalu, Malaysia masih boleh mencatatkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM216.5 bilion, mengatasi rekod pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM167.8 bilion.

Kelulusan itu membabitkan 5,669 projek dengan 14 daripadanya bernilai lebih RM1 bilion setiap satu, manakala 82 lagi projek dengan nilai pelaburan melebihi RM100 juta setiap satu.

Bagaimanapun, Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka juga tidak dapat lari untuk terpalit dengan tempias pergerakan ekonomi yang perlahan pada tahun lalu.

Malah, eksport kasar Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 3.8 peratus pada separuh pertama 2013.

Ada yang menjangka negara ini dan rantau Asia sekali lagi bakal berhadapan dengan kemelesetan ekonomi pada penghujung 2013 atau pada tahun ini.

Malah, Ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China dan kemungkinan pengecilan program pelonggaran kuantitatif (QE) di Amerika Syarikat (AS) telah menimbulkan keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak stabil.

India juga menunjukkan perkembangan ekonomi yang tidak stabil sepanjang tahun lalu.

Di Malaysia, bagaikan satu keajaiban berlaku, aktiviti eksport telah berkembang pada separuh kedua 2013 dengan memperlihatkan eksport Malaysia dicatatkan sebanyak RM719.8 bilion, meningkat 2.4 peratus berbanding RM702.6 bilion pada 2012.

Malaysia banyak bergantung kepada pasaran negara-negara ASEAN yang sememangnya ‘imun’ atau kurang menerima kesan daripada persekitaran ekonomi yang perlahan di negara-negara Eropah dan AS.

ASEAN mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mempunyai permintaan domestik yang tinggi selain terdiri daripada negara-negara pengeluar.

Nilai import Malaysia juga turut meningkat tujuh peratus kepada RM649.2 bilion sepanjang 2013, berbanding RM606.7 bilion pada 2012.

Secara keseluruhan, walaupun bergelut dengan ekonomi yang tidak memberi jaminan, Malaysia tetap berjaya mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM1.4 trilion pada 2013, tertinggi berbanding yang pernah dicapai tahun-tahun sebelumnya.

Pada tahun 2014, nilai dagangan dijangka terus meningkat sebanyak lima hingga enam peratus.

Menurut Ketua Strategi Pelaburan Pengurusan Kekayaan Citi Asia Pasifik, Haren Shah, aktivit eksport di Malaysia dijangka terus cergas sepanjang tahun ini.

Malah, katanya, momentum pertumbuhan eksport pada tahun lalu dijangka memberi impak dan berterusan pada tahun ini.

“Malaysia akan terus menikmati eksport yang aktif kerana para pelabur asing cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan mata wang ringgit.

“Kelemahan mata wang ringgit memberi peluang yang lebih baik kepada para pelabur untuk menanam pelaburan di negara ini dan juga serantau,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Ranjit Ajit Singh turut mengakui pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka berterusan sepanjang tahun ini.

Malah, katanya, Malaysia juga mempunyai kemudahan infrastruktur kewangan antara terbaik dunia dan menepati piawaian antarabangsa.

Hal ini akan menarik minat para pelabur asing untuk terus menanam pelaburan di negara ini.

Malaysia akan terus menerajui aktiviti penerbitan sukuk dan bon dunia yang mengaktifkan lagi perkembangan ekonomi negara.

Usaha negara ini untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi juga selari dengan usaha yang dijalankan kerajaan.

Rasionalisasi subsidi kerajaan bermula pada awal tahun ini juga dilihat mampu memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi negara.

Kerajaan akan menikmati perolehan yang lebih tinggi untuk membangunkan negara.

Begitu juga Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada 2015, dijangka mengubah landskap ekonomi negara ke arah sebuah negara maju dalam tempoh yang lebih pantas.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment