Thursday, April 3, 2014

Sindrom Keliru Masih Landa Masyarakat


Oleh Adnan Jahaya

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Menjelang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP/GST) kira-kira setahun lagi, ramai yang masih kabur dengannya malah ada yang dilanda sindrom keliru.

Sindrom keliru berlaku apabila masyarakat menerima pelbagai gambaran yang berbeza mengenai CBP yang akan berkuatkuasa mulai 1 April, 2015.

Ketika pihak kerajaan memberi gambaran sebenar mengenai CBP dan manfaat yang bakal diterima oleh rakyat namun ada pihak yang menggambarkannya sebagai 'hadiah' yang sepatutnya ditolak.

"Saya tak tahu apa sebenar CBP kerana banyak sangat yang memberi penjelasan. Kami jadi keliru," kata seorang peniaga kecil, Salleh Abdul Rahman.

Peniaga berusia 38 tahun dari Petaling Jaya itu berkata, mereka menerima penjelasan daripada pihak kerajaan dan sesekali mendapat maklumat yang disebut sebagai "benar" yang dihulurkan oleh pihak lain.

"Kami percaya dengan kerajaan tetapi kadang-kadang kami terpengaruh juga dengan penjelasan pihak lain berhubung kesan CBP," katanya.

SINDROM KELIRU

Salleh adalah antara ribuan atau mungkin jutaan rakyat Malaysia yang belum memahami secara jelas mengenai CBP malah ada dalam kalangan mereka dilanda sindrom keliru.

Sindrom keliru turut diakui sedang berlaku oleh Ketua Jabatan CBP di firma SALIHIN GST Services Sdn Bhd, Abdussalam Shokhawi berikutan ada pihak yang memusingkan fakta berkaitan CBP.

Beliau, yang juga Pengurus Projek CBP bagi firma yang berpejabat di Batu Cave, Selangor itu berkata, tinjauannya mendapati ramai kalangan rakyat negara ini tidak memahami sistem cukai menyebabkan mereka mudah dikelirukan.

"Mereka anggap CBP akan menghukum mereka dengan kenaikan harga barang. Mereka diyakinkan dengan perkara yang tidak benar," katanya kepada Bernama.

Abdussalam berkata, mereka sepatutnya sedar bahawa pada masa kini mereka juga membayar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada kadar 16 peratus.

Tidak ada alasan untuk mereka terus terbeban dengan SST yang di dalamnya ada cukai yang tersembunyi sedangkan kerajaan akan melaksanakan CBP dengan kadar enam peratus bagi mengurangkan bebanan hidup rakyat.

GAMBARAN NEGATIF TERHADAP CBP

Beliau berharap orang ramai tidak keliru dengan pihak yang cuba menakutkan mereka dengan mengeluarkan kenyataan negatif berhubung kesan CBP termasuk akan berlaku kenaikan harga barang.

Gambaran negatif mengenai CBP juga membuka peluang kepada para peniaga yang tamak untuk menaikkan harga barangan sedangkan hakikatnya kos barangan tidak meningkat kerana sistem percukaian baharu itu.

Abdussalam bimbang dengan tahap pemahaman yang masih rendah dalam kalangan rakyat negara ini terutama generasi muda terhadap CBP kerana ia mendorong mereka terus terjebak dengan sindrom keliru.

Contohnya, hasil tinjauan beliau, daripada 10 orang yang ditemubual, lima orang langsung tidak tahu mengenai CBP manakala lima lagi pernah mendengar mengenainya.

Daripada lima yang pernah mendengar, tiga daripadanya mempunyai pandangan yang berbeda malah mereka seolah-olah keliru dengan pandangan mereka sendiri.

RANG UNDANG-UNDANG 2014

Sebelum berkuatkuasa 1 April 2015, Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dijadual akan dibentangkan pada mesyuarat pertama, penggal kedua Dewan Rakyat mulai 10 Mac ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata proses penyediaan draf rang undang-undang itu kini di peringkat akhir dan sedang disemak oleh Peguam Negara.

Rang undang-undang itu perlu dibentang di Parlimen tahun ini juga bagi memastikan CBP dapat dilaksanakan tahun depan.

Pastinya banyak anggota parlimen yang akan mengambil bahagian pada perbahasan rang undang-undang itu dan rakyat boleh membuat penilaian mengenainya berdasarkan perbahasan itu.

CBP dilaksanakan oleh kira-kira 160 buah negara dengan Perancis menjadi negara pertama melaksanakannya pada 1954.

CONTOHI PELAKSNAAN CBP DI UK DAN SINGAPURA

Walaupun banyak negara telah melaksanakan CBP namun ada yang berpendapat Malaysia boleh mencontohi United Kingdom yang mengguna pakai sistem itu sejak 30 tahun lepas dan Singapura sejak 20 tahun.

Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) antara yang melihat United Kingdom dan Singapura sebagai negara boleh dicontohi pelaksanaan sistem percukaiannya terutama dalam menyediakan pakej berimbang.

Timbalan Pengarah Jawatankuasa Teknikal mengenai CBP persatuan itu, Mohd Rozlan Mohammed Ali berkata, kedua-dua negara itu mempunyai pengalaman tersendiri dalam membantu rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

Contohnya, Singapura menyediakan sumbangan berbentuk dividen yang dimasukkan terus ke dalam akaun 'Central Provident Fund' rakyat, sebuah badan mirip Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

United Kingdom pula memperkenalkan bantuan pakaian kepada kanak-kanak berusia 14 tahun dan ke bawah merangkumi pakaian sekolah bagi meringankan beban golongan miskin.

Apa pun Malaysia telah melaksanakan pakej berimbang termasuk meneruskan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Bantuan Awal Persekolahan, Kedai Rakyat 1 Malaysia, Perumahan Rakyat 1 Malaysia dan banyak lagi.

Pastinya kerajaan akan meneruskan pelaksanaan program yang terbaik untuk rakyat meskipun masih wujud pandangan serong mengenai CBP.

KENALI DAN CINTAI CBP

Ada pepatah mengatakan "tak kenal maka tak cinta," begitu juga dengan CBP yang masih belum dikenali secara menyeluruh.

Sehubungan itu, program penerangan mengenai CBP perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan mudah difahami ketika ada pihak yang masih berusaha untuk menggagalkannya.

Pelaksanaan CBP akan menjadi lebih mudah jika ia diterima oleh seluruh rakyat yang memahami kebaikannya dan manfaat yang bakal mereka nikmati.

Untuk memastikan rakyat menerima CBP, mereka perlu diberi penjelasan mengenai kesan positif perlaksanaannya temasuk pakej berimbang untuk rakyat.

Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah untuk merungkai kekeliruan yang mula bersarang akibat sentuhan kreatif pihak tertentu yang cuba menolak CBP.

Jika kekeliruan itu terungkai, rakyat pastinya tidak sabar menunggu kehadiran CBP dan jika rakyat sudah cinta terhadap CBP, tiada siapa yang dapat menghalang pelaksanaannya.

Persoalannya mampukah kerajaan menyingkirkan sindrom keliru yang turut bersarang dalam kalangan pemimpin komuniti sebelum CBP berkuatkuasa.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment