Tuesday, April 22, 2014

`Sila lapor jumlah kurang'


Publication: HM
Date of publication: Apr 18, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 061
Byline / Author: Oleh Maria Uffa Zulkafeli

Alor Setar: Badan Amal Tarbiah Sejagat (BATAS) meminta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang menerima jumlah bantuan kurang daripada dijanjikan tampil untuk dirujuk ke saluran betul.

Difahamkan, ada dalam kalangan penerima BR1M sudah berkahwin layak menerima RM650 namun hanya diberikan RM300 iaitu bantuan diluluskan untuk individu bujang.

Ahli Majlis Tertinggi BATAS Hafizam Harun berkata, beliau dipanggil mengemukakan perkara ini selepas dirinya sendiri menerima jumlah bantuan kurang daripada sepatutnya.

Katanya, persoalan yang timbul sekarang bagaimana masalah itu boleh berlaku sedangkan permohonan bantuan berkenaan difahamkan sudah ditapis dan seharusnya melalui proses betul sebelum meluluskannya kepada individu benar-benar layak menerima.

"Sebagai contoh saya sendiri berdepan masalah sama, jika sebelum ini sewaktu BR1M 1.0 dan 2.0, saya menerima RM500 kerana sudah berkeluarga, namun kali ini agak hairan selepas menerima surat bahawa permohonan diluluskan dan sudah dikreditkan ke dalam akaun sebanyak RM300.

"Jumlah itu bantuan untuk individu bujang, sedangkan saya sudah berkahwin, soalnya sekarang bukan jumlah wang kurang atau tidak, tetapi ke mana perginya baki wang bantuan yang sepatutnya penerima dapat.

"Saya yakin ramai penerima di luar sana mengalami nasib sama, jadi sebagai mangsa dan juga badan bukan kerajaan (NGO) saya terpanggil untuk bersama-sama membawa perkara ini untuk dirujuk ke saluran yang betul," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Akhbar tempatan kelmarin melaporkan kerajaan perlu melaksanakan penilaian risiko terhadap BR1M supaya tiada pihak menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan peribadi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dipetik sebagai berkata, pihaknya mengalu-alukan jika kerajaan melihat aspek penilaian risiko secara sistematik dan melaksanakannya dengan pelan berkaitan sebagai sokongan.

Penilaian risiko perlu diberi perhatian bagi mengurangkan ketirisan bukan saja dalam program bantuan kewangan seperti BR1M, tetapi juga bantuan dan dasar yang membantu rakyat seperti Azam 1Malaysia serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan.

Sementara itu, Hafizam berkata, berhubung masalah dihadapinya beliau sendiri pernah merujuk ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Sungai Petani namun kesal dengan maklum balas diterima.

"Saya pernah merujuk ke LHDN Sungai Petani berhubung masalah ini, namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana bayaran sudah dibuat, kalau begitu maklum balas diberikan sampai bila masalah seperti ini hendak selesai.

"Justeru saya fikir lebih elok saya hebahkan perkara ini bagi membolehkan lebih ramai penerima bantuan alami nasib sama tampil untuk memastikan kebajikan rakyat tidak diabaikan," katanya.

No comments:

Post a Comment