Monday, April 14, 2014

Sasar lebih 5,000 PKS sertai SME BizFest


ARKIB : 10/04/2014
Oleh zunaidah zainon
ekonomi@utusan.com.my
(Belakang, tiga dari kanan) Azizi A. Hadi bergambar bersama rakan kongsi
pada majlis TM melancarkan SME Biz Fest 2014 di Kuala Lumpur,
semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR 9 April - Telekom Malaysia Bhd. (TM) menyasarkan dapat menarik lebih 5,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai SME BizFest 2014 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Naib Presiden Eksekutif TM, Azizi A. Hadi berkata, program tersebut menjadi platform kepada PKS untuk menjalankan perniagaan mereka berteraskan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Katanya, peserta juga berpeluang berkongsi pengalaman dan kejayaan dengan 34 penceramah yang dijemput khas pada program tersebut.

"Selain mengupas topik perniagaan seperti motivasi, ICT dan perniagaan, bantuan kewangan dan kisah kejayaan e-dagang, tahun ini kita juga akan membincangkan topik berkenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) supaya PKS terlibat mendapat maklumat mendalam berkaitan pelaksanaan GST dan bersedia menghadapinya," katanya ketika merasmikan SME BizFest 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran TM, Suzana Mohd. Salleh dan Pengarah Rakan Niaga dan Penyelesaian PKS Microsoft Malaysia, Azizah Ali.

Tahun ini, SME BizFest yang bertemakan `Innovate to Dominate' akan dijalankan di empat lokasi iaitu Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 24 April ini, diikuti Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (7 Mei), Hotel Equatorial, Pulau Pinang (22 Mei) dan Pusat Konvensyen Borneo, Kuching (19 Jun).

Sepanjang program tersebut, TM menyediakan program-program dan aktiviti menarik seperti peraduan, cabutan bertuah, perundingan perniagaan dan tutorial ICT untuk PKS yang berminat dalam bidang ICT, kewangan, sumber manusia, perakaunan dan pemasaran.

Menurut Azizi, TM turut menawarkan promosi BizFest Bonanza Saving bagi membolehkan PKS menikmati penjimatan hebat sehingga RM1,680 apabila mereka melanggan pakej jalur lebar dan perkhidmatan nilai tambah (VAS).

"Promosi ini yang bermula hari ini dan berakhir pada 30 Jun nanti sememangnya satu tawaran yang tidak boleh dilepaskan," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kebangsaan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Ong Chee Tat berkata, program berkenaan mampu memberi pengetahuan berguna kepada 10,000 ahlinya tentang aplikasi ICT dalam memperluaskan prospek perniagaan.

"Saya berharap mereka menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk menjadikan ICT sebagai salah satu medium penting dalam menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada para pelanggan," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment