Tuesday, April 22, 2014

Rafizi: GST, CBP tiada bezanya


NIZAM ZAIN
21 April 2014
Rafizi Ramli
PETALING JAYA - Penggunaan nama singkatan bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan dari GST kepada CBP tidak mempunyai banyak perbezaan malah ia sekadar helah mengalihkan pandangan rakyat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa tindakan itu dilakukan selepas kerajaan menyedari program penerangan mengenai cukai baharu sukar untuk mengubah persepsi negatif rakyat.

"Saya tidak menolak kemungkinan mereka mengalihkan strategi media dengan cuba memadamkan nama GST dengan memperkenalkan pula satu singkatan baharu CBP.

"Keputusan BN untuk melaksanakan GST akan terus mengundang rasa tidak senang dan kemarahan rakyat tidak kira macam mana strategi media yang mereka buat," katanya kepada Sinar Harian Online di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan media pro-kerajaan yang menggunakan nama singkatan GST kepada CBP dalam usaha untuk meredakan kemarahan rakyat terhadap pelaksanaan cukai baharu itu menjelang 15 Julai 2015.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, usaha itu tidak akan berjaya meskipun kerajaan cuba menjenamakan semula cukai tersebut.

"Memang susah hendak jelas kalau GST itu untuk menaikkan harga barang, dia hendak pusing ke mana lagi.

"Rakyat kita sudah cerdik, mereka faham penerangan kita dan tahu kesannya, kalau setakat nama ini tidak lama lagi rakyat pun akan tahu CBP itu sebenarnya GST," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment