Wednesday, April 2, 2014

Pelaksanaan cukai GST terus dibantah rakyat


Adam Abu Bakar | April 1, 2014

Seluruh masyarakat harus membantah pelaksanaan cukai GST

KUALA LUMPUR: Gabungan NGO dan parti politik akan menganjurkan satu himpunan pada 1 Mei ini untuk membantah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menurut S. Arutchelvan, salah seorang jurucakap Jawatankuasa 1 Mei yang menganjurkan perhimpunan tersebut, fokus perhimpunan ini adalah untuk membuat bantahan terhadap cukai GST yang akan diimplementasikan dalam masa satu tahun lagi oleh kerajaan.

“Seluruh masyarakat harus membantah pelaksanaan cukai GST ini, kerana ia melebarkan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, selain membebankan rakyat dan memburukkan inflasi negara,” katanya kepada pihak media dalam satu sidang akhbar Himpunan Mei 1, di Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall.

Tambah Arutchelvan, GST turut mengurangkan kuasa membeli rakyat biasa dan menjejaskan ekonomi negara, malah rakyat terpaksa membayar untuk kegagalan pengurusan kewangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Cukai GST juga adalah satu hukuman ke atas rakyat miskin akibat daripada kegagalan kerajaan mengutip cukai daripada golongan kaya selain, akan terus memiskinkan lagi rakyat miskin,” ujarnya.

Jelasnya lagi, rakyat telah dijadikan boneka dalam isu GST ini.

“Lihat bagaimana kerajaan cuba mempengaruhi fikiran kita, dengan meletakkan papan iklan (billboard) di seluruh negara,

“Keseluruhan papan iklan tersebut hanyalah lakaran kartun sahaja, kenapa demikian?

“Kerana, tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang sanggup untuk dikenakan cukai,” jelasnya.

Rakyat Malaysia dihidangkan dengan iklan-iklan mengenai GST setiap hari, seolah-olah tidak sabar untuk dikenakan cukai GST.

“Mana ada rakyat di dunia ini yang ternanti-nanti untuk dikenakan cukai, kerana walau apa jenis cukai, ia tetap akan merugikan rakyat,” ujarnya lagi.

Seorang lagi jurucakap perhimpunan tersebut, Rafizi Ramli, rakyat seharusnya menentang dan membantah akta yang menindas rakyat ini.

Himpunan Mei 1 yang akan berlangsung pada hari pekerja nanti jelas menunjukkan bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk bersama-sama menentukan dan membantah apa sahaja yang menindas rakyat.

“Di peringkat Pakatan, dan juga badan bukan kerajaan (NGO), himpunan ini adalah hari untuk rakyat meluahkan perasaan mereka,

“Mereka berhak bersama-sama untuk untuk menentukan apa yang akan berlaku terhadap masa depan mereka,” kata Pengarah Strategi PKR itu.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai pada 1 Mei akan datang bagi membantah pelaksanaan cukai GST.

“Himpunan ini akan bermula pada jam 2 petang, di Dataran Merdeka dan akan sama-sama berarak ke Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC),” Jelasnya.

Tambah Rafizi, perhimpunan ini juga menunjukkan demokrasi negara kita.

Malah Rafizi turut menjelaskan bahawa demokrasi bukan sahaja berlaku di parlimen,dan juga ketika Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja, tetapi juga di jalanan.

“Ini adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia untuk berhimpun bagi membantah pelaksanaan cukai GST,” Ujarnya.

No comments:

Post a Comment