Thursday, April 17, 2014

`Kenyataan Anwar tidak masuk akal'


Publication: BH
Date of publication: Apr 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Magendran Rajagopal

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak semalam, membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mampu selesaikan misteri kehilangan MH370 dalam satu saat jika diberi kuasa.

Perdana Menteri menyifatkan dakwaan itu tidak masuk akal dan cuba memperbodohkan rakyat Malaysia.

"Ini memang tidak masuk akal sama sekali, malah boleh dikatakan memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat Malaysia keseluruhannya.

"Kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ke-39 hari ini (semalam) memerlukan sokongan pelbagai negara berikutan kerumitan dan cabarannya yang di luar dugaan," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini semalam.

Wawancara dengan majalah

Pada 5 April lalu, akhbar tempatan berbahasa Cina menyiarkan petikan wawancara Anwar dengan majalah Southern Weekly di China yang mendakwa jika menjadi Perdana Menteri, beliau hanya perlu satu saat untuk selesaikan isu kehilangan MH370.

Sementara itu, Najib menegaskan, program transformasi ekonomi yang sudah dirancang perlu diteruskan dan sebarang kajian semula akan memberi isyarat negatif kepada ekonomi negara.

"Sebarang petanda... sebarang bayangan atau isyarat bahawa proses ini akan kita perlahankan atau akan kita kaji semula akan memberi isyarat yang begitu negatif kepada ekonomi negara kita.

"Sebab itulah langkah yang perlu kita ambil seperti konsolidasi fiskal dan rasionalisasi subsidi, termasuk langkah memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mesti kita lakukan dengan kaedah atau cara yang berhemah, tidak keterlaluan dari segi pelaksanaannya, yakni membebankan rakyat.

"Kita mesti lakukan supaya kedudukan kewangan negara semakin mantap dan kukuh. Apabila asas seperti ini menampakkan kesungguhan kita dan iltizam politik, maka keyakinan dunia, termasuk agensi penarafan kepada kita akan bertambah positif," katanya.

Najib, berkata, baru-baru ini Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, membuat kenyataan bahawa proses pemulihan ekonomi global terlalu perlahan dan terlalu kecil, sekali gus mendedahkan dunia kepada pelbagai risiko terutama negara dengan ekonomi yang baru meningkat maju.

Pelbagai cabaran

Selain itu, negara berdepan beberapa cabaran, termasuk kadar pertumbuhan China yang semakin perlahan dan peralihan kepada proses pertumbuhan ekonomi berasaskan penggunaan daripada berasaskan eksport, yang turut memberi kesan kepada ekonomi.

Katanya, bayangan yang dibuat oleh Federal Reserve mengenai kemungkinan kadar faedah dinaikkan turut membawa pengertian bahawa era easy money atau wang mudah juga mungkin akan berakhir.

Perdana Menteri menekankan, perkembangan seumpamanya menuntut negara supaya lebih bersedia untuk menambah ketahanan dalaman ekonomi, selari dengan keperluan meneruskan segala proses transformasi ekonomi negara yang digambarkan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment