Thursday, April 17, 2014

Kastam Perhebat Sesi Penerangan CBP


April 17, 2014

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperhebat sesi penerangan, termasuk menggunakan media sosial agar rakyat memahami dan menerima pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) mulai April tahun depan.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata pelbagai program seperti ceramah perdana akan diadakan di peringkat negeri untuk menyalurkan maklumat dan memberi penerangan kepada pelbagai lapisan masyarakat agar memahami CBP.

“Kita sudah menulis kepada setiausaha (kerajaan) negeri untuk mengadakan ceramah perdana di seluruh negara. Dijangka 20 hingga 30 ceramah perdana akan diadakan untuk memberi penerangan dan menguar-uarkan kepentingan serta kelebihan pelaksanaan CBP kepada orang ramai.

“Program seperti ini akan merungkai segala kemusykilan berhubung pelaksanaan CBP bagi memastikan pelaksanaannya dapat berjalan dengan lancar demi menjana kemakmuran ekonomi negara dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana CBP di sini hari ini.

Untuk memberi penjelasan dan penerangan sehingga ke peringkat akar umbi, beliau menambah JKDM akan mengadakan pelbagai program di peringkat daerah.

Kira-kira 2,000 penjawat awam menghadiri ceramah perdana yang dirasmikan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah. Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Untuk memperluas sesi penerangan, Khazali berkata JKDM akan menggunakan media sosial untuk mendekati generasi Y untuk merungkai segala kemusykilan dan persoalan mengenai pelaksanaan CBP pada April tahun depan.

Mengenai ceramah perdana kepada penjawat awam hari ini, beliau berharap ia dapat dimanfaatkan oleh penjawat awam untuk membantu kerajaan memberi penerangan kepada orang awam supaya mereka memahami dan mendapat maklumat tepat mengenai pelaksanaan CBP.

“Bagi tujuan pemahaman kepada pelaksanaan CBP, aspek yang paling penting adalah meningkatkan latihan dan publisiti kepada semua lapisan masyarakat.

“Dalam konteks ini, JKDM bersama Kementerian Kewangan telah dan secara berterusan mengadakan siri-siri publisiti dan latihan seperti konsultasi awam, lawatan industri dan perbincangan serta mengadakan konsultasi cukai dengan pihak konsultan seperti Malaysian Institute Of Taxation,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment