Wednesday, April 16, 2014

GST: Masuk wang ke poket bocor


APR 15, 2014 MOHAMED HANIPA MAIDIN

Rang Undang Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (RUU GST) 2014 diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan undi menyokong 218 undi dan undi menentang 81 undi. RUU GST ditentang oleh ahli ahli Parlimen Pakatan dengan hujah hujah yang bernas namun apabila diundi melalui proses belah bahagi ,BN, dengan hujah yang dangkal masih menang dengan jumlah 218 undi.

Bagi pihak PAS, empat ahli Parlimen diberi peluang berhujah dimulai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, saya sendiri, Ahli Parlimen Marang iaitu Presiden PAS dan Pokok Sena iaitu Dato Mahfuz Omar.

Prinsip dalam percukaian adalah tiada percukaian tanpa perwakilan. Dengan BN hanya perolehi 47 peratus undi popular maka mereka hakikatnya bukan mewakili suara popular rakyat tentang GST. Maka bagaimanakah GST dikira suatu percukaian yang sah dan memenuhi prinsip yang saya katakan itu.

GST adalah cukai regresif . Cukai pendapatan sama ada individu atau korporat pula bersifat progresif. Cukai progresif secara mudahnya bermaksud semakin tinggi pendapatan individu atau korporat semakin tinggi cukai yang mereka kena bayar. Ini suatu yang munasabah kerana Ibnu Khaldun menyatakan di dalam kitabnya yang masyhur "al muqaddimah", Kerajaan perlu memikirkan bagaimana pendapatan rakyat harus ditinggikan bagi mendapat cukai yang tinggi dari rakyat untuk mengisi perbendaharaan negara.

GST pusing ke belakang atau regresif kerana cukai dikenakan kepada penduduk atau rakyat yang tidak berpendapatan atau yang berpendapatan rendah. Logiknya rakyat yang susah dan miskin sewajarnya ditolong oleh Kerajaan kerana mereka tiada pendapatan atau berpendapatan rendah tapi ini tidak berlaku dalam rejim percukaian GST.

Dengan adanya GST keadaan menjadi terbalik iaitu rakyat yang susah pula disuruh menolong Kerajaan dengan meminta semua rakyat tanpa kira miskin dan kaya membayar cukai. Memandangkan GST adalah cukai penggunaan yang dikenakan di semua peringkat pengeluaran barang yang mana Kerajaan perolehi hasil cukai di semua rantaian penawaran barangan ( supply chain ) , pengguna adalah pihak yang paling teruk kerana kena membayar cukai atas penggunaan barang dan tidak mendapat apa apa rebate.

Sebagai contoh kita ambil kes kopi. Bagi rantaian penawaran kopi Kerajaan akan dapat hasil cukai dari penanam kopi, pengilang kopi , pedagang kopi , peniaga runcit kopi dan akhirnya pengguna atau pembeli kopi. Meskipun penanam , pengilang, pedagang dan peniaga runcit kopi dikenakan cukai GST namun mereka berhak mendapat semula bayaran cukai tersebut melalui rebate. Pengguna kopi sahaja yang kena bayar GST dan tidak mendapat faedah rebate. Yang lebih teruk lagi jika BRIM diberi setahun sekali GST pula dibayar semua rakyat setiap hari. GST dibayar 24 jam selama 365 hari setahun.

Pakar ekonomi menyatakan segmen masyarakat yang paling teruk menerima kesan dari GST adalah golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan kaya tidak menerima kesan dan jika ada sekalipun ia hanya menanggung kesan yang minima. Malahan dalam keadaan tertentu golongan kaya mendapat manfaat dari GST.

Dalam penggulungan, Timbalan Menteri Ahmad Maslan menyatakan tidak seperti Singapura yang tidak mengenakan pengecualian ke atas barang barang tertentu dari dikenakan GST , Malaysia, katanya, memberikan pengecualian GST ke atas barang barang keperluan. Saya bangun dan bertanyakan soalan berikut kepada beliau " adakah Timbalan Menteri sedar bahawa Kerajaan Singapura menyatakan bahawa jika GST dikecualikan ke atas barangan tertentu pihak yang mendapat manfaat dari pengecualian itu adalah golongan kaya kerana mereka hakikatnya menggunakan lebih banyak dan kerap barangan yang dikecualikan GST tersebut." Menteri tak boleh jawab soalan saya itu.

Apa yang dikatakan oleh Kerajaan Singapura itu ada meritnya. Meskipun barangan asas seperti beras, tepung, gula atau barangan keperluan lain dikecualikan GST , pengecualian itu terpakai kepada semua termasuk golongan kaya. Jadi mereka yang untung. Jika kita beli kek di kedai kek ( dibuat dengan tepung dan gula ) sebagai contoh rakyat miskin yang nak beli kek kini dikenakan cukai dibandingkan sebelum GST dikenakan. Jika anak atau isteri Menteri beli kek mereka tidak ada masalah bayar harga kek yang dikenakan GST tapi bagaimana anak orang susah ?

Kerajaan berbangga 160 negara yang amalkan GST tanpa mengira negara yany kuat ekonominya seperti USA juga tidak setuju dengan GST. Ya ,banyak negara negara maju melaksanakan GST namun berapakah jumlah pendapatan per kapita mereka. Kita ambil contoh Singapura. Pada tahun 2012 menurut Fox Magazine pendapatan per kapita rakyat Singapura sebanyak 56 ribu US dollar ( USD ) . Bagaimana dengan Malaysia? Dalam ucapan belanjawan 2014, menurut Perdana Menteri pendapatan per kapita negara kita adalah sekitar 9,500 USD sahaja. Malahan pada tahun 2020 Malaysia hanya mensasarkan pendapatan per kapita 15,000 USD. Oleh itu, bagaimana kita nak tiru Singapura?

Singapura kenakan GST kerana cukai pendapatan individu dan korporat di sana secara relatifnya masih rendah. Jadi kekurangan hasil cukai pendapatan ditampung melalui GST. Kadar cukai pendapatan di Malaysia sama ada individu atau korporat lebih tinggi dari Singapura. Itupun Singapura mulakan GST dengan kadar 3 peratus sedangkan kita terus mulakan dengan 6 peratus. Tetapi apa yang penting dengan jurang pendapatan rakyat miskin dan kaya di Singapura lebih rendah berbanding Malaysia dan pendapatan per kapita mereka jauh lebih tinggi dari kita sudah tentu kuasa membeli dan membayar cukai rakyat di sana lebih kuat dari kita.

Begitu juga negara negara maju yang lain seperti Australia dan Kanada. GST tidak begitu membebankan rakyat di sana kerana pendapatan per kapita mereka yang tinggi. Dan bagi negara negara maju yang melaksanakan GST, rakyat juga mendapat manfaat dan faedah yang banyak hasil kutipan cukai tinggi di mana jaringan keselamatan ( safety net ) bagi menjaga kebajikan rakyat jauh lebih baik. Maknanya berbaloi membayar cukai di sana meskipun tinggi.

Yang lebih penting lagi di negara negara maju tersebut kadar kebocoran dan ketirisan ekonomi di sana jauh lebih rendah kerana amalan pemerintahan yang baik ( good governance ) dan hampir bebas rasuah . Di negara kita, kebocoran bilion ringgit akibat rasuah, ketirisan, pembaziran, kronisme dan rent seeking adalah fenomena wajib di dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Jika poket seluar kita bocor adakah patut kita minta orang lain bagi duit untuk diletakkan di poket yang bocor itu? Umno bocorkan kantong wang negara tapi parti tak tahu malu ini masih minta rakyat hulurkan duit untuk dimasukkan dalam kantong yang bocor itu. Jawapan kita jahit kocek yang bocor kemudian baru minta duit daripada rakyat.

No comments:

Post a Comment